Powered by Blogger.

Saturday, February 4, 2012

Mengingati Kematian dan Kubur

Abu Said Al-Khudri menceritakan, Rasulullah pernah datang ke masjid dan melihat beberapa orang sedang melakukan suatu pekerjaan. Lalu Rasulullah berkata:

"Sekiranya kamu banyak mengingati perosak kelazatan, sudah tentu kamu tidak akan sibuk melakukan perkara seperti ini. Oleh itu, banyakkan mengingati perosak kelazatan, iaitu kematian. Kubur sentiasa berkata, 'Aku adalah rumah terasing, aku adalah rumah sendirian, aku adalah rumah tanah, aku adalah rumah ulat-ulat.'
 Sekiranya seorang hamba yang beriman dikuburkan, kubur berkata kepadanya, 'Selamat datang. Engkau adalah orang yang berjalan di atas belakang ku yang paling aku suka. Hari ini, engkau akan melihat apa yang aku lakukan kepadamu.' "

Rasulullah berkata lagi:

"Lalu kubur itu menjadi lapang seluas mata memandang, lalu dibukakan pintu untuk dia pergi ke syurga.
Sekiranya seorang hamba yang jahat atau kafir dikuburkan, lalu kubur berkata kepadanya, 'Aku tidak mengalu-alukan kamu. Engkau adalah hamba yang berjalan di atas belakang ku yang paling aku benci. Pada hari ini, aku diberikan tugas bagi menguruskan kamu, engkau akan lihat apa yang aku lakukan kepada kamu,' Kemudian, sisi kubur pun menghimpitnya sehingga tulang-tulangnya hancur."

Setelah itu, Rasulullah memasukkan jari jemarinya di antara jari jemari tangan yang satu lagi. Lalu berkata,

"Didatangkan kepadanya 70 ekor ular. Sekiranya seekor ular itu menyemburkan racunnya ke bumi, tiada tumbuhan yang dapat tumbuh di atasnya. Lalu ular ini mematuknya sehingga dia dibawa untuk dihisab."

Rasulullah kemudian berkata lagi, "Kubur itu boleh menjadi sebuah taman daripada taman-taman syurga, atau menjadi sebuah lubang daripada lubang-lubang neraka."


- Mengingati mati adalah terapi berkesan bagi mengubati penyakit hati yang cenderung mengikut nafsu dan gemarkan maksiat.
- Keghairahan mengejar nikmat dunia pasti terbantut apabila memikirkan kematian yang datang bila-bila masa sahaja.
- Mengingati mati menggalakkan orang islam bekerja dan beribadat bersungguh-sungguh ketika di dunia sebagai persiapan menghadapi akhirat.
- Kubur orang beriman dibesarkan bagi keselesaannya.
- Orang beriman mendapat nikmat ketika masih berada di dalam kubur sebelum ke alam akhirat.
- Orang tidak beriman menerima seksaan walau pun ketika masih berada di dalam kubur. Antara seksaan yang diterimanya ialah liang kuburnya disempitkan sehingga tulang-tulangnya hancur, dan 70 ekor ular menyerangnya.

1 comments:

 
Powered by Blogger.