Powered by Blogger.

Wednesday, December 12, 2012

Janji ALLAH Pasti Benar

"Janganlah kerana terlambatnya pemberian ALLAH itu walaupun engkau telah berdoa bersungguh-sungguh menyebabkan engkau berputus asa. Maka ketahuilah, bahawa ALLAH telah menjamin untuk memperkenankan segala permintaanmu berdasarkan apa yang telah dipilihkan-Nya untuk engkau, bukan atas apa yang engkau pilih untuk dirimu, dan pada waktu yang sudah dikehendakinya untuk engkau, bukan pada waktu yang engkau kehendaki."

-Syeikh Ibnu 'Athaillah-
Adab berdoa :
  • berdoa dengan lemah lembut serta tenang
  • merendah diri sebagai hambaNya
  • tidak meninggikan suara
  • tidak mengharapkan segera termakbul
  • tidak meminta sesuatu yang tidak masuk akal
  • tidak meminta secara berlebihan kerana yang demikian akan menjauhkan kita dari berzikir kepadaNya
  • tidak mengubah-ubah permintaan ( tidak istiqOmah)
  • sentiasa menyebut nama-nama ALLAH dalam doa dan memuji segala sifatNya
  • memahami setiap apa yang dilafazkan sehingga meresap ke dalam hati
  • memperbaiki diri setiap masa
  • menyucikan diri termasuklah luaran dan dalaman
  • memilih waktu-waktu yang baik untuk berdoa dengan lebih panjang
  • banyakkan berdoa mengenai iman dan amal soleh berbanding meminta nikmat dunia
  • menangis sekiranya mampu ( jangan sampai berteriak)
  • berdoa dengan penuh keyakinan bahawa ALLAH pasti mengabulkannya

Bersih Hati, Kita Bahagia


      Bayangkan hati tanpa dengki, dendam, cemburu dan kemarahan. Betapa lapangnya jiwa kita, betapa luasnya kehidupan yang sedang kita jalani. Kita dapat berfikir dengan tenang dan bertindak secara rasional dan penuh hikmah. Kejayaan dan kekayaan orang lain tidak menganggu perasaan kita, kekasaran dan keburukan orang tidak melukakan hati kita bahkan kita mampu berkongsi kebahagiaan dengan orang lain serta mampu meraikan kejayaan mereka.
     Bayangkan hati yang melimpah dengan kemaafan, bersangka baik, tahu menghargai dan mampu menerima kelemahan diri dan kelemahan orang lain. Kita dapat menghadapi hari baru dengan senyuman dan hati yang tenang.
       Inilah kunci kebahagiaan; Hati yang bersih dari dendam kesumat, kedengkian, kemarahan, buruk sangka hingga hati kita mudah memaafkan, tahu menghargai, mampu melihat kebaikan dari longgokan keburukan.
Cuba tanyakan pada diri kita; kenapa kita selalu resah gelisah? Apa yang sering membimbangkan kita? Apa yang menjadikan fikiran kita terkurung dalam keraguan?


Siapa yang memiliki hati begini?
     Hati ini hanya dimiliki oleh mereka yang benar-benar mengenali ALLAH SWT, menjiwai sifat dan kesempurnaanNya sehingga ia mampu menyelami betapa halus, adil dan sempurnanya urus tadbir ALLAH SWT. Bahkan jiwanya mampu merasai betapa ALLAH itu Maha Penyanyang dan Maha Lembut pada hamba-hambaNya. Lalu ia menyandarkan seluruh harapan, pergantungan, tawakal bahkan cinta dan rindunya hanya pada ALLAH.
       Orang yang merasakan dirinya sendiri tidak sempurna lalu ia tidak pernah mengharapkan kesempurnaan pada diri orang lain yang berada disekitar kehidupannya. Sehingga ia mampu memaafkan kesalahan dan kecuaian orang lain. Hatinya mampu berlapang dada dan berbaik sangka.
      Orang mencintai keindahan dan kebaikan sehingga ia mampu menghargai kebaikan dirinya dan orang lain lalu mengharungi hidup dengan jiwa yang tenang, lapang dan penuh kepasrahan.
Bagaimana dengan hati kita? Semoga ALLAH mengurniakan kita hati yang begini.

Alam Ini


" Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi , dan pergantian malam dan siang terdapat tanda-tanda 
( kebesaran ALLAH ) bagi orang yang berakal ( iaitu ) orang-orang yang mengingat ALLAH sambil berdiri , duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi 
( seraya berkata ) , 
'Ya Tuhan kami , tidaklah Engkau menciptakan semua ini sia - sia , Mahasuci Engkau , lindungilah kami dari azab neraka ".
Ali-Imran : 190 - 191

Thursday, October 18, 2012

JANGAN tanya kenapa JANGAN

~> JANGAN tidur selepas solat Subuh, nanti rezeki Mahal kerana berpagi-pagi itu membuka pintu 
     Berkat.

~> JANGAN makan tanpa membaca BISMILLAH dan DOA makan. Nanti rezeki kita dikongsi syaitan.



~> JANGAN tambah perhiasan di badan kerana ALLAH sudah jadikan Manusia Makhluk yang paling
    Sempurna.

~> JANGAN keluar rumah tanpa niat untuk membuat kebaikan. Takut-takut kita mati dalam 
    perjalanan.

~> JANGAN pakai sepatu atau selipar yang berlainan pasangan. Makruh dan mewarisi kepapaan.

~> JANGAN biarkan Mata liar di perjalanan. Nanti hati kita gelap diselaputi dosa.

~> JANGAN menangguh taubat bila berbuat dosa kerana mati boleh datang bila-bila masa.

~> JANGAN ego untuk meminta maaf pada ibu bapa dan sesama manusia kalau memang Kita 
    bersalah.

~> JANGAN mengumpat sesama rakan taulan. Nanti rosak persahabatan Kita hilang bahagia.

~> JANGAN lupa bergantung kepada ALLAH dalam setiap kerja Kita. Nanti Kita sombong apabila
     berjaya. Kalau gagal kecewa pula.

~> JANGAN bakhil untuk bersedekah. Sedekah itu memanjangkan umur dan memurahkan rezeki Kita.

~> JANGAN banyak ketawa. Nanti mati jiwa.

~> JANGAN biasakan berbohong, kerana ia adalah ciri-ciri munafik dan menghilangkan kasih orang
      kepada Kita.

~> JANGAN suka menganiaya manusia atau haiwan. Doa makhluk yang teraniaya cepat dimakbulkan
     ALLAH.

~> JANGAN terlalu susah hati dengan urusan dunia. Akhirat itu lebih utama dan hidup di sana lebih 
    lama dan kekal selamanya.

~> JANGAN mempertikaikan kenapa ISLAM itu berkata JANGAN. Sebab semuanya untuk kebaikkan
     dan keselamatan Kita.

Sunday, October 7, 2012

Kewajipan Seorang Muslim Terhadap Masa


Memastikan masa di isikan dengan perkara-perkara yang berfaedah
Para tabi’in menyatakan :
“Setiap hari yang berlalu, apabila aku tidak dapat menambahkan amalanku ke arah ketaatan kepada ALLAH s.w.t, maka hari itu adalah hari yang tidak berkat bagiku.”

Mengisi masa lapang
Sabda Rasulullah Solallahu’alaihiwassalam :
“Ambillah peluang lima perkara sebelum kamu dihilangkan (didatangi) oleh lima perkara. Peluang masa mudamu sebelum daripada tuamu; peluang masa sihatmu sebelum daripada sakitmu; peluang masa kayamu sebelum fakirmu; peluang masa lapangmu sebelum daripada kesibukanmu dan peluang masa hidupmu sebelum daripada matimu.” (HR Bukhari)

Penyusunan masa
Rasulullah Solallahu’alaihiwassalam bersabda:
“Sepatutnya ke atas seorang yang berakal itu, ia mempunyai empat waktu; waktu untuk berdoa, memohon kepada ALLAH, waktu ia menghitung diri sendiri, waktu untuk ia memikirkan segala kejadian ALLAH dan suatu waktu untuk ia menikmati hajatnya daripada makan dan minum.” (HR Ibnu Hibban)

Menjauhi perkara-perkara yang boleh membawa kepada membuang masa
“Ya ALLAH! Janganlah Engkau biarkan kami didalam sengsara dan janganlah Engkau matikan kami dalam keadaan kami tertipu dan janganlah Engkau jadikan kami di dalam golongan orang-orang yang lalai.” Doa Abu Bakar as-Siddiq r.a.

“Esok belum pasti untuk kita. Beringat-ingatlah untuk menghadapi esok yang pastikan mendatang.”


Friday, August 31, 2012

Kelebihan Orang Yang Menutup Aurat

~> Menutup aurat, dapat keredhaan & keberkatan dari ALLAH.
~> Dapat pahala bila menutup aurat, berganda bila ikhlas.
~> Nampak macam panas, bila pakai nyaman sahaja.
~> Nampak soleh & solehah, kekadang macam ustaz & ustazah.
~> Bantu jaga mata lelaki, lindungi diri dari lelaki jahat.
~> Bonus : Nampak lebih hensem dan sopan.
~> Bila sudah tutup dengan sempurna boleh buat pakaian untuk solat.
~> Didik diri hormat diri sendiri sebelum hormat orang lain.
~> Menyihatkan badan, tidak terkena sinaran UV, debu dan sebagainya.
~> Tingkatkan Al-Haya' (malu) dalam diri, malu tanda ada iman.
~> Satu cabang dakwah, bawa manusia cinta pada keislaman.
~> Ciri-ciri boleh dijadikan suami / isteri soleh & solehah.
~> Petanda awal ke arah insan yang bertaqwa.
~> Bukan nak tunjuk baik tapi nak jadi yang terbaik dimata ALLAH.


Tuesday, June 19, 2012

Kenapa Rasulullah Larang Minum Berdiri?


Sebagai manusia biasa, kadang-kadang kita gemar melakukan sesuatu perkara itu tanpa mengetahui sama ada ia membawa kebaikan atau keburukan terhadap diri kita.

Perkara yang paling mudah di pandang enteng oleh manusia adalah sikap suka minum sambil berdiri.

Pergilah kemana-mana sahaja sekali pun, akan jelas kita diperlihatkan dengan kerenah manusia yang minum berdiri sama ada di tepi jalan, ketika melepak mahu pun ketika membeli-belah.

Jelas sekali tabiat buruk minum berdiri sama sekali ditegah oleh Rasulullah SollaLLahu’alaihiwassallam  kerana tabiat ini mampu memberikan kesan kepada kesihatan tubuh badan untuk jangka masa panjang.


Menurut pakar perubatan, Dr. Abdul Razzak Al-Kailani berkata, makan dan minum secara duduk lebih baik dari segi kesihatan, lebih selamat dan lebih puas di mana makanan dan minuman lalu di dinding perut dengan secara tenang.

Kajian perubatan juga menunjukkan di dalam tubuh badan manusia terdapatnya sejenis penapis ‘sfringer’ yang bertindak membuka bukaannya ketika duduk dan tertutup ketika berdiri.

Air yang diminum setiap hari bukanlah 100% ditapis sepenuhnya dan apabila masuk ke dalam tubuh badan, sfringer akan bertindak menapis segala benda asing dalam air sebelum disalurkan ke seluruh tubuh.

Jadi, sekiranya air masuk ketika tubuh berdiri, maka air itu tidak akan ditapis terlebih dahulu kerana sfringer tertutup dan terus dibawa ke kantung kecing yang boleh menyebabkan timbulnya penyakit lain iaitu penyakit batu karang.

Minum secara berdiri juga akan memberikan tekanan penurunan air yang tinggi ke dalam perut dan keadaan itu menyebabkan kondisi perut terkejut.

Malah, air akan jatuh ke lapisan perut dengan keras dan akan melanggar lapisan dinding-dinding perut.

Sekiranya tabiat minum berdiri selalu diamalkan, dinding-dinding perut akan menjadi longgar dan akan menimbulkan penyakit lain iaitu susahnya untuk menghadamkan makanan.

Seorang lagi pakar kajian, Dr. Ibrahim Ar-Rawi juga berpendapat, ketika tubuh berdiri, otot-otot badan akan menjadi tegang dan akan turut memberi tekanan kepada sistem saraf pusat (Central Nervous System) kerana terpaksa berkerja ‘terlampau’ aktif mengawal semua otot untuk melakukan proses pengimbangan badan ketika berdiri.

Keadaan itulah yang akan menyebabkan organ-organ dalam badan tidak dapat berehat seketika selepas berkerja.

Berbeza ketika minum secara duduk, sistem saraf dan otot akan berada di dalam keadaan tenang dan mampu untuk menjalankan tugas dan memproses segala bentuk bahan secara betul yang masuk ke dalam badan termasuklah air dan makanan.

Namun, Rasulullah SollaLLahu’alaihiwassallam mengharuskan untuk minum dalam keadaan berdiri bergantung kepada keadaan seperti berada di tempat yang terlalu sesak dengan orang ramai.

Berlainan pula dengan kisah di mana Rasulullah SollaLLahu’alaihiwassallam minum air zam-zam dalam keadaan berdiri berdasarkan hadis dari Ibn Abbas.

Air zam-zam mengandungi kandungan fluorida yang tinggi yang memiliki daya efektif membunuh kuman dan mengandungi kalsium dan garam magnesium yang tinggi berbanding sumber air-air yang lain seperti keputusan kajian yang terhasil dari pakar-pakar pengkaji.

Dari sudut saintifik, air zam-zam bersifat alkali dan akan dapat meneutralkan asid secara tidak langsung yang terhasil dalam perut.

Kerana itulah Rasulullah SollaLLahu’alaihiwassallam mengamalkan minum berdiri ketika meminum air zam-zam.

Selain itu, air zam-zam juga mengandungi iodin, sulfat dan nitrat dan beberapa kandungan makronutrien yang tinggi khususnya magnesium, sodium dan potassium menyebabkan air zam-zam bersifat nutritif berbanding sumber lain.

Kandungan inilah yang membuatkan air zam-zam dapat menyegarkan para jemaah haji yang meminumnya dan memberi ketahanan anti bodi kepada orang yang meminumnya.

Justeru, setiap amalan dan tindakan yang diamalkan oleh Rasulullah SollaLLahu’alaihiwassallam pastinya terkandung seribu kebaikan dan manfaat kepada umat-umatnya. Jadi, tidak salah bukan bagi kita untuk merubah tabiat buruk kepada yang lebih baik?

“Sesungguhnya orang yang beriman itu ialah orang yang apabila disebutkan ALLAH akan gementar hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya (ayat-ayat ALLAH) akan bertambahlah iman mereka, dan kepada Rab (Tuhan) mereka bertawakal” – Surah Al-Anfaal : Ayat 2.

Wednesday, June 6, 2012

Wudhu'lah dengan Sempurna

Sempurnakan Wudhu' Kalian.

Menyempurnakan wudhu' adalah tuntutan agama, pra syarat penting dalam mendapatkan solat yang berkualiti. Janganlah bersolat sekadar melepaskan batuk di tangga. Ramai yang berwudhu' dengan sambil lewa dan tergesa-gesa hinggakan terdapat anggota-anggota wudhu' yang tidak disempurnakan dengan sempurna. Terutama kaki! Memang ramai yang mengambil ringan wudhu' di bahagian kaki, beranggapan hanya membasuh melepasi buku lali sahaja.

Hukum mengambil wudhu' dengan sempurna sebelum solat adalah wajib. Jika kekurangan ilmu tentang kesempurnaan wudhu' menjadi alasan  pada seseorang untuk mengabaikan wudhu' yang sempurna, maka menuntut ilmu tentang wudhu' adalah wajib baginya. Jika dalam urusan keduniaan, kita bersungguh-sungguh menuntut ilmu hingga ke peringkat PhD, apakah dalam urusan wudhu' dan solat kita hanya berpada setakat ilmu yang dipelajari di sekolah rendah sahaja?


PERINGATAN : Jangan sambil lewa semasa ambil wudhu', sebab malas nak tunduk maka tumit tak basah dan air tidak mengena di celah-celah jari. Ancaman Jilatan api neraka!.

Hadis Abdullah bin Amru r.a katanya:
Suatu hari, kami pulang bersama Rasulullah Solallahhu'alaihiwassalam dari Mekah menuju ke Madinah. Di pertengahan jalan, apabila kami tiba di sesuatu tempat yang mempunyai air kami dapati sekelompok manusia dalam keadaan tergesa-gesa mengambil wudhu' kerana waktu Asar hampir lumput. Apabila kami menghampiri mereka, kami dapati tumit-tumit mereka kering tidak dibasahi air. Maka Rasulullah Solallahhu'alaihiwassalam telah bersabda: "Celakalah tumit-tumit yang tidak basah itu dengan ancaman api Neraka. Sempurnakanlah wudhu' kamu dengan baik."

Tak sempurna wudhu' jika tak sela-selai jari-jari kaki dengan air.

"Apabila kamu berwudhu' maka sela-selailah jari tangan dan jari kakimu."
(riwayat Ahmad dan Tirmidzi)

Tuesday, June 5, 2012

7 Golongan "Best" di Akhirat

“ Jom muhasabah diri kejap..,”

Duhai diri yang sedang hidup di dunia ini,

Pernah atau tidak kita memikirkan tentang nasib kita di akhirat sana?
Jika pernah, apa pula tindakan kita ke arahnya?

Cuba renungkan apa yang akan berlaku terhadap diri kita di Padang Mahsyar nanti.
Adakah kita termasuk dalam golongan yang ALLAH redha ataupun sebaliknya?
Adakah kita akan berhimpun dalam kelompok yang bakal masuk ke Syurga atau ke Neraka?

Semuanya akan terjawab apabila tiba masanya.

Beruntunglah orang-orang yang sedang berusaha untuk mendapatkan redha serta rahmat daripada ALLAH. Kelak di akhirat sana, ALLAH akan beri apa yang di usahakannya itu. Itu janji ALLAH!

وَأَن لَّيْسَ لِلْإِنسَانِ إِلَّا مَا سَعَى وَأَنَّ سَعْيَهُ سَوْفَ يُرَى

"Dan bahawasanya seorang manusia tiada memperoleh selain apa yang telah diusahakannya, dan bahawasanya usaha itu kelak akan diperlihat (kepadanya)." [53:39-40]

Allahuakbar.., Periksalah keadaan diri kita sekarang.
Apa usaha yang sudah kita lakukan?
Jawablah dengan lidah yang jujur,
Jawablah dengan hati yang luhur,
Jawablah dengan tindakan yang subur.

Bertindaklah untuk akhiratmu.., pastikan kerana ALLAH.

Mudah-mudahan dapat difahami serta diamalkan dengan bersungguh-sungguh.

Berikut merupakan beberapa tips yang di sebutkan oleh Rasulullah Solallahu'alaihiwassalam berkenaan golongan yang akan selamat di akhirat sana.
“ Di mana diriku dalam golongan itu?”



7 Golongan yang bakal mendapat naungan rahmat ALLAH Pada hari akhirat kelak..   

[Hadith riwayat Abu Daud & Ibnu Majah]




1Pemerintah yang ADIL..
~Kita adalah pemimpin diri kita. Sebagai ketua, jangan sesekali kita berlaku zalim ketika memimpin keluarga, ketika memimpin masyarakat lebih-lebih lagi ketika memimpin Negara.

2.  Pemuda yang hidupnya dengan IBADAH.
~Solat,puasa,zakat,haji dan lain-lain. Ingat ! Kerjapun ibadah juga. Study pun ibadah juga.

~Buat apa-apa perkara sekalipun akan dianggap ibadah sekiranya tidak bercanggah dengan sunnah serta ikhlas kerana ALLAH semata-mata.

3.  Orang yang hatinya terikat dengan MASJID.
~Marilah rajin-rajinkan diri datang solat berjemaah di masjid !
~Satu kali setiap haripun OK, daripada tidak datang langsung, Huu.., rugi besar.

4.  Dua orang yang BERKASIH-SAYANG kerana ALLAH.
~mereka yang bertemu dan berpisah kerana ALLAH.
~Maka ramaikanlah kawan yang baik-baik.

5.  Orang yang dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan untuk berzina lalu dia menolak dengan berkata: AKU TAKUT PADA ALLAH!!

6.  Orang yang BERSEDEKAH secara sembunyi.
~Tidak riak (menunjuk-nunjuk), tidak takbur dan tidak bangga diri apabila melakukan kebaikan.

7.  Orang yang mengingati ALLAH lalu menitis air matanya.
~Menangis kerana sentiasa mengharapkan keredhaan ALLAH dan menyesali segala dosanya yang telah lalu.

Hayati.., Fikir-fikirkan.., Dan bertindaklah.



 Baca selalu dan bertindak ke arahnya.
:-)

Tuesday, May 29, 2012

1 Tanah 1000 Rasa

“ Adik, kenapa korek-korek tanah ni? Kotorlah!!”

“ Adik nak cari pewarna. Adik nak cari cat, water colour, pensel warna, atau apa-apa serbuk yang berwarna dalam tanah ni.”

“ Ahahaaa. adik ni.., merepeklah. mana ada. ”

“ Tapi adik rasa macam ada. baru sekarang adik terfikir..
Cuba kakak tengok pokok-pokok dan bunga-bunga. Macam-macam warna ada. Dari mana warna tu datang? ”
 

Allahuakbar.., Si kakak terdiam seribu bahasa. Bayangkanlah.. Si adik yang lebih muda itu sudah pintar memikirkan tentang keindahan ciptaan ALLAH. Ciptaan ALLAH sungguh ajaib. Sungguh mengagumkan. 

Apa akan jadi sekiranya pokok cili, pokok durian, pokok nanas, dan pokok peria ditanam di tanah yang sama secara berhampiran serta di siram dengan air yang sama? Adakah buah yang terhasil akan mempunyai rasa yang sama juga? 
Tidak sama sekali. Kita sendiri sudah merasai perbezaan rasanya. Cili rasanya pedas. Durian rasanya manis. Nanas rasanya masam. Peria rasanya pahit. Semua berbeza. Subhanallah.. Maha suci ALLAH yang telah menciptakan segala-gala Nya.

Diulangi..,
Pokok-pokok, tumbuh-tumbuhan, sayur-sayuran, buah-buahan serta bunga-bunga yang ada di sekeliling kita bukan sahaja tumbuh dari tanah yang sama, malah turut disiram dengan air yang sama. Tetapi hasilnya? Subhanallah.. semuanya berlainan sifat. Berlainan saiz, rasa, bentuk, mahupun warnanya.
Hebat bukan?

Ya. memang hebat! Nah.., ALLAH sudah ceritakan lama dalam Al-Quran.
Seronok kalau dapat dihayati..,

 وَفِي الأَرْضِ قِطَعٌ مُّتَجَاوِرَاتٌ وَجَنَّاتٌ مِّنْ أَعْنَابٍ وَزَرْعٌ وَنَخِيلٌ صِنْوَانٌ وَغَيْرُ صِنْوَانٍ

  يُسْقَى بِمَاء وَاحِدٍ وَنُفَضِّلُ بَعْضَهَا عَلَى بَعْضٍ فِي الأُكُلِ إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَعْقِلُون


“Dan di bumi ini terdapat bahagian-bahagian yang berdampingan, dan kebun-kebun anggur, tanaman-tanaman dan pohon kurma yang bercabang dan yang tidak bercabang, disirami dengan air yang sama. Kami lebihkan sebahagian tanaman-tanaman itu atas sebahagian yang lain tentang rasanya. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kebesaran ALLAH) bagi kaum yang berfikir.” [13:4]

Ada banyak lagi ciptaan ALLAH yang hebat-hebat belaka di luar sana.
Ada banyak lagi ayat-ayat Al-Quran yang menceritakan tentang kehebatanNya.
Berfikirlah.., berfikirlah dengan iman.
Berfikirlah mengikut panduan Al-Quran.
Mudah-mudahan setiap perkara yang kita fikirkan menambahkan lagi kekuatan kita untuk bertindak.
Bertindak mencari redha ALLAH ‘Azza Wa Jalla.

InsyaALLAH. :-)

Thursday, May 17, 2012

Menyembuh Penyakit Hati

Muslimin dan muslimat yang dirahmati ALLAH,
Setiap penyakit akan ada ubatnya. Penyakit yang paling sukar diubati adalah penyakit hati manusia. Jika hati manusia sudah sakit dan pemilik hati tersebut tidak tahu bahawa hatinya berpenyakit maka sukar untuk di ubati. Tetapi jika pemilik hati tahu dia sedang sakit dan berusaha untuk mencari penawarnya maka ianya satu petanda bahawa ubat yang dicari akan ditemui dan insyaALLAH hati tersebut akan dapat di ubati dan akan mengalami penyembuhan.

Terdapat 18 cara dan rawatan hati yang perlu dilakukan supaya hati dapat dirawat dan terhindar daripada penyakit hati. Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :

1. Mentarbiah hati supaya mencintai ALLAH swt dengan sedalam-dalamnya.

2. Membaca serta bertadarus (menyelidik) makna dan maksud-maksud ayat Al-Quran.

3. Mendekatkan kepada ALLAH dengan amalan-amalan sunat.

4. Khusyuk dalam solat.

5. Memperbanyak zikir dan memohon ampun kepada ALLAH.

6. Melakukan kebaikan kerana ikhlas kepada ALLAH dan mengharapkan keredhaan-Nya.

7. Melakukan amal dan ibadat berdasarkan perintah ALLAH dan Rasul.

8. Beriktikad dengan akidah yang betul.

9. Sentiasa melakukan muhasabah diri.

10. Memperuntukkan masa bagi ALLAH menerusi penggarapan ilmu-ilmu agama.

11. Memperbanyakkan qiyamullail, berdoa terutamanya pada sepertiga malam.

12. Tunduk dan khusyuk kepada ALLAH dalam segenap tindakan dan perbuatan.

13. Memastikan sumber makanan dan pakaian adalah halal di sisi ALLAH.

14. Menundukkan penglihatan kepada perkara-perkara yang diharamkan ALLAH.

15. Suka menziarahi kubur dan mengingati mati.

16. Sentiasa bersyukur dan redha kepada ALLAH atas segala nikmat yang dikurniakan.

17. Suka membantu anak-anak yatim dan bermesra dengan mereka.

18. Suka bersahabat dan duduk dengan orang-orang soleh yang boleh dijadikan teladan.
 

Muslimin dan muslimat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita beramal dengan 18 perkara di atas yang akan mendekatkan hubungan hati kita dengan ALLAH dan meningkatkan ilmu dan amal dan istiqamah dengan jalan yang hak. Hanya hati yang bersih, mulia, sejahtera dan ikhlas akan dapat memasuki syurga ALLAH yang bebas daripada penyakit-penyakit hati.


Wednesday, April 4, 2012

Zinnirah Muslimah Sejati

Zinnirah srikandi contoh terunggul sebagai seorang muslimah yang berpegang teguh dalam ketauhidannya kepada ALLAH s.w.t. Wanita mithali ini bukanlah terkenal dengan kecantikan atau kebangsawanannya. Beliau hanyalah seorang wanita berketurunan bangsa Rom yang ditawan dan dijual di sebuah pasar di Mekah. Beliau telah dibeli oleh Umar Al-Khattab untuk dijadikan hamba. Ketika Rasulullah s.a.w. memulakan dakwahnya secara sembunyi, Zinnirahlah antara golongan pertama yang menerima cahaya keimanan itu.

Pada peringkat awal, Zinnirah menyembunyikan pengislamannya daripada diketahui Umar. Namun amalan solehahnya telah berjaya dihidu oleh Umar Al-Khattab apabila melihat perubahan dalam diri hambanya itu. Umar menjadi begitu marah apabila mengetahui Zinnirah menerima ajaran tauhid yang dibawa baginda Rasulullah s.a.w., kerana Umar begitu memusuhi Rasulullah s.a.w. Maka, Umar telah menyeksa Zinnirah dengan harapan Zinnirah akan kembali kepada agama asalnya dan meninggalkan Islam. Zinnirah telah dipukul, ditendang dan dijemur di tengah-tengah terik mentari. Namun, Zinnirah tetap bersabar dan jiwanya bergantung sepenuhnya kepada pertolongan ALLAH s.w.t.

Dalam keperitan fizikal, Zinnirah masih mampu menguntum senyuman. Hatinya tidak putus-putus mengucapkan "ALLAH, ALLAH, ALLAHU AKHBAR, ALLAH lah yang Maha Besar."

Puncak penyiksaan terhadap Zinnirah adalah apabila kedua matanya ditusuk dengan besi tajam dan panas, dan akhirnya gelaplah seluruh pandangannya. Di saat beliau diseksa dengan penuh kejam hatinya mampu lagi berbisik:
"Ya ALLAH, walau aku dibunuh mati, aku lebih rela daripada menjual agama MU. Panahan cinta dari MU itulah makin menguatkan diri ini untuk menerima apa sahaja. Cuma satu permintaanku, berilah petunjuk kepada orang yang menyeksaku ini."
Ternyata doa Zinnirah telah dikabulkan ALLAH s.w.t. apabila tidak lama selepas itu Umar memeluk Islam setelah mendapat hidayah ALLAH s.w.t. melalui adiknya, Fatimah.

Begitulah hebatnya ketaqwaan seorang mujahidah yang bernama Zinnirah ini. Beliau tidak sedikitpun berganjak daripada keimanan kepada ALLAH s.w.t. saat penyiksaan datang bertubi-tubi. Kenikmatan yang meneguhkan lagi imannya apabila ALLAH s.w.t. mengambil sekejap nikmat pandangannya, lalu dipulangkan dengan mengantikan mata yang lebih baik. Zinnirah kembali melihat seperti sedia kala. Akhirnya Saiyidina Abu Bakar datang menyelamatkan Zinnirah dengan membelinya dengan harga tinggi.

Zinnirah, begitu indah hatinya yang sentiasa terpimpin, begitu juga dengan akhlaknya. Hasilnya, hati dan jiwa berasa aman daripada kongkongan hawa nafsu. Kemerdekaan jiwa inilah yang diperolehi oleh Zinnirah, wanita yang tidak terkenal di dunia tetapi terkenal di langit.

Tuesday, April 3, 2012

Sedia Menerima Cubaan Dunia

Segala kemurahan (ruksah) yang datang daripada ALLAH  dan Rasul Nya, harus kita ambil. Dalam sebuah riwayat dinyatakan bahawa ALLAH menyukai bila segala kemurahan Nya dipergunakan, sebagaimana halnya Dia menyenangi segala ketentuan pastiNya (azimah) dilaksanakan. Kita wajar senang dengan setiap kemudahan yang ALLAH anugerahkan. Ada riwayat yang menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. sangat menyukai urusan-urusan yang ringan dan mudah. Oleh kerana itu, janganlah kamu meninggalkan setiap urusan yang baik. Jika dilanda musibah, janganlah pula kita menentangnya. Itu semua bukan kehendak kita.


Musibah Adalah Perhatian ALLAH kepada Hamba Nya

     Apabila ditimpa ujian dan cubaan dari ALLAH s.w.t., kita harus menghadapinya dengan penuh kesabaran. Meskipun pahit, kita harus sedar bahawa itu semua merupakan perhatian ALLAH kepada hamba Nya.
     Jangan mengeluh dalam menerima kesulitan. Hal ini dapat melemahkan kesabaran. Kita perlu menjauhkan diri dari sikap mengeluh dan tidak menerima ketentuan ALLAH s.w.t. Dalam sebuah hadis qudsi, ALLAH s.w.t. berfirman, "Siapa yang tidak rela dengan ketentuanKu dan tidak sabar atas musibahKu, maka dia dipersilakan mencari Tuhan selain Aku." Dalam hadis qudsi yang lain, ALLAH s.w.t. berfirman, "Siapa yan redha dengan hukum dan ketentuanKu, maka dia akan mendapat keredhaanKu. Jika dia menemuiKu, Aku akan meredhainya. Akan tetapi, siapa yang tidak terima dengan hukum dan ketentuanKu, maka dia layak mendapatkan kemarahanKu. Jika ia menemuiKu, Aku akan memarahinya."


Musibah sebagai Penghapus Dosa

    Musibah itu merupakan salah satu bentuk perhatian ALLAH pada hamba-hamba Nya. Oleh kerana itu, kita jangan bersedih menerimanya. Ketahuilah, kebahagiaan itu terletak pada musibah yang terjadi didunia ini. Itu semua merupakan pelaburan bagi orang-orang yang sabar. Dengannya, dosa-dosa akan terhapus . Dalam sabuah riwayat, seorang ulama berkata, "Orang yang tidak merasa senang dalam menghadapi musibah kerana tidak mengharapkan dosanya terhapus, maka malaikat berkata, 'Semoga penyakitnya tidak akan sembuh.'"


Pilihan ALLAH Lebih Baik daripada Pilihan Hamba Nya

    Orang yang meyakini adanya kebaikan dalam pilihan ALLAH, dia pasti akan senang dalam menerima segala musibah yang menimpanya. Dia kelihatan mudah menghadapinya kerana kebahagiaan akan segera mendatanginya. Orang yang merasa diperhatikan oleh ALLAH, dia akan gembira dalam menerima segala bentuk kesulitan. Sikap sedemikian akan menghapuskan dosa-dosa (kecil) yang telah dilakukannya. ALLAH juga akan menganugerahkan pahala yang berlipat ganda kepadanya. Di akhirat nanti, dia akan berbahagia selama-lamanya. Semoga ALLAH meredhai kita dan menjadikan kita termasuk orang-orang berbahagia.

AMINN.    

Saturday, February 25, 2012

Membina Minda Gemilang

1. Minda gemilang ialah kekuatan minda yang sentiasa mendorong pemiliknya untuk melakukan perkara positif walau dalam apa keadaan sekalipun.

2. Bacalah bahan ilmiah dan jangan bencikan buku.

3. Bertemulah dengan manusia-manusia hebat, bukannya dengan mereka yang perasaan hebat.

4. Sertai aktiviti-aktiviti yang mencabar Mental, Emosional dan Fizikal.

^^


Friday, February 10, 2012

Masa Hadapan Yang Lebih Jauh

APABILA DISEBUTKAN BERKENAAN memandang masa hadapan, apakah yang kita nampak?
        Mungkin kerjaya. Mungkin keluarga. Mungkin harta. 
        Ingin kerja apa? Ingin berkahwin dengan siapa? Ingin rumah atau kereta yang bagaimana?
        Mungkin bagi pelajar sekolah rendah, dia akan fikir di mana dia hendak bersekolah menengah. Mungkin bagi pelajar sekolah menengah, dia akan fikir apakah bidang yang hendak dia ceburi dan di manakah universiti sepatutnya dia pergi.
        Mungkin itu yang kita panggil sebagai 'masa hadapan'.
        Cuma dalam kalangan kita, siapakah yang memandang masa hadapan yang lebih jauh?
        Apakah masa hadapan yang lebih jauh?
        Ia adalah akhirat.

Akhirat, masa hadapan yang sebenar

Manusia yang memandang masa hadapan, adalah manusia yang terbaik. Apabila dia memandang masa hadapan, maka dia akan merancang perjalanan hidupnya.
        Bercita-cita hendak menjadi doktor, maka dia akan merancang perjalanan hidupnya biar dia menjadi doktor. Berhajatkan masa hadapannya nanti tinggal di rumah mewah, maka dari hari ini dia mula merancang untuk mendapat rumah mewah itu.
        Hendak masuk universiti yang disukainya, maka dia akan bersungguh-sungguh memenuhi kelayakan yang di tuntut oleh universiti tersebut.
         Di sinilah letaknya kepentingan membuka mata untuk memandang bahawa akhirat adalah masa hadapan kita yang hakiki. Mengapa?
         Apabila kita memandang akhirat sebagai masa hadapan yang hakiki, kita akan merancang dengan teliti.
         Tambahan, apakah wujud masa hadapan, yang lebih hadapan daripada akhirat?

Matlamat jauh

Kita tahu akhirat ini mempunyai dua cabang pengakhiran.
         Satu neraka. Satu syurga.
         Neraka anda celaka. Syurga anda bahagia.
         Kita yakin, semua orang tidak mahu celaka. Semua orang hendak bahagia. Semua orang suka bahagia selama-lamanya. Justeru, bagi manusia yang beriman, dan memandang bahawa akhirat sebagai masa hadapannya, maka dia akan takut dirinya tercebur ke dalam neraka, dan dia akan berhajat kepada syurga. 
         Persoalannya, bagaimanakah perkara itu boleh berlaku?
         Soalan ini, menimbulkan matlamat-matlamat kecil.
        Sebagai contoh, "Saya mahu masuk syurga, jadi saya perlu menjadi orang yang soleh, tidak berbuat maksiat, dan taat kepada ALLAH."
         Contoh lain, "Saya hendak masuk syurga, jadi saya kena bersunguh-sungguh dalam semua perkara. Tidak boleh main-main, tidur dalam kelas, curi tulang semasa bekerja dan sebagainya."
         Contoh lain lagi, "Saya ingin masuk syurga, jadi saya perlu memberikan sumbangan kepada Islam Saya minat menjadi penulis, maka penulisan-penulisan saya mestilah menyumbang kepada Islam."
         Begitu.
         Sedar tidak sedar, manusia yang memandang bahawa akhirat adalah masa hadapannya, dan dia ingin masa hadapan yang baik, maka dia akan menyusun kehidupannya menjadi kehidupan yang terbaik.
         Apakah syurga mampu diperolehi dengan lenggang kangkung saja?
        Mustahil.
       Apakah wujud masa hadapan lain yang boleh membina peribadi lengkap untuk mengharungi dunia seperti akhirat?
       Tiada!

Berapa ramai yang memandang demikian?

Persoalan utama, berapa ramai yang memandang akhirat sebagai masa hadapan kehidupannya?
        Hari ini, kita telah dipisahkan. Agama dikatakan hanya perlu di dalam masjid, pada musim-musim tertentu, pada waktu-waktu tertentu sahaja. Apabila dikatakan akhirat, kita akan dicop membawa kemunduran, atau berkata akan sesuatu di luar akal.
        Islam bukan demikian.
        Di dalam al-Quran, kita akan sentiasa melihat bahawa 'beriman kepada ALLAH' akan digandingkan dengan 'beriman kepada akhirat'. Contoh boleh dilihat pada ayat 228 surah al-Baqarah, ayat 2 surah an-nur, ayat 52 surah al-Mujadilah, ayat 18 surah al-Hasyr, dan ayat 2 surah at-Talaq.
        Beriman kepada ALLAH adalah permulaan keimanan kita dalam Islam. Manakala akhirat adalah destinasi terakhir kita dalam perjalanan keimanan ini. Apabila kita bermula dengan keimanan kepada ALLAH, maka kita wajib mengharapkan akhirat. Apabila kita memandang akhirat dan apa yang di sediakan ALLAH kepada kita di sana, di situlah kita merancang apa yang hendak kita lakukan dengan keimanan kita kepada ALLAH tadi, hinggalah kita mencapai akhirat.
        Hari ini, tidak demikian.
        Akhirat kita lontar di satu sudut yang jauh.
        Kita tidak bersedia untuknya.
        Sedangkan, apabila kita mengejar akhirat, insyaALLAH kita akan sentiasa bahagia di dunia. Tiada ruginya mengejar akhirat.
        Orang yang tidak berdisplin bukanlah ciri-ciri pengejar akhirat. Orang yang pengotor bukanlah ciri-ciri pengejar akhirat. Orang yang tidak adil bukanlah ciri-ciri pengejar akhirat. Orang yang suka bergaduhan, menyakitkan hati orang lain bukanlah ciri-ciri pengejar akhirat. Orang yang berakhlak bururk, suka mencarut, bukanlah ciri-ciri pengejar akhirat. Orang yang korup, songlap wang, bunuh orang, bukanlah ciri-ciri pengejar akhirat.
        Pengejar akhirat, akan memisahkan dirinya, daripada kejahatan, keburukan, dan hidupnya akan bahagia dengan ketenangan.
       Tidakkah manusia melihat?

Dunia adalah ladang akhirat

Akhirat perlu kita letakkan sebagai matlamat masa hadapan kita, cita-cita utama kita, agar kehidupan kita terbentuk dengan baik. Hal ini kerana, selepas rumah mewah, masih ada lagi perkara lain. Selepas universiti, masih ada lagi perkara lain. Apa-apa pun cita-cita kita akan masa hadapan, semuanya masih ada perkara lain bersama-samanya. Cita-cita itu mungkin mampu membuatkan kita bagus dari satu sisi, tetapi belum tentu untuk sisi-sisi yang lain.
        Namun apabila akhirat menjadi cita-cita utama kita, ia akan mencakupi segala-gala.
        Apa yang manusia rugikan di atas dunia ini jika dia menjadi pengejar akhirat?
        Tiada. Modal untuk akhirat adalah dunia. Pengejar akhirat, kehidupannya di dunia adalah kehidupan yang baik. Itu yang kita percaya.



Wednesday, February 8, 2012

Teguran

APABILA SATU TEGURAN dikeluarkan, akan ada tiga jenis kumpulan.
       Pertama, kumpulan yang akan menerima teguran itu. Kalau mereka berada bukan di tempat pesalah pun, mereka akan mendengar teguran itu dan mengambil khasiatnya.
      Kedua, kumpulan yang tidak kisah langsung. Seperti tidak mendapat teguran sahaja gayanya. Dia tidak peduli pun teguran-teguran ini.
       Ketiga, kumpulan yang akan membaling teguran itu ke arah lain dan menyalahkan si penegur pula. Contoh, teguran diberikan kepada pengawas, kemudian pengawas berkata, "Alah, pelajar biasa lagi teruk. Kenapa tidak ditegur mereka dahulu?"
        Kita fokuskan kepada kumpulan ketiga--bagaimana mereka mengambil teguran yang dilontarkan.

Peringatan itu baik untuk Mukmin

ALLAH menggesa orang-orang yang beriman untuk sentiasa menyebarkan peringatan. Tidak kira dalam bentuk apa sekalipun, selagi mana caranya masih berada dalam lingkungan syarak.
       ALLAH berfirman:
       "Dan berikanlah peringatan, sesungguhnya peringatan itu bermanfaat untuk orang yang beriman." (Adz-Dzariyat 51:55)
       Sebagai orang yang beriman, sepatutnya terbuka dengan teguran. Memandang kepada teguran itu sebagai satu penambahbaikan untuk dirinya. Walaupun teguran itu mungkin bukan menuju kepada dirinya. Tambah pula kalau tepat menuju kepada dirinya.
        Jika kita orang yang beriman, setiap teguran pasti mempunyai manfaatnya.

Apabila teguran datang

Apabila teguran datang menyentuh diri kita, maka hendaklah kita bertenang dan menilainya. Apakah benar teguran yang dilontarkan? Jika benar, bagaimanakah yang sepatutnya kita lakukan? Buat bodoh? Mahu terasa? Atau menerima teguran tersebut dengan rendah hati dan bergerak melakukan perubahan positif?
        Buktikan keimanan kita. Jika kita beriman, teguran itu akan menjadi satu manfaat kepada kita.
        Kalau teguran itu bukan untuk kita, tidak terkena pun pada kita, ertinya orang yang tegur itu telah salah 'parking'. Maka apakah yang patut kita lakukan? Adakah buat bodoh? Melenting? Hentam-hentam penegur? Atau, kita akan mengambil manfaat daripada teguran yang silap 'parking' itu?
        Jika kita beriman, maka teguran itu walaupun salah 'parking', ia semestinya memberikan manfaat kepada kita.
         Percayalah, ALLAH tidak akan biar si penegur itu salah 'parking' tegurannya pada kita dengan sia-sia sahaja. Mesti ada hikmahnya yang mendalam.







Dajjal, Nabi Isa, Yakjuj dan Makjuj

An-Nuwwas Bin Sam'an menceritakan, Rasulullah SAW memperkatakan mengenai Dajjal, kadang kala baginda merendahkan nada suara dan kadang kala baginda meninggikannya, hingga kami merasa seperti berada bersama sekumpulan lebah. Pada petang hari itu, kami menemuinya dan kami dapat melihat kesan kesedihan pada muka Rasulullah SAW.

"Bagaimana keadaan kalian?" tanya Rasulullah SAW.

Kami menjawab, "Wahai Rasulullah, pagi tadi tuan membicarakan mengenai Dajjal. Sesekali tuan merendahkan suara dan sesekali tuan meninggikannya, sehingga kami seakan-akan berada di tengah kerumunan lebah."

Rasulullah SAW berkata kepada mereka, "Bukan Dajjal yang saya bimbangkan terhadap kalian, Sekiranya dia muncul dan saya berada ditengah kalian, tentu saya akan membela kalian dengan hujah-hujah saya. Tapi jika dia muncul, sedangkan saya tidak lagi berada dalam kalangan kalian, setiap orang akan membela dirinya dengan hujahnya sendiri, sedang ALLAH merupakan penggantiku bagu membalas setiap orang muslim. Dajjal adalah seorang pemuda yang rambutnya kerinting dan matanya sepet. Pada saya ia kelihatan seperti Abdul-Uzza bin Dathan. Siapa yang bertemu dengannya, hendaklah dia membaca permulaan surat al-Kahfi.
Dia akan muncul di tempat yang sunyi di antara Syam dan Iraq. Lalu dia membuat kerosakan di sebelah kiri dan kanan. Wahai hamba-hamba ALLAH, teguhkanlah hati kalian."

Kami bertanya, "Wahai Rasulullah, berapa lama ia tinggal di bumi?"

Rasulullah SAW menjawab, "Empat puluh hari. Sehari seperti setahun, sehari seperti sebulan, sehari seperti seminggu dan seluruh harinya seperti hari-hari kalian."

Kami bertanya, "Wahai Rasulullah, sekiranya sehari seperti setahun itu, apakah cukup bagi kami mendirikan solat seperti solat kami dalam sehari?"

Rasulullah SAW menjawab, "Tidak, tetapi hitung sebagaimana mestinya menurut hitungan hari itu."

Kami bertanya, "Berapa kepantasan Dajjal berjalan di bumi?"

Rasulullah SAW menjawab, "Seperti hujan yang ditiup angin kencang. Ia datang kepada suatu kaum dan menyeru mereka, hingga mereka beriman kepadanya dan mengikut seruannya. Ia menyuruh langit menurunkan hujan, lalu turun hujan. Ia menyuruh bumi menambahkan tanaman, lalu tanaman pun tumbuh. Binatang ternak mereka pulang pada waktu petang, lebih panjang dan lebih gemuk dari keadaan sebelumnya serta besar kantung susunya. Kemudian ia mendatangi suatu kaum dan menyerunya, namun mereka menolak seruannya. Ia meninggalkan mereka pada keesokan harinya mereka kekeringan dan semua harta yang mereka miliki lenyap entah ke mana.
Dajjal melewati suatu tempat yang kosong. Dia berkata, 'Keluar harta simpananmu!' Maka kekayaan tempat itu mengikuti Dajjal seperti sekumpulan lebah yang mengikuti pemimpinnya. Kemudian Dajaal memanggil seorang pemuda, menetaknya dengan pedang hingga tubuhnya terbelah menjadi dua bahagian. Kedua-dua bahagian yang terbelah ini terpisah sejauh lemparan anak panah. Dajjal kemudian memanggil tubuh yang terbelah itu sehingga ia kembali semula dengan wajah yang berseri sambil tersenyum. Ketika itu, ALLAH menutus al-Masih Isa Putera al-Maryam, yang turun berhampiran menara putih di sebelah timur Damaskus, dengan memakai dua pakaian yang berwarna seperti celupan kunyit. Dia meletakkan telapak tangannya di atas seyap dua malaikat. Sekiranya dia menundukkan kepalanya, hujan turun. Jika dia mengangkat kepalanya, gugur butir-butir seperti mutiara. Orang kafir tidak dibolehkan mencium bau, melainkan dia langsung mati sebaik sahaja pandangannya teruja kepadanya.
Nabi Isa mencarinya hingga menemukannya berhampiran pintu Lud dan membunuhnya. Kemudian, Nabi Isa menemui suatu kaum yang dipelihara ALLAH dari Dajjal itu. Lalu dia mengusap muka mereka dan memberitahu kedudukan mereka di syurga. Selagi keadaannya seperti itu, ALLAH memberikan wahyu kepada Nabi Isa,

"Sesungguhnya Aku sudah mengeluarkan hamba-hamba-Ku yang tidak dapat ditundukkan oleh siapa pun yang memerangi mereka. Kerana itu, selamatkan hamba-hamba-Ku dengan cara menaiki bukit."
Kemudian ALLAH mengutus Yakjuj dan Makjuj berserta pasukannya yang datang dari tempat-tempat yang tinggi. Bahagian depan pasukan berada di Telaga Thibriyah lalu meminum seluruh airnya. Ketika bahagian akhir pasukan melalui tempat ini, mereka berkata, 'Sebelumnya di tempat ini ada airnya.'
Nabi ALLAH Isa berserta rakan-rakannya terkepung, hingga kepala salah seorang di antara mereka lebih berharga daripada seratus dinar milik kamu pada hari ini. Nabi ALLAH Isa dan rakan-rakannya berdoa kepada ALLAH, sehingga ALLAH mengirim cacing yang biasa menjangkiti hidung binatang ke tengkuk mereka, sehingga secara serentak mereka mati seperti matinya satu jiwa.
Kemudian Nabi ALLAH Isa dan rakan-rakannya turun ke bumi. Mereka mendapati semua tempat di bumi dipenuhi bangkai yang busuk. Nabi ALLAH Isa dan rakan-rakannya berdoa kepada ALLAH, lalu ALLAH mengirim burung-burung sebesar bonggol unta lalu membawa bangkai-bangkai itu dan membawanya ke tempat yang dikehendaki ALLAH. Kemudian ALLAH mengirim hujan, sehingga setiap rumah disiram air hujan itu, dan bumi debersihkan hingga seperti cermin.
Kemudian dikatakan kepada bumi, 'Tumbuhkan tanaman-tanamanmu dan kembalikan keberkatanmu!'
Maka pada hari itu sekelompok manusia memakan buah delima dam mereka bernaung di bawah kulitnya. Air susunya diberkati sehingga seekor unta cukup bagi sekumpulan orang ramai, seekor lembu cukup bagi penduduk sebuah kabilah, seekor kambing cukup bagi sekumpulan orang. Dalam keadaan seperti itu, ALLAH mengirim angin yang baik, lalu mengambil mereka di bawah hembusannya dan mencabut roh setiap orang Mukmin dan Muslim, sedangkan orang kafir melakukan hubungan seksual seperti keldai bersanggama. Kepada mereka ini kiamat ditimpakan."

(Direkodkan Muslim, At-Tarmizi dan Abu Daud)



- Rasulullah akan mempertahankan umatnya daripada cubaan Dajjal sekiranya ia muncul ketika Rasulullah masih hidup.
- Sekiranya Dajjal muncul ketika Rasulullah sudah wafat, setiap orang Islam perlu mempertahankan diri mereka sendiri.
- Dajjal muncul dalam bentuk seorang pemuda yang berambut kerinting dan bermata sepet.
- Sekiranya bertemu Dajjal, Rasulullah menyarankan agar membaca permulaan surah al-Kahfi.
- Dajjal akan muncul di tempat yang terletak di antara Syam dan Iraq.
- Dajaal berada di bumi ini selama empat puluh hari. Tetapi pada masa itu, sehari dirasakan seperti setahun, sebulan dan seminggu.
- Dajjal mendatangkan suatu kumpulan lalu mengajak mereka menyembahnya sebagai tuhan.
- Dajjal dapat menurunkan hujan dan menumbuhkan tanaman.
- Dajjal dapat menjadi kumpulan manusia yang menolaknya dalam keadaan derita akibat kehilangan harta yang hilang begitu sahaja.
- Dajjal dapat mengeluarkan harta daripada perut bumi.
- Dajjal akan mermbunuh seorang lelaki yang menentangnya dan menghidupkannya kembali sebagai bukti ketuhanannya. Namun lelaki itu tetap menolaknya sebagai tuhan lalu dia dibunuh sekali lagi.
- Nabi Isa akan diturunkan ke dunia dan dia akan mencari Dajjal dan membunuhnya.
- Nabi Isa menemui sekumpulan orang beriman dan menyampaikan berita gembira kedudukan mereka di dalam syurga.
- Yakjuj dan Makjuj mula menyerang dan mengepung Nabi Isa dan sekumpulan orang Islam.
- Dengan doa NAbi Isa dan orang beriman, ALLAH mengirimkan sejenis cacing yang menyebabkan Yakjuj dan Makjuj mati semuanya sehingga bumi menjadi busuk dengan bangkai mereka.
- ALLAH mengirimkan burung hering untuk memakan semua bangkai yang ada. Kemudian ALLAH menurunkan hujan sehingga membersihkan semua bangkai dari muka bumi.
- Bumi diarahkan menumbuhkan tanaman untuk orang beriman.
- Kiamat tidak akan berlaku selagi masih ada manusia yang beriman kepada ALLAH.
- Orang Islam akan hidup harmoni sehingga ALLAH mencabut nyawa mereka dengan lembut.
- ALLAH mematikan semua orang beriman agar mereka tidak perlu merasai seksa menghadapi bencana kiamat.
- Lalu yang tinggal hanya orang kafir yang melakukan hubungan seksual seperti keldai, lalu ALLAH menimpakan kiamat ke atas mereka.

wallahu'alam.



 
Powered by Blogger.