Powered by Blogger.

Tuesday, November 22, 2011

Tertawa Di Dunia Menangis Di Akhirat


                Untuk menghisab diri, kurangkanlah ketawa dan perbanyakkan menangis. Dalam satu hadis, Rasulullah bersabda, “Banyak ketawa dan tergelak-gelak itu mematikan hati.”
                Banyak tertawa menjadikan hati semakin malap dan tidak berseri. Lampu hati tidak bersinar dan akhirnya terus tidak menyala. Hati tidak berfungsi lagi.
                Rasulullah melarang ummatnya dari gelak-ketawa yang melampaui batas. Menurut hadis, banyak ketawa menghilangkan akal dan ilmu. Barangsiapa ketawa terdekah-dekah, akan hilang satu pintu daripada pintu ilmu.
                Kenapa dilarang ketawa berdekah-dekah? Dalam keadaan suka yang keterlaluan, hati kita lalai dan lupa suasana akhirat dan alam barzakh yang bakal kita tempuhi kelak. Sedangkan dahsyatnya alam tersebut tidak dapat dinukilkan dalam sebarang bentuk media. Kita sedang menuju ke satu destinasi yang belum tentu menjanjikan kebahagiaan abadi. Sepatutnya kita berfikir bagaimana kedudukan kita di sana nanti, sama ada berbahagia atau menderita.
                Berbahagia di dunia bersifat sementara tetapi di akhirat berpanjangan tanpa had. Penderitaan di dunia hanya seketika tetapi di akhirat azab yang berterusan dan berkekalan. Merenung dan memikirkan keadaan ini cukup untuk kita menghisab diri serta menyedarkan diri kita tentang bahaya yang akan ditempuh.
                “Tertawa-tawa di masjid menggelapkan suasana kubur”. Demikian ditegaskan oleh Rasulullah. Kita sedia maklum, kuburanlah rumah yang bakal kita duduki dalam tempoh yang panjang. Kita keseorangan dan kesunyian tanpa teman dan keluarga. Kubur adalah satu pintu ke syurga atau neraka. Betapa dalam kegelapan di sana, kita ddgelapkan lagi dengan sikap kita yang suka terbahak-bahak di dunia.
                Ketawa yang melampui batas menjadikan kita kurang berilmu. Apabila kurang ilmu, akal turun menjadi kurang. Kepekaan terhadap akhirat juga menurun. Rasulullah pernah bersabda: “Barangsiapa tertawa-tawa nescaya melaknat akan dia oleh ALLAH (Al-Jabbar). Mereka yang banyak tertawa di dunia nescaya banyak menangis di akhirat.”
                Saidina Ali sentiasa mengeluh, “...jauhnya perjalanan... sedikitnya bekalan...” Walaupun hebat zuhud dan ibadat beliau, namun merasakan masih kurang lagi amalannya. Betapa kita yang kerdil dan malas beribadat ini sanggup bergembira 24jam.
                Dalam hadis lain, Rasulullah bersabda, “Barangsiapa banyak tertawa-tawa, nescaya meringankan oleh api neraka.” Maksudnya mudah dimasukkan ke dalam neraka.
                Kita tidak pula dilarang menunjukkan perasaan suka terhadap sesuatu. Cuma yang dilarang ialah berterusan gembira dengan tertawa yang berlebihan. Sebaik-baik cara bergembira ialah seperti yang dicontohkan oleh Rasulullah. Baginda tidak terbahak-bahak tetapi hanya tersenyum menampakkan gigi tanpa bersuara kuat.
                Para sahabat pernah berkata, “Ketawa segala Nabi ialah tersenyum, tetapi ketawa syaitan itu tergelak-gelak.”


Friday, November 18, 2011

Teknik Khusyuk Dalam Solat


Antara teknik untuk mendapat khusyuk dalam solat dan kemanisan beribadah ialah:

1.       Sentiasa melaksanakan solat berjemaah, (yang paling afdal ialah di masjid).
2.       Menjaga makanan dan minuman agar terjamin halalnya.
3.       Membanyakkan sedekah kepada fakir miskin.
4.       Jangan bersolat dengan menangguh untuk membuang air besar atau air kecil dan perkemaskan segala urusan supaya tidak timbul kebimbangan dalam solat.
5.       Mengambil wuduk dengan sempurna supaya air mengenai semua anggota yang wajib serta mengingati niat atau doa apabila air melalui setiap anggota.
6.       Memakai pakaian yang bersih dan kemas seperti hendak menghadap pembesar negeri.
7.       Tempat sujud dipastikan supaya tidak ada gambar yang mengganggu fikiran atau membimbangkan hati.
8.       Mengingati mati dan kemungkinan itu merupakan solat yang terakhir sekali dalam hidup.
9.       Menyedari bahawa ia sedang berhadapan dengan ALLAH yang Maha Agung dan Maha Mengetahui segala rahsia hamba-Nya.
10.   Memenuhkan dada dengan perasaan takut dan rendah diri terhadap ALLAH yang melihat segala gerak-geri kita.
11.   Memahami segala bacaan dalam solat termasuk ayat-ayat Quran dan segala zikir.
12.   Sebelum mengangkat takbir, membaca surah al-Nas, selawat atas Nabi SAW, istighfar dan apa-apa bacaan untuk menjauhkan gangguan syaitan.
13.   Memandang ke tempat sujud dan tidak terlalu banyak menggerakkan anggota dan berpaling semasa dalam bersolat.
14.   Memusatkan seluruh ingatan kepada solat.
15.   Memanjangkan sedikit tempoh semasa rukuk dan sujud.
16.   Memastikan tidak ada gangguan dalam kawasan kita bersolat.
17.   Jangan memandang ke kiri dan ke kanan.


Hadapi Hinaan Dengan Sabar Dan Tenang


Dalam kehidupan seharian, kita tidak dapat melarikan diri daripada hinaan. Hidup kita tidak sempurna, malah pasti wujud kekurangan dan cacat cela di mana-mana. Bukan semua orang suka dan senang dengan tingkah laku kita, pasti ada hinaan yang datang bertandang.
                Biasanya manusia menjadi lemah dan kecewa apabila hinaan datang kepadanya. Tambah pula hinaan itu bukan sekadar dengan kata-kata sinis, tetapi datang dalam bentuk perbuatan yang menghiris hati. Manusia yang tidak senang dengan kita akan sentiasa datang menggangu kehidupan kita, merendah-rendahkan kita dan sebagainya.
                Saat diri kita disentuh oleh hinaan ini, hati kita akan mudah terasa dan menjadi lemah. Kita akan rasa terganggu, lalu tubuh badan dan pemikiran kita terasa seperti dibelenggu. Rasa letih, rasa sia-sia segala kerja, rasa tidak bermakna segala usaha. Akhirnya, kita akan berhenti bekerja, berhenti berusaha, berhenti segala-galanya.
                Adakah kehidupan kita akan bermakna jika kita bertindak sedemikian? Adakah akan bermakna usia kita jika kita berhenti daripada berusaha? Adakah bermakna hayat kita jika kita tewas hanya kerana orang menghina?
                Pada saat kita hendak mengaku kalah itu, kita mungkin terlupa bahawa Nabi Nuh a.s. telah berdakwah selama 950 tahun. Adakah dia berdakwah dalam keadaan senang-lenang tanpa hinaan? Tidak, dia berhadapan dengan hinaan sepanjang masa 950 tahun itu. Hatta anak dan isterinya turut menghinanya. Nabi Nuh pernah mengadu kepada ALLAH, dan ALLAH abadikan aduannya dalam surah Nuh ayat 5-7,
                “Dia (Nuh) berkata, ‘Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam, dan sesungguhnya aku setiap kali menyeru mereka agar Engkau mengampuni mereka,  mereka telah memasukkan anak jari mereka ke dalam telinga mereka  dan memasukkan wajah mereka ke dalam baju mereka dan mereka tetap (mengingkari) dan menyombong diri.”
                Lihat, 950 tahun Nabi Nuh menyeru dalam keadaan sedemikian rupa. Dia mengalah? Tidak. Malah dia tetap yakin akan kebenaran kerjanya dan meneruskan kerjanya sehingga ALLAH memberikan kemenangan kepadanya.
                Lihat pula Rasulullah S.A.W, Baginda dihina sepanjang masa dakwahnya di Makkah. Ketika Baginda berdakwah untuk orang yang mengerjakan haji di Makkah, Abu Jahal akan sentiasa mengikutinya ke semua tempat dan apabila Rasulullah hendak menyampaikan dakwah, maka Abu Jahal akan turut berbicara menghinanya.
                Rasulullah S.A.W digelar oleh kafir musyrikin Makkah dengan gelaran orang gila, ahli sihir dan sebagainya. Namun Baginda tetap tidak berhenti. Sabar dan tenang adalah sikap Baginda yang menyebabkan Baginda ampuh daripada putus asa. Ketabahan Baginda itu menyebabkan kaum musyrikin datang ke rumah Baginda dan menawarkan tawaran-tawaran hebat seperti menjadi raja, mendapat perempuan cantik atau harta.
                Tahukah anda apa yang Baginda katakan kepada mereka?
                “Andai kata kamu meletakkan matahari di tangan kananku, dan kamu letakkan bulan di tangan kiriku, maka aku tetap tidak akan meninggalkan kerja-kerja ini...”.
                Apakah yang berlaku kepada perjuangan Rasulullah selepas itu? Bukankah berjaya? Buktinya, iman dan islam itu sampai ke tangan kita hari ini.
                Nah...
                Orang menghina?
                Jangan terganggu, teruskan USAHA.
                Bukankah ALLAH bersama-sama kita?


 
Powered by Blogger.