Powered by Blogger.

Friday, February 10, 2012

Masa Hadapan Yang Lebih Jauh

APABILA DISEBUTKAN BERKENAAN memandang masa hadapan, apakah yang kita nampak?
        Mungkin kerjaya. Mungkin keluarga. Mungkin harta. 
        Ingin kerja apa? Ingin berkahwin dengan siapa? Ingin rumah atau kereta yang bagaimana?
        Mungkin bagi pelajar sekolah rendah, dia akan fikir di mana dia hendak bersekolah menengah. Mungkin bagi pelajar sekolah menengah, dia akan fikir apakah bidang yang hendak dia ceburi dan di manakah universiti sepatutnya dia pergi.
        Mungkin itu yang kita panggil sebagai 'masa hadapan'.
        Cuma dalam kalangan kita, siapakah yang memandang masa hadapan yang lebih jauh?
        Apakah masa hadapan yang lebih jauh?
        Ia adalah akhirat.

Akhirat, masa hadapan yang sebenar

Manusia yang memandang masa hadapan, adalah manusia yang terbaik. Apabila dia memandang masa hadapan, maka dia akan merancang perjalanan hidupnya.
        Bercita-cita hendak menjadi doktor, maka dia akan merancang perjalanan hidupnya biar dia menjadi doktor. Berhajatkan masa hadapannya nanti tinggal di rumah mewah, maka dari hari ini dia mula merancang untuk mendapat rumah mewah itu.
        Hendak masuk universiti yang disukainya, maka dia akan bersungguh-sungguh memenuhi kelayakan yang di tuntut oleh universiti tersebut.
         Di sinilah letaknya kepentingan membuka mata untuk memandang bahawa akhirat adalah masa hadapan kita yang hakiki. Mengapa?
         Apabila kita memandang akhirat sebagai masa hadapan yang hakiki, kita akan merancang dengan teliti.
         Tambahan, apakah wujud masa hadapan, yang lebih hadapan daripada akhirat?

Matlamat jauh

Kita tahu akhirat ini mempunyai dua cabang pengakhiran.
         Satu neraka. Satu syurga.
         Neraka anda celaka. Syurga anda bahagia.
         Kita yakin, semua orang tidak mahu celaka. Semua orang hendak bahagia. Semua orang suka bahagia selama-lamanya. Justeru, bagi manusia yang beriman, dan memandang bahawa akhirat sebagai masa hadapannya, maka dia akan takut dirinya tercebur ke dalam neraka, dan dia akan berhajat kepada syurga. 
         Persoalannya, bagaimanakah perkara itu boleh berlaku?
         Soalan ini, menimbulkan matlamat-matlamat kecil.
        Sebagai contoh, "Saya mahu masuk syurga, jadi saya perlu menjadi orang yang soleh, tidak berbuat maksiat, dan taat kepada ALLAH."
         Contoh lain, "Saya hendak masuk syurga, jadi saya kena bersunguh-sungguh dalam semua perkara. Tidak boleh main-main, tidur dalam kelas, curi tulang semasa bekerja dan sebagainya."
         Contoh lain lagi, "Saya ingin masuk syurga, jadi saya perlu memberikan sumbangan kepada Islam Saya minat menjadi penulis, maka penulisan-penulisan saya mestilah menyumbang kepada Islam."
         Begitu.
         Sedar tidak sedar, manusia yang memandang bahawa akhirat adalah masa hadapannya, dan dia ingin masa hadapan yang baik, maka dia akan menyusun kehidupannya menjadi kehidupan yang terbaik.
         Apakah syurga mampu diperolehi dengan lenggang kangkung saja?
        Mustahil.
       Apakah wujud masa hadapan lain yang boleh membina peribadi lengkap untuk mengharungi dunia seperti akhirat?
       Tiada!

Berapa ramai yang memandang demikian?

Persoalan utama, berapa ramai yang memandang akhirat sebagai masa hadapan kehidupannya?
        Hari ini, kita telah dipisahkan. Agama dikatakan hanya perlu di dalam masjid, pada musim-musim tertentu, pada waktu-waktu tertentu sahaja. Apabila dikatakan akhirat, kita akan dicop membawa kemunduran, atau berkata akan sesuatu di luar akal.
        Islam bukan demikian.
        Di dalam al-Quran, kita akan sentiasa melihat bahawa 'beriman kepada ALLAH' akan digandingkan dengan 'beriman kepada akhirat'. Contoh boleh dilihat pada ayat 228 surah al-Baqarah, ayat 2 surah an-nur, ayat 52 surah al-Mujadilah, ayat 18 surah al-Hasyr, dan ayat 2 surah at-Talaq.
        Beriman kepada ALLAH adalah permulaan keimanan kita dalam Islam. Manakala akhirat adalah destinasi terakhir kita dalam perjalanan keimanan ini. Apabila kita bermula dengan keimanan kepada ALLAH, maka kita wajib mengharapkan akhirat. Apabila kita memandang akhirat dan apa yang di sediakan ALLAH kepada kita di sana, di situlah kita merancang apa yang hendak kita lakukan dengan keimanan kita kepada ALLAH tadi, hinggalah kita mencapai akhirat.
        Hari ini, tidak demikian.
        Akhirat kita lontar di satu sudut yang jauh.
        Kita tidak bersedia untuknya.
        Sedangkan, apabila kita mengejar akhirat, insyaALLAH kita akan sentiasa bahagia di dunia. Tiada ruginya mengejar akhirat.
        Orang yang tidak berdisplin bukanlah ciri-ciri pengejar akhirat. Orang yang pengotor bukanlah ciri-ciri pengejar akhirat. Orang yang tidak adil bukanlah ciri-ciri pengejar akhirat. Orang yang suka bergaduhan, menyakitkan hati orang lain bukanlah ciri-ciri pengejar akhirat. Orang yang berakhlak bururk, suka mencarut, bukanlah ciri-ciri pengejar akhirat. Orang yang korup, songlap wang, bunuh orang, bukanlah ciri-ciri pengejar akhirat.
        Pengejar akhirat, akan memisahkan dirinya, daripada kejahatan, keburukan, dan hidupnya akan bahagia dengan ketenangan.
       Tidakkah manusia melihat?

Dunia adalah ladang akhirat

Akhirat perlu kita letakkan sebagai matlamat masa hadapan kita, cita-cita utama kita, agar kehidupan kita terbentuk dengan baik. Hal ini kerana, selepas rumah mewah, masih ada lagi perkara lain. Selepas universiti, masih ada lagi perkara lain. Apa-apa pun cita-cita kita akan masa hadapan, semuanya masih ada perkara lain bersama-samanya. Cita-cita itu mungkin mampu membuatkan kita bagus dari satu sisi, tetapi belum tentu untuk sisi-sisi yang lain.
        Namun apabila akhirat menjadi cita-cita utama kita, ia akan mencakupi segala-gala.
        Apa yang manusia rugikan di atas dunia ini jika dia menjadi pengejar akhirat?
        Tiada. Modal untuk akhirat adalah dunia. Pengejar akhirat, kehidupannya di dunia adalah kehidupan yang baik. Itu yang kita percaya.



0 comments:

Post a Comment

 
Powered by Blogger.