Powered by Blogger.

Thursday, June 16, 2011

Cinta ALLAH Membuahkan Cinta Yang Lain

Cinta. Untuk kehidupan, cinta adalah amat penting. Tanpa cinta, kehidupan akan menjadi gersang . Semua manusia mencari cinta, walaupun ada segelintir daripada mereka yang tidak mengerti hakikat cinta yang sebenar. Namun, secara tidak langsung, semua manusia itu bercinta sebenarnya kerana cinta adalah fitrah bagi seorang manusia.

Cinta sememangnya amat mahal kerana cinta tidak boleh dijual beli melainkan dia datang dengan sendiri. Namun manusia perlu tahu menghargai cinta, kerana hari ini, cinta sering disalah erti. Betapa mahalnya cinta , pada saya, hanya orang yang beriman kepada ALLAH s.w.t dan yakin dengan pertemuan dengan-NYA pada hari kiamat sahaja yang mengetahui. Orang yang mengerti mahalnya cinta, maka dia tidak akan meletakkan cintanya pada taraf yang rendah.

Cinta merupakan hadiah daripada ALLAH s.w.t kepada manusia. Suatu hadiah yang tidak ternilai harganya. Namun cinta yang indah ini boleh sahaja menjadi buruk, apabila manusia salah menggunakannya. Cinta yang tertinggi itu ialah cinta kepada ALLAH s.w.t. Daripada cinta kepada ALLAH, maka berbuahlah cinta kita kepada yang lain. Jika asas cinta kita kepada yang lain ialah ALLAH, maka cinta kita kepada yang lain itu akan menjadi cinta yang utuh, sejati lagi bermakna.

Ada satu rangkap nasyid,
Cintailah cinta yang di hati
Itulah cinta yang hakiki
Cinta di mata, cinta palsu
Cinta yang di mata
Nafsu melulu
Cinta al-Haq, cinta abadi
Berbahagia... di dunia lagi.


Biasanya manusia hanya melihat cinta melalui pandangan mata dunianya. Maka sebab itulah sebahagian daripada kita boleh menjual cinta dengan harga murah. Namun sesiapa yang melihat cinta dari jendela akhirat, pastinya dia akan menjaga cintanya sehabis baik, kerana cinta juga ialah salah satu kunci kepada syurga.
Cinta kepada ALLAH, cinta kepada Rasulullah, cinta kepada ibu bapa, cinta kepada suami/isteri, cinta kepada anak-anak, cinta kepada sahabat dan cinta kepada masyarakat . Semua cinta ini membentuk kehidupan yang harmoni. Mahalnya cinta kerana ia memegang keharmonian. Cuba fikir dunia tanpa cinta, apakah yang akan terjadi?

Kita tanpa cinta ALLAH, apakah yang akan berlaku? Kita tanpa kasih Rasulullah, tidakkah nasib kita menjadi kaku? Kita tanpa kasih sayang daripada ibu bapa, bukankah hidup akan menjadi beku? Kita tanpa cinta anak-anak, tidakkah hidup akan menjadi hiba? Hidup tanpa cinta suami isteri, bukankah akan porak peranda? Kehidupan tanpa cinta sahabat, bukankah akan sepi sentiasa? Hidup tanpa cinta masyarakat, adakah itu hidup namanya?

Daripada cinta berbuah kasih sayang, daripada rasa cinta berbuah senyuman, daripada cinta juga terhasilnya suka, daripada suka berbuah tawa gembira. Apakah makna hidup tanpa semua ini? Adakah bahagia atau kita akan menjadi sengsara?
Bayangkan sebentar, hidup anda tanpa ceria, tanpa mesra, tanpa senyum tawa, tanpa hubungan cinta kasih semua.
Apakah yang akan berlaku?

Cinta itu mahal, tetapi bukan semua orang mengerti akan mahalnya cinta. Hanya orang yang memegang cinta akan mahalnya cinta. Hanya orang yang memegang cinta dengan teguh sahaja yang akan mengerti. Selain itu mereka yang kehilangan cinta sahaja yang akan tahu betapa besarnya harga cinta. Mereka yang bersungguh-sungguh mengejar cinta sahaja tahu betapa manisnya cinta itu.

Cinta itu mahal, tetapi bukan semua orang mengerti akan cinta. Pengertian cinta akan menetapkan harga cinta itu sendiri. Jika benar kefahaman anda mengenai cinta, maka cinta itu akan menjadi mahal. Namun jika kita tersilap menghitung erti cinta, cinta akan menjadi murah semurah-murahnya.

Ramai manusia tidak mengerti akan cinta, kerana cinta mereka berlandaskan hawa nafsu. Sedangkan cinta yang sebenar itu berlandaskan keimanan. Keimanan kepada ALLAH s.w.t.

Sebagaimana yang saya katakan, cinta kepada ALLAH itu membuahkan cinta-cinta yang lain. Siapa yang mencintai ALLAH, maka dia akan mencintai Rasulullah s.a.w. dengan sepenuh jiwa. Siapa yang mencintai ALLAH, maka dia akan mencintai kedua-dua ibu bapanya dengan bersungguh-sungguh. Siapa yang mencintai ALLAH, maka dia akan mencintai suami/isteri sepenuh hatinya. Siapa yang mencintai ALLAH, maka dia akan mencintai sahabat sepenuh nyawanya. Siapa yang mencintai ALLAH, maka dia akan mencintai anak-anaknya dengan sepenuh kasihnya. Jika kita mencintai ALAH, maka pastinya kita akan mencintai sahabat-sahabat kita.

Matlamat cinta yang mahal ini pula bukan matlamat yang murah. Oleh sebab cinta dengan kehidupan itu tidak boleh dipisahkan, maka matlamat cinta juga ialah matlamat kehidupan. Ya, cinta itu juga satu ibadah. Destinasi cinta ialah ALLAH s.w.t. Justeru, apabila kita mencintai seseorang maka kita hendak sesiapa yang kita cintai itu, bersama-sama dengan kita melangkah ke dalam syurga.
Mahal. Cinta sebegini mahal. Indah, cinta sebegini terlalu indah.

Bukan sebatas dunia, tetapi melangkau akhirat. Bukan setakat di bumi, malah bertaut hingga ke syurga nanti.

Tidak mahal ke? Mahal dan indah. Indah dan ceria. Tenang lagi bahagia.

Kenapa kita tidak mengejar cinta sebegini? :)

0 comments:

Post a Comment

 
Powered by Blogger.