Powered by Blogger.

Tuesday, June 18, 2013

Bagaimana Rasulullah Tidur


Antara sunnah dan adab tidur ialah:

1. Baginda Sollallahu’alaihiwassalam melarang tidur selepas solat Maghrib dan melewatkan tidur selepas solat Isyak.
 Diriwayatkan oleh Abi Barzah r.a., bahawasanya Rasulullah melarang dan tidak menyukai tidur sebelum Isyak dan berbual-bual kosong selepasnya. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

2. Melakukan solat sunat witir sebelum tidur.
Abu Hurairah r.a. berkata, “Kekasihku (Rasulullah Sollallahu’alaihiwassalam) telah berwasiat kepadaku dengan tiga perkara: berpuasa tiga hari setiap bulan, menunaikan dua rakaat duha dan supaya aku menunaikan solat witir sebelum tidur.” (Riwayat Muslim)

3. Menutup lampu, menutup bekas-bekas, menutup pintu dan tingkap.
Rasulullah Sollallahu’alaihiwassalam telah bersabda, “Padamlah lampu (atau pelita) apabila kalian hendak tidur, tutuplah pintu, terbalikkan bekas-bekas minuman dan tutupilah makanan dan minuman. (Jabir r.a. menambah) Aku teringat Baginda Sollallahu’alaihiwassalam menyebut (menutup) demikian walaupun dengan sebatang kayu (‘uud) yang melintang di atasnya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

4. Membasuh tangan dan mulut daripada sisa-sisa makanan.
Rasulullah Sollallahu’alaihiwassalam telah bersabda, “Barangsiapa yang tidur sedang di tangannya ada kesan makan, kemudian didatangi sesuatu. Maka jangan dia menyalahkan melainkan dirinya sendiri.” (Riwayat Abu Daud)

5. Berwuduk sebelum tidur.
Rasulullah Solallahu’alahiwassalam telah bersabda, “Apabila kamu mendatangi tempat tidurmu maka berwuduklah kamu seperti wudukmu untuk solat.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

6. Mengibaskan tempat tidur dengan menyebut Basmallah.
Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah Sollallahu’alaihiwassalam telah bersabda, “Apabila seseorang daripada kamu kembali ke tempat tidurnya maka ambillah kain izaar (kain selimut atau cadar) dan kibaslah ia di atas alas tidurnya dan bacalah Bismillah, kerana dia tidak mengetahui di atas cadarnya ketika dia tiada.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

7. Tidur dengan mengiringkan badan ke sebelah kanan.
Rasulullah Sollallahu’alaihiwassalam telah bersabda, “Apabila kamu mendatangi tempat tidurmu maka berwuduklah seperti wudukmu untuk solat, kemudian berbaringlah di atas lambungmu yang kanan.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Baginda Sollallahu’alaihiwassalam juga melarang kita daripada tidur dalam keadaan meniarap kerana menyerupai gaya tidur syaitan. Pernah sekali, Baginda melihat seorang tidur di atas perutnya (meniarap) maka Baginda Sollallahu’alaihiwassalam berkata, “Sesungguhnya tidur seperti ini dimurkai ALLAH dan Rasul-Nya.”
Apabila telah berbaring dalam keadaan mengiring ke kanan, sunnah pula meletakkan telapak tangan kanan di bawah pipi (kanan).
Huzaifah r.a. meriwayatkan bahawasanya Rasulullah Sollallahu’alaihiwassalam tatkala mendatangi tempat tidurnya, Baginda Sollallhu’alaihiwassalam meletakkan telapak tangan kananya di bawah pipinya. (Riwayat Bukhari)


Demikian beberapa sunnah berkenaan dengan perbuatan (sunnah fi’liyyah) yang diajarkan oleh Rasulullah Sollallahu’alaihiwassalam. Setelah kita mengetahui sunnah perbuatan, alangkah baiknya kita mengetahui juga zikir-zikir dan doa (sunnah quuliyyah) yang Baginda Sollallahu’alaihiwassalam amalkan sebelum tidur. Hal ini demikian kerana ia menjadi pelengkap kepada perbuatan kita tadi.
Bahkan Rasulullah Sollallahu’alaihiwassalam telah bersabda, “Barangsiapa yang tidur sedang dia tidak berzikir kepada ALLAH, dia akan mendapat penyesalan daripada ALLAH subhanallahhuwata’ala.” (Riwayat Abu Daud)

Selamat beramal dan istiqomah.
:-)
 
Powered by Blogger.