Powered by Blogger.

Saturday, May 18, 2013

Manusia Produk ALLAH yang Hebat.

    Sepatutnya manusia yang menyedari asal usul kejadian mereka akan berasa semua manusia adalah sama di sisi ALLAH. Jadi, dengan sebab itu mereka tidak akan angkuh sesama mereka. Sebaliknya, mereka akan menghormati manusia lain apa lagi mereka yang miskin dan lemah. Inilah hakikat manusia hebat yang mahu dilahirkan oleh Rasulullah Sollahu'alaihiwassalam.

    Selain itu, manusia yang hebat ini akan sentiasa ingat kepada ALLAH kerana mereka sedar tanpa penciptaan ALLAH ini sudah tentu mereka tidak berpeluang hidup di dunia ini. Mereka sedar penciptaan sedemikian rupa bukan sia-sia. Sebaliknya, ALLAH mahu mereka menjadi hamba-Nya yang baik dan memberi kebaikan kepada orang lain pula.

    Namun, sebagai manusia kita perlu merapatkan hubungan dengan pencipta, iaitu ALLAH. Oleh itu, ALLAH sediakan ruang dan peluang kepada manusia untuk berhubung dengan ALLAH, tetapi ramai yang tidak sedar bahawa melalui Rukun Islam kita boleh selalu berhubung dengan ALLAH.

1. Dua Kalimah Syahadah
    Melalui ucapan itu setiap hari kita memperbaharui pengakuan sebagai hamba kepada ALLAH.

2. Solat Lima Waktu
    Solat menghubungkan kita dengan ALLAH secara terus.

3. Mengeluarkan Zakat
    Mengeluarkan zakat bukan sehaja kita berhubung dengan ALLAH bagi membersihkan harta, malah kita juga berhubung sesama manusia yang memerlukan bantuan kewangan dan sebagainya.

4. Berpuasa dalam Bulan Ramadhan.
    Puasa merupakan ibadah yang dipantau secara dekat oleh ALLAH selama sebulan dan dengan cara itu kita tidak ada peluang untuk melakukan dosa kepada ALLAH.

5. Haji di Baitullah
    Haji mendekatkan diri kita kepada ALLAH sebagai tetamu di 'rumah-Nya'.

    Maknanya, jika seseorang itu gagal untuk melakukan kelima-lima Rukun Islam ini, perhubungan mereka belum lagi sempurna. Oleh sebab itu, mana-mana rukun yang belum dapat dilakukan perlu dijadikan azam untuk kita melakukannya supaya hubungan dengan ALLAH terus bertaut.

    Selain itu, manusia yang baik juga sentiasa berdoa kepada ALLAH dalam apa-apa jua keadaan. Dalam hal ini jika mereka tidak mahu berdoa, hakikatnya mereka boleh dianggap sebagai sombong. Mengapa? Sebenarnya dalam hidup ini kita akan berhadapan dengan pelbagai masalah tetapi kita jarang berdoa kepada ALLAH, bahkan ada yang tidak mahu berdoa selepas solat. Mereka seolah-olah yakin dengan kemampuan sendiri lalu tidak perlu bantuan ALLAH lagi.

Jadi, mulai hari ini marilah kita bersyukur kepada ALLAH yang menciptakan kita walaupun daripada unsur yang hina apatah lagi kita kini sudah menjadi manusia yang paling sempurna. Maka, sebagai hamba ALLAH kita sepatutnya mengabdikan diri kepada ALLAH. Manakala, manusia sesama manusia adalah sama walaupun di sisi ALLAH bergantung kepada siapa yang lebih takwanya.

Wallahu'alam.



 
Powered by Blogger.