Powered by Blogger.

Saturday, February 25, 2012

Membina Minda Gemilang

1. Minda gemilang ialah kekuatan minda yang sentiasa mendorong pemiliknya untuk melakukan perkara positif walau dalam apa keadaan sekalipun.

2. Bacalah bahan ilmiah dan jangan bencikan buku.

3. Bertemulah dengan manusia-manusia hebat, bukannya dengan mereka yang perasaan hebat.

4. Sertai aktiviti-aktiviti yang mencabar Mental, Emosional dan Fizikal.

^^


Friday, February 10, 2012

Masa Hadapan Yang Lebih Jauh

APABILA DISEBUTKAN BERKENAAN memandang masa hadapan, apakah yang kita nampak?
        Mungkin kerjaya. Mungkin keluarga. Mungkin harta. 
        Ingin kerja apa? Ingin berkahwin dengan siapa? Ingin rumah atau kereta yang bagaimana?
        Mungkin bagi pelajar sekolah rendah, dia akan fikir di mana dia hendak bersekolah menengah. Mungkin bagi pelajar sekolah menengah, dia akan fikir apakah bidang yang hendak dia ceburi dan di manakah universiti sepatutnya dia pergi.
        Mungkin itu yang kita panggil sebagai 'masa hadapan'.
        Cuma dalam kalangan kita, siapakah yang memandang masa hadapan yang lebih jauh?
        Apakah masa hadapan yang lebih jauh?
        Ia adalah akhirat.

Akhirat, masa hadapan yang sebenar

Manusia yang memandang masa hadapan, adalah manusia yang terbaik. Apabila dia memandang masa hadapan, maka dia akan merancang perjalanan hidupnya.
        Bercita-cita hendak menjadi doktor, maka dia akan merancang perjalanan hidupnya biar dia menjadi doktor. Berhajatkan masa hadapannya nanti tinggal di rumah mewah, maka dari hari ini dia mula merancang untuk mendapat rumah mewah itu.
        Hendak masuk universiti yang disukainya, maka dia akan bersungguh-sungguh memenuhi kelayakan yang di tuntut oleh universiti tersebut.
         Di sinilah letaknya kepentingan membuka mata untuk memandang bahawa akhirat adalah masa hadapan kita yang hakiki. Mengapa?
         Apabila kita memandang akhirat sebagai masa hadapan yang hakiki, kita akan merancang dengan teliti.
         Tambahan, apakah wujud masa hadapan, yang lebih hadapan daripada akhirat?

Matlamat jauh

Kita tahu akhirat ini mempunyai dua cabang pengakhiran.
         Satu neraka. Satu syurga.
         Neraka anda celaka. Syurga anda bahagia.
         Kita yakin, semua orang tidak mahu celaka. Semua orang hendak bahagia. Semua orang suka bahagia selama-lamanya. Justeru, bagi manusia yang beriman, dan memandang bahawa akhirat sebagai masa hadapannya, maka dia akan takut dirinya tercebur ke dalam neraka, dan dia akan berhajat kepada syurga. 
         Persoalannya, bagaimanakah perkara itu boleh berlaku?
         Soalan ini, menimbulkan matlamat-matlamat kecil.
        Sebagai contoh, "Saya mahu masuk syurga, jadi saya perlu menjadi orang yang soleh, tidak berbuat maksiat, dan taat kepada ALLAH."
         Contoh lain, "Saya hendak masuk syurga, jadi saya kena bersunguh-sungguh dalam semua perkara. Tidak boleh main-main, tidur dalam kelas, curi tulang semasa bekerja dan sebagainya."
         Contoh lain lagi, "Saya ingin masuk syurga, jadi saya perlu memberikan sumbangan kepada Islam Saya minat menjadi penulis, maka penulisan-penulisan saya mestilah menyumbang kepada Islam."
         Begitu.
         Sedar tidak sedar, manusia yang memandang bahawa akhirat adalah masa hadapannya, dan dia ingin masa hadapan yang baik, maka dia akan menyusun kehidupannya menjadi kehidupan yang terbaik.
         Apakah syurga mampu diperolehi dengan lenggang kangkung saja?
        Mustahil.
       Apakah wujud masa hadapan lain yang boleh membina peribadi lengkap untuk mengharungi dunia seperti akhirat?
       Tiada!

Berapa ramai yang memandang demikian?

Persoalan utama, berapa ramai yang memandang akhirat sebagai masa hadapan kehidupannya?
        Hari ini, kita telah dipisahkan. Agama dikatakan hanya perlu di dalam masjid, pada musim-musim tertentu, pada waktu-waktu tertentu sahaja. Apabila dikatakan akhirat, kita akan dicop membawa kemunduran, atau berkata akan sesuatu di luar akal.
        Islam bukan demikian.
        Di dalam al-Quran, kita akan sentiasa melihat bahawa 'beriman kepada ALLAH' akan digandingkan dengan 'beriman kepada akhirat'. Contoh boleh dilihat pada ayat 228 surah al-Baqarah, ayat 2 surah an-nur, ayat 52 surah al-Mujadilah, ayat 18 surah al-Hasyr, dan ayat 2 surah at-Talaq.
        Beriman kepada ALLAH adalah permulaan keimanan kita dalam Islam. Manakala akhirat adalah destinasi terakhir kita dalam perjalanan keimanan ini. Apabila kita bermula dengan keimanan kepada ALLAH, maka kita wajib mengharapkan akhirat. Apabila kita memandang akhirat dan apa yang di sediakan ALLAH kepada kita di sana, di situlah kita merancang apa yang hendak kita lakukan dengan keimanan kita kepada ALLAH tadi, hinggalah kita mencapai akhirat.
        Hari ini, tidak demikian.
        Akhirat kita lontar di satu sudut yang jauh.
        Kita tidak bersedia untuknya.
        Sedangkan, apabila kita mengejar akhirat, insyaALLAH kita akan sentiasa bahagia di dunia. Tiada ruginya mengejar akhirat.
        Orang yang tidak berdisplin bukanlah ciri-ciri pengejar akhirat. Orang yang pengotor bukanlah ciri-ciri pengejar akhirat. Orang yang tidak adil bukanlah ciri-ciri pengejar akhirat. Orang yang suka bergaduhan, menyakitkan hati orang lain bukanlah ciri-ciri pengejar akhirat. Orang yang berakhlak bururk, suka mencarut, bukanlah ciri-ciri pengejar akhirat. Orang yang korup, songlap wang, bunuh orang, bukanlah ciri-ciri pengejar akhirat.
        Pengejar akhirat, akan memisahkan dirinya, daripada kejahatan, keburukan, dan hidupnya akan bahagia dengan ketenangan.
       Tidakkah manusia melihat?

Dunia adalah ladang akhirat

Akhirat perlu kita letakkan sebagai matlamat masa hadapan kita, cita-cita utama kita, agar kehidupan kita terbentuk dengan baik. Hal ini kerana, selepas rumah mewah, masih ada lagi perkara lain. Selepas universiti, masih ada lagi perkara lain. Apa-apa pun cita-cita kita akan masa hadapan, semuanya masih ada perkara lain bersama-samanya. Cita-cita itu mungkin mampu membuatkan kita bagus dari satu sisi, tetapi belum tentu untuk sisi-sisi yang lain.
        Namun apabila akhirat menjadi cita-cita utama kita, ia akan mencakupi segala-gala.
        Apa yang manusia rugikan di atas dunia ini jika dia menjadi pengejar akhirat?
        Tiada. Modal untuk akhirat adalah dunia. Pengejar akhirat, kehidupannya di dunia adalah kehidupan yang baik. Itu yang kita percaya.



Wednesday, February 8, 2012

Teguran

APABILA SATU TEGURAN dikeluarkan, akan ada tiga jenis kumpulan.
       Pertama, kumpulan yang akan menerima teguran itu. Kalau mereka berada bukan di tempat pesalah pun, mereka akan mendengar teguran itu dan mengambil khasiatnya.
      Kedua, kumpulan yang tidak kisah langsung. Seperti tidak mendapat teguran sahaja gayanya. Dia tidak peduli pun teguran-teguran ini.
       Ketiga, kumpulan yang akan membaling teguran itu ke arah lain dan menyalahkan si penegur pula. Contoh, teguran diberikan kepada pengawas, kemudian pengawas berkata, "Alah, pelajar biasa lagi teruk. Kenapa tidak ditegur mereka dahulu?"
        Kita fokuskan kepada kumpulan ketiga--bagaimana mereka mengambil teguran yang dilontarkan.

Peringatan itu baik untuk Mukmin

ALLAH menggesa orang-orang yang beriman untuk sentiasa menyebarkan peringatan. Tidak kira dalam bentuk apa sekalipun, selagi mana caranya masih berada dalam lingkungan syarak.
       ALLAH berfirman:
       "Dan berikanlah peringatan, sesungguhnya peringatan itu bermanfaat untuk orang yang beriman." (Adz-Dzariyat 51:55)
       Sebagai orang yang beriman, sepatutnya terbuka dengan teguran. Memandang kepada teguran itu sebagai satu penambahbaikan untuk dirinya. Walaupun teguran itu mungkin bukan menuju kepada dirinya. Tambah pula kalau tepat menuju kepada dirinya.
        Jika kita orang yang beriman, setiap teguran pasti mempunyai manfaatnya.

Apabila teguran datang

Apabila teguran datang menyentuh diri kita, maka hendaklah kita bertenang dan menilainya. Apakah benar teguran yang dilontarkan? Jika benar, bagaimanakah yang sepatutnya kita lakukan? Buat bodoh? Mahu terasa? Atau menerima teguran tersebut dengan rendah hati dan bergerak melakukan perubahan positif?
        Buktikan keimanan kita. Jika kita beriman, teguran itu akan menjadi satu manfaat kepada kita.
        Kalau teguran itu bukan untuk kita, tidak terkena pun pada kita, ertinya orang yang tegur itu telah salah 'parking'. Maka apakah yang patut kita lakukan? Adakah buat bodoh? Melenting? Hentam-hentam penegur? Atau, kita akan mengambil manfaat daripada teguran yang silap 'parking' itu?
        Jika kita beriman, maka teguran itu walaupun salah 'parking', ia semestinya memberikan manfaat kepada kita.
         Percayalah, ALLAH tidak akan biar si penegur itu salah 'parking' tegurannya pada kita dengan sia-sia sahaja. Mesti ada hikmahnya yang mendalam.







Dajjal, Nabi Isa, Yakjuj dan Makjuj

An-Nuwwas Bin Sam'an menceritakan, Rasulullah SAW memperkatakan mengenai Dajjal, kadang kala baginda merendahkan nada suara dan kadang kala baginda meninggikannya, hingga kami merasa seperti berada bersama sekumpulan lebah. Pada petang hari itu, kami menemuinya dan kami dapat melihat kesan kesedihan pada muka Rasulullah SAW.

"Bagaimana keadaan kalian?" tanya Rasulullah SAW.

Kami menjawab, "Wahai Rasulullah, pagi tadi tuan membicarakan mengenai Dajjal. Sesekali tuan merendahkan suara dan sesekali tuan meninggikannya, sehingga kami seakan-akan berada di tengah kerumunan lebah."

Rasulullah SAW berkata kepada mereka, "Bukan Dajjal yang saya bimbangkan terhadap kalian, Sekiranya dia muncul dan saya berada ditengah kalian, tentu saya akan membela kalian dengan hujah-hujah saya. Tapi jika dia muncul, sedangkan saya tidak lagi berada dalam kalangan kalian, setiap orang akan membela dirinya dengan hujahnya sendiri, sedang ALLAH merupakan penggantiku bagu membalas setiap orang muslim. Dajjal adalah seorang pemuda yang rambutnya kerinting dan matanya sepet. Pada saya ia kelihatan seperti Abdul-Uzza bin Dathan. Siapa yang bertemu dengannya, hendaklah dia membaca permulaan surat al-Kahfi.
Dia akan muncul di tempat yang sunyi di antara Syam dan Iraq. Lalu dia membuat kerosakan di sebelah kiri dan kanan. Wahai hamba-hamba ALLAH, teguhkanlah hati kalian."

Kami bertanya, "Wahai Rasulullah, berapa lama ia tinggal di bumi?"

Rasulullah SAW menjawab, "Empat puluh hari. Sehari seperti setahun, sehari seperti sebulan, sehari seperti seminggu dan seluruh harinya seperti hari-hari kalian."

Kami bertanya, "Wahai Rasulullah, sekiranya sehari seperti setahun itu, apakah cukup bagi kami mendirikan solat seperti solat kami dalam sehari?"

Rasulullah SAW menjawab, "Tidak, tetapi hitung sebagaimana mestinya menurut hitungan hari itu."

Kami bertanya, "Berapa kepantasan Dajjal berjalan di bumi?"

Rasulullah SAW menjawab, "Seperti hujan yang ditiup angin kencang. Ia datang kepada suatu kaum dan menyeru mereka, hingga mereka beriman kepadanya dan mengikut seruannya. Ia menyuruh langit menurunkan hujan, lalu turun hujan. Ia menyuruh bumi menambahkan tanaman, lalu tanaman pun tumbuh. Binatang ternak mereka pulang pada waktu petang, lebih panjang dan lebih gemuk dari keadaan sebelumnya serta besar kantung susunya. Kemudian ia mendatangi suatu kaum dan menyerunya, namun mereka menolak seruannya. Ia meninggalkan mereka pada keesokan harinya mereka kekeringan dan semua harta yang mereka miliki lenyap entah ke mana.
Dajjal melewati suatu tempat yang kosong. Dia berkata, 'Keluar harta simpananmu!' Maka kekayaan tempat itu mengikuti Dajjal seperti sekumpulan lebah yang mengikuti pemimpinnya. Kemudian Dajaal memanggil seorang pemuda, menetaknya dengan pedang hingga tubuhnya terbelah menjadi dua bahagian. Kedua-dua bahagian yang terbelah ini terpisah sejauh lemparan anak panah. Dajjal kemudian memanggil tubuh yang terbelah itu sehingga ia kembali semula dengan wajah yang berseri sambil tersenyum. Ketika itu, ALLAH menutus al-Masih Isa Putera al-Maryam, yang turun berhampiran menara putih di sebelah timur Damaskus, dengan memakai dua pakaian yang berwarna seperti celupan kunyit. Dia meletakkan telapak tangannya di atas seyap dua malaikat. Sekiranya dia menundukkan kepalanya, hujan turun. Jika dia mengangkat kepalanya, gugur butir-butir seperti mutiara. Orang kafir tidak dibolehkan mencium bau, melainkan dia langsung mati sebaik sahaja pandangannya teruja kepadanya.
Nabi Isa mencarinya hingga menemukannya berhampiran pintu Lud dan membunuhnya. Kemudian, Nabi Isa menemui suatu kaum yang dipelihara ALLAH dari Dajjal itu. Lalu dia mengusap muka mereka dan memberitahu kedudukan mereka di syurga. Selagi keadaannya seperti itu, ALLAH memberikan wahyu kepada Nabi Isa,

"Sesungguhnya Aku sudah mengeluarkan hamba-hamba-Ku yang tidak dapat ditundukkan oleh siapa pun yang memerangi mereka. Kerana itu, selamatkan hamba-hamba-Ku dengan cara menaiki bukit."
Kemudian ALLAH mengutus Yakjuj dan Makjuj berserta pasukannya yang datang dari tempat-tempat yang tinggi. Bahagian depan pasukan berada di Telaga Thibriyah lalu meminum seluruh airnya. Ketika bahagian akhir pasukan melalui tempat ini, mereka berkata, 'Sebelumnya di tempat ini ada airnya.'
Nabi ALLAH Isa berserta rakan-rakannya terkepung, hingga kepala salah seorang di antara mereka lebih berharga daripada seratus dinar milik kamu pada hari ini. Nabi ALLAH Isa dan rakan-rakannya berdoa kepada ALLAH, sehingga ALLAH mengirim cacing yang biasa menjangkiti hidung binatang ke tengkuk mereka, sehingga secara serentak mereka mati seperti matinya satu jiwa.
Kemudian Nabi ALLAH Isa dan rakan-rakannya turun ke bumi. Mereka mendapati semua tempat di bumi dipenuhi bangkai yang busuk. Nabi ALLAH Isa dan rakan-rakannya berdoa kepada ALLAH, lalu ALLAH mengirim burung-burung sebesar bonggol unta lalu membawa bangkai-bangkai itu dan membawanya ke tempat yang dikehendaki ALLAH. Kemudian ALLAH mengirim hujan, sehingga setiap rumah disiram air hujan itu, dan bumi debersihkan hingga seperti cermin.
Kemudian dikatakan kepada bumi, 'Tumbuhkan tanaman-tanamanmu dan kembalikan keberkatanmu!'
Maka pada hari itu sekelompok manusia memakan buah delima dam mereka bernaung di bawah kulitnya. Air susunya diberkati sehingga seekor unta cukup bagi sekumpulan orang ramai, seekor lembu cukup bagi penduduk sebuah kabilah, seekor kambing cukup bagi sekumpulan orang. Dalam keadaan seperti itu, ALLAH mengirim angin yang baik, lalu mengambil mereka di bawah hembusannya dan mencabut roh setiap orang Mukmin dan Muslim, sedangkan orang kafir melakukan hubungan seksual seperti keldai bersanggama. Kepada mereka ini kiamat ditimpakan."

(Direkodkan Muslim, At-Tarmizi dan Abu Daud)



- Rasulullah akan mempertahankan umatnya daripada cubaan Dajjal sekiranya ia muncul ketika Rasulullah masih hidup.
- Sekiranya Dajjal muncul ketika Rasulullah sudah wafat, setiap orang Islam perlu mempertahankan diri mereka sendiri.
- Dajjal muncul dalam bentuk seorang pemuda yang berambut kerinting dan bermata sepet.
- Sekiranya bertemu Dajjal, Rasulullah menyarankan agar membaca permulaan surah al-Kahfi.
- Dajjal akan muncul di tempat yang terletak di antara Syam dan Iraq.
- Dajaal berada di bumi ini selama empat puluh hari. Tetapi pada masa itu, sehari dirasakan seperti setahun, sebulan dan seminggu.
- Dajjal mendatangkan suatu kumpulan lalu mengajak mereka menyembahnya sebagai tuhan.
- Dajjal dapat menurunkan hujan dan menumbuhkan tanaman.
- Dajjal dapat menjadi kumpulan manusia yang menolaknya dalam keadaan derita akibat kehilangan harta yang hilang begitu sahaja.
- Dajjal dapat mengeluarkan harta daripada perut bumi.
- Dajjal akan mermbunuh seorang lelaki yang menentangnya dan menghidupkannya kembali sebagai bukti ketuhanannya. Namun lelaki itu tetap menolaknya sebagai tuhan lalu dia dibunuh sekali lagi.
- Nabi Isa akan diturunkan ke dunia dan dia akan mencari Dajjal dan membunuhnya.
- Nabi Isa menemui sekumpulan orang beriman dan menyampaikan berita gembira kedudukan mereka di dalam syurga.
- Yakjuj dan Makjuj mula menyerang dan mengepung Nabi Isa dan sekumpulan orang Islam.
- Dengan doa NAbi Isa dan orang beriman, ALLAH mengirimkan sejenis cacing yang menyebabkan Yakjuj dan Makjuj mati semuanya sehingga bumi menjadi busuk dengan bangkai mereka.
- ALLAH mengirimkan burung hering untuk memakan semua bangkai yang ada. Kemudian ALLAH menurunkan hujan sehingga membersihkan semua bangkai dari muka bumi.
- Bumi diarahkan menumbuhkan tanaman untuk orang beriman.
- Kiamat tidak akan berlaku selagi masih ada manusia yang beriman kepada ALLAH.
- Orang Islam akan hidup harmoni sehingga ALLAH mencabut nyawa mereka dengan lembut.
- ALLAH mematikan semua orang beriman agar mereka tidak perlu merasai seksa menghadapi bencana kiamat.
- Lalu yang tinggal hanya orang kafir yang melakukan hubungan seksual seperti keldai, lalu ALLAH menimpakan kiamat ke atas mereka.

wallahu'alam.



Tuesday, February 7, 2012

Tidak Ada Kematian Dan Penyakit Di Syurga

Abu Said dan Abu Hurairah memberitahu, Rasulullah berkata,

"Sekiranya para penghuni syurga sudah masuk syurga, seorang penyeru akan berseru. 'Sesungguhnya kalian mempunyai hak untuk hidup dan tidak mati selama-lamanya, dan tidak sakit selama-lamanya. Sesungguhnya kalian mempunyai hak untuk tetap muda dan tidak menjadi tua selama-lamanya, dan sesungguhnya kalian mempunyai hak untuk hidup senang dan tidak bersedih selama-lamanya."


- Penghuni syurga dapat hidup selama-lamanya.
- Apabila berada di dalam syurga, semua orang tidak lagi merasa sakit malahan hidup dengan sihat.
- Penghuni syurga juga tidak akan dimakan usia seperti ketika mereka didunia. Semua penghuni kekal dalam usia muda belia.
- Kesedihan tidak lagi wujud di dalam syurga, dan penghuninya hidup dengan riang gembira.
- Segala kesusahan dan kepayahan yang dialami menusia ketika di dunia tidak lagi dirasai apabila berada di syurga.
- Motivasi bagi mereka yang susah hidupnya di dunia agar tidak berhenti berharap untuk ke syurga yang tiada kesusahan di dalamnya.

Sunday, February 5, 2012

Rindu

Ya ALLAH.,

Aku amat merindui MU, Ya ALLAH..
dan aku juga amat merindui Rasul MU, Ya ALLAH..

sangat-sangat.



Saturday, February 4, 2012

Khutbah Jumaat Rasulullah Pertama

Rasulullah melakukan solat Jumaat pertama kalinya di Wadi Ranuna, sekitar satu kilometer dari Masjid Quba atau 4 kilometer dari Madinah al-Munawarrah. Di sana kini berdiri sebuah masjid yang diberi nama Masjid Jumaat.

"Segala pujian ALLAH, kepada Nya saya memohon pertolongan, ampunan, dan petunjuk. Saya beriman kepada ALLAH dan tidak kufur kepada Nya. Saya bersaksi tiada tuhan selain ALLAH, dan tidak ada sekutu bagi Nya. Saya juga bersaksi, Muhammad adalah hamba dan utusan ALLAH. Dia telah mengutusnya dengan petunjuk dan agama yang benar, dengan cahaya dan pelajaran, setelah lama tidak ada rasul yang diutus, ketika sedikitnya ilmu, dan banyaknya kesesatan pada manusia di kala zaman menjelang akhir dan ajal kian dekat.
Sesiapa mentaati ALLAH dan Rasul Nya, dia mendapatkan petunjuk. Siapa yang menderhakai ALLAH dan Rasul Nya, dia melampui batas dan tersesat dengan kesesatan yang sangat jauh.
Saya berwasiat kepada kalian agar bertaqwa kepada ALLAH. Ia adalah wasiat terbaik bagi seorang Muslim. Seorang Muslim perlu selalu mengingati akhirat dan menyeru kepada ketakwaan kepada ALLAH.
Berhati-hati terhadap yang diperingatkan ALLAH, Kerana, itu adalah peringatan yang tiada tandingannya. Ketakwaan kepada ALLAH yang dilaksanakan kerana takut kepada Nya, ia memperoleh pertolongan ALLAH atas segala urusan akhirat.

Sesiapa yang selalu memperbaiki hubungan dirinya dengan ALLAH, sama ada ketika sendirian mahu pun di tengah orang ramai, dan dia melakukan semata-mata hanya mengharapkan redha ALLAH, baginya kejayaan di dunia dan ganjaran pahala setelah mati, iaitu ketika setiap orang mengharapkan balasan atas apa yang dilakukannya. Jika tidak melakukan semua itu, pasti dia berharap agar masanya menjadi lebih panjang. ALLAH memperingkatkan kamu akan seksa Nya, dan ALLAH mengasihi hamba-hamba Nya."
(Surah Ali Imran, ayat 30)

Dia adalah Zat yang benar firman Nya, melaksanakan janji Nya, dan semua itu tidak pernah diingkari. 

ALLAH berfirman,

"Keputusan di sisi Ku tidak dapat di ubah, dan Aku sekali-kali tidak menganiaya hamba-hamba Ku."
(Surah Qaf, ayat 29)

Kerana itu, bertakwalah kalian kepada ALLAH dalam urusan sekarang mahu pun yang akan datang, sama ada secara rahsia atau terang-terangan. 

"Sesungguhnya barag siapa yang bertakwa kepada ALLAH, nescaya Dia akan menghapus kesalahan-kesalahannya dan akan melipat gandakan pahala baginya."
(Surah at-Thalaq, ayat 5)

"Siapa bertakwa kepada ALLAH, sungguh ia telah memperoleh kemenangan yang besar."
(Surah al-Ahzab, ayat 71)

"Sesungguhnya ketakwaan kepada ALLAH menghindarkan dari kemarahan, hukuman, dan kemurkaan Nya. Takwa kepada ALLAH menjadikan wajah bersinar terang, membuatkan ALLAH redha, dan meninggikan derajat. Lakukan dengan sepenuh kemampuan kalian, dan jangan sampai kurang di sisi ALLAH."

"Dia telah mengajarkan kepada kalian dalam kitab Nya dan membentangkan jalan Nya, untuk mengetahui siapa yang benar dan untuk mengetahui siapa yang dusta."
(Surah al-Ankabut, ayat 3)

"Justeru itu, kamu perlu berbuat baik, sebagaimana Dia berbuat baik kepada kalian, dan musuhi musuh-musuh Nya. Berjihad di jalan ALLAH dengan sebenar-benarnya jihad. Dia telah memilih dan menamakan kalian sebagai Muslim."
(Surah al-Hajj, ayat 78)

"Agar orang yang binasa itu binasanya dengan keterangan yang nyata dan agar orang yang hidup itu hidupnya dengan keterangan yang nyata."
(Surah al-Anfal, ayat 42)

Tiada daya upaya, kecuali hanya dengan kekuatan ALLAH. Kerana itu, banyakkan mengingati ALLAH, dan beramal demi kehidupan setelah mati. Orang yang membangun hubungan baik dengan ALLAH, Dia juga mengeratkan hubungan orang itu dengan manusia lainnya.
Kerana ALLAH yang menberi ketetapan kepada manusia, sedang manusia tidak mampu memberi ketetapan kepada Nya. Dia menguasai Nya. ALLAH itu Maha Agung. Tiada daya dan kekuatan selain dengan kekuatan ALLAH yang Maha Tinggi dan Maha Agung."


Isi khutbah Rasulullah berikut ini sebagaimana juga disebutkan dalam Tarikh Thabari, Tafsir al-Qurthubi, Subul al-Huda wa ar-Rasyad, dan Al-Bayan al-Muhammadi karya Dr Mustafa Asy-Sya'kah. Penjelasan ini juga diperkuat dengan keterangan Ibnu Abbas yang meriwayatkan oleh Ibnu Katsir.


- ALLAH mengutus seorang nabi setelah kian lama tidak ada rasul, dan ketika kejahilan dan kesesatan berleluasa.
- Asas iman adalah mentaati ALLAH dan Rasul Nya.
- Orang Islam perlu sentiasa mengingati hari akhirat dan bertakwa kepada ALLAH.
- Beri perhatian serius terhadap semua peringatan yang ALLAH berikan.
- Ketakwaan kepada ALLAH boleh memberikan pertolongan ALLAH kepada seorang yang beriman di akhirat.
- Orang yang memelihara hubungannya dengan ALLAH secara terangan atau sembunyi, dia mendapat kejayaan di dunia dan ganjaran pahala selepas mati.
- Ketakwaan kepada ALLAH menghapuskan dosa-dosa dan melipat gandakan pahala.
- Orang yang mengeratkan hubungannya dengan ALLAH, ALLAH juga akan mengeratkan hubungannya dengan manusia lain.
- Berbaik kepada ALLAH sebagaimana Dia berbaik kepada kamu.
- Ketakwaan kepada ALLAH menjadikan wajah bersinar dan mendapat keredhaan ALLAH.

Mengingati Kematian dan Kubur

Abu Said Al-Khudri menceritakan, Rasulullah pernah datang ke masjid dan melihat beberapa orang sedang melakukan suatu pekerjaan. Lalu Rasulullah berkata:

"Sekiranya kamu banyak mengingati perosak kelazatan, sudah tentu kamu tidak akan sibuk melakukan perkara seperti ini. Oleh itu, banyakkan mengingati perosak kelazatan, iaitu kematian. Kubur sentiasa berkata, 'Aku adalah rumah terasing, aku adalah rumah sendirian, aku adalah rumah tanah, aku adalah rumah ulat-ulat.'
 Sekiranya seorang hamba yang beriman dikuburkan, kubur berkata kepadanya, 'Selamat datang. Engkau adalah orang yang berjalan di atas belakang ku yang paling aku suka. Hari ini, engkau akan melihat apa yang aku lakukan kepadamu.' "

Rasulullah berkata lagi:

"Lalu kubur itu menjadi lapang seluas mata memandang, lalu dibukakan pintu untuk dia pergi ke syurga.
Sekiranya seorang hamba yang jahat atau kafir dikuburkan, lalu kubur berkata kepadanya, 'Aku tidak mengalu-alukan kamu. Engkau adalah hamba yang berjalan di atas belakang ku yang paling aku benci. Pada hari ini, aku diberikan tugas bagi menguruskan kamu, engkau akan lihat apa yang aku lakukan kepada kamu,' Kemudian, sisi kubur pun menghimpitnya sehingga tulang-tulangnya hancur."

Setelah itu, Rasulullah memasukkan jari jemarinya di antara jari jemari tangan yang satu lagi. Lalu berkata,

"Didatangkan kepadanya 70 ekor ular. Sekiranya seekor ular itu menyemburkan racunnya ke bumi, tiada tumbuhan yang dapat tumbuh di atasnya. Lalu ular ini mematuknya sehingga dia dibawa untuk dihisab."

Rasulullah kemudian berkata lagi, "Kubur itu boleh menjadi sebuah taman daripada taman-taman syurga, atau menjadi sebuah lubang daripada lubang-lubang neraka."


- Mengingati mati adalah terapi berkesan bagi mengubati penyakit hati yang cenderung mengikut nafsu dan gemarkan maksiat.
- Keghairahan mengejar nikmat dunia pasti terbantut apabila memikirkan kematian yang datang bila-bila masa sahaja.
- Mengingati mati menggalakkan orang islam bekerja dan beribadat bersungguh-sungguh ketika di dunia sebagai persiapan menghadapi akhirat.
- Kubur orang beriman dibesarkan bagi keselesaannya.
- Orang beriman mendapat nikmat ketika masih berada di dalam kubur sebelum ke alam akhirat.
- Orang tidak beriman menerima seksaan walau pun ketika masih berada di dalam kubur. Antara seksaan yang diterimanya ialah liang kuburnya disempitkan sehingga tulang-tulangnya hancur, dan 70 ekor ular menyerangnya.
 
Powered by Blogger.