Powered by Blogger.

Wednesday, February 8, 2012

Teguran

APABILA SATU TEGURAN dikeluarkan, akan ada tiga jenis kumpulan.
       Pertama, kumpulan yang akan menerima teguran itu. Kalau mereka berada bukan di tempat pesalah pun, mereka akan mendengar teguran itu dan mengambil khasiatnya.
      Kedua, kumpulan yang tidak kisah langsung. Seperti tidak mendapat teguran sahaja gayanya. Dia tidak peduli pun teguran-teguran ini.
       Ketiga, kumpulan yang akan membaling teguran itu ke arah lain dan menyalahkan si penegur pula. Contoh, teguran diberikan kepada pengawas, kemudian pengawas berkata, "Alah, pelajar biasa lagi teruk. Kenapa tidak ditegur mereka dahulu?"
        Kita fokuskan kepada kumpulan ketiga--bagaimana mereka mengambil teguran yang dilontarkan.

Peringatan itu baik untuk Mukmin

ALLAH menggesa orang-orang yang beriman untuk sentiasa menyebarkan peringatan. Tidak kira dalam bentuk apa sekalipun, selagi mana caranya masih berada dalam lingkungan syarak.
       ALLAH berfirman:
       "Dan berikanlah peringatan, sesungguhnya peringatan itu bermanfaat untuk orang yang beriman." (Adz-Dzariyat 51:55)
       Sebagai orang yang beriman, sepatutnya terbuka dengan teguran. Memandang kepada teguran itu sebagai satu penambahbaikan untuk dirinya. Walaupun teguran itu mungkin bukan menuju kepada dirinya. Tambah pula kalau tepat menuju kepada dirinya.
        Jika kita orang yang beriman, setiap teguran pasti mempunyai manfaatnya.

Apabila teguran datang

Apabila teguran datang menyentuh diri kita, maka hendaklah kita bertenang dan menilainya. Apakah benar teguran yang dilontarkan? Jika benar, bagaimanakah yang sepatutnya kita lakukan? Buat bodoh? Mahu terasa? Atau menerima teguran tersebut dengan rendah hati dan bergerak melakukan perubahan positif?
        Buktikan keimanan kita. Jika kita beriman, teguran itu akan menjadi satu manfaat kepada kita.
        Kalau teguran itu bukan untuk kita, tidak terkena pun pada kita, ertinya orang yang tegur itu telah salah 'parking'. Maka apakah yang patut kita lakukan? Adakah buat bodoh? Melenting? Hentam-hentam penegur? Atau, kita akan mengambil manfaat daripada teguran yang silap 'parking' itu?
        Jika kita beriman, maka teguran itu walaupun salah 'parking', ia semestinya memberikan manfaat kepada kita.
         Percayalah, ALLAH tidak akan biar si penegur itu salah 'parking' tegurannya pada kita dengan sia-sia sahaja. Mesti ada hikmahnya yang mendalam.







0 comments:

Post a Comment

 
Powered by Blogger.