Powered by Blogger.

Tuesday, September 17, 2013

Bersungguh-sungguh Menjaga Diri dan Keluarga


“Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada ALLAH dalam segala yang diperintahkanNYA kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” – Surah At-Tahrim : 6
 
Apabila ALLAH memerintahkan kita untuk menjaga diri dan ahli kita dari api neraka, maka hendaklah kita berusaha bersungguh-sungguh.
   Jika di dunia, kita berikhtiar menjaga diri dan anak kita daripada kepanasan api, maka untuk mengawalnya dari api neraka kelak adalah lebih utama. Sebagai contoh, kita jauhkan anak-anak daripada mendekati unggun api kerana bimbang mereka akan tercedera.
   Begitu juga kita mengelakkan mereka daripada bermain dengan api kerana bimbang akan melukakan mereka. Tindakan itu menandakan bahawa kita sayangkan mereka daripada terjatuh di dalam api, terbakar atau tercedera.
   Bahkan, sekiranya mereka mendekati juga api itu, maka kita dengan tegas dan cepat mengheretnya menjauhi dari api tersebut.
   Jika di dunia ini pun, kita tidak sanggup melihat mereka terkena bahang api, apatah lagi dengan api neraka? Jika dibuat perbandingan, antara api dunia dan neraka, jauh terlalu besar bandingannya. Bayangkan kata-kata Nabi bahawa walau hanya percikan api kecil api neraka jatuh ke bumi, ia boleh menghancurkannya. Itu baru percikannya. Bayangkanlah kalau api neraka yang sebenar-benarnya.
   Marilah dan cuba sematkan semua pesanan dan peringatan. Sebelum dan selepas tidur, kita ambil sedikit masa untuk merenunginya. Ingatlah, kita semua akhirnya akan pulang semula kepada ALLAH. Di sana, hanya ada dua tempat kita akan dikembalikan, sama ada di syurga atau neraka.
   Sentiasalah pasak di dalam fikiran, ke manakah mahu kita tuju? Jadikanlah amalan setiap masa. Cita-cita kita adalah syurga. Bagaimana kelak andai terlupa, kehidupan kita selama ini sedang mengarahkan kita ke arah neraka?
Nauzubillahiminzalik.

*Ingatlah, keluarga kita adalah amanah kita. Takut dan berwaspadalah pada amaran ALLAH. Selamatkanlah diri dan keluarga daripada menjadi bahan api neraka. Itu bukan tempat asal kita. Itu bukan tujuan dan hala tuju kita.


Tuesday, June 18, 2013

Bagaimana Rasulullah Tidur


Antara sunnah dan adab tidur ialah:

1. Baginda Sollallahu’alaihiwassalam melarang tidur selepas solat Maghrib dan melewatkan tidur selepas solat Isyak.
 Diriwayatkan oleh Abi Barzah r.a., bahawasanya Rasulullah melarang dan tidak menyukai tidur sebelum Isyak dan berbual-bual kosong selepasnya. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

2. Melakukan solat sunat witir sebelum tidur.
Abu Hurairah r.a. berkata, “Kekasihku (Rasulullah Sollallahu’alaihiwassalam) telah berwasiat kepadaku dengan tiga perkara: berpuasa tiga hari setiap bulan, menunaikan dua rakaat duha dan supaya aku menunaikan solat witir sebelum tidur.” (Riwayat Muslim)

3. Menutup lampu, menutup bekas-bekas, menutup pintu dan tingkap.
Rasulullah Sollallahu’alaihiwassalam telah bersabda, “Padamlah lampu (atau pelita) apabila kalian hendak tidur, tutuplah pintu, terbalikkan bekas-bekas minuman dan tutupilah makanan dan minuman. (Jabir r.a. menambah) Aku teringat Baginda Sollallahu’alaihiwassalam menyebut (menutup) demikian walaupun dengan sebatang kayu (‘uud) yang melintang di atasnya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

4. Membasuh tangan dan mulut daripada sisa-sisa makanan.
Rasulullah Sollallahu’alaihiwassalam telah bersabda, “Barangsiapa yang tidur sedang di tangannya ada kesan makan, kemudian didatangi sesuatu. Maka jangan dia menyalahkan melainkan dirinya sendiri.” (Riwayat Abu Daud)

5. Berwuduk sebelum tidur.
Rasulullah Solallahu’alahiwassalam telah bersabda, “Apabila kamu mendatangi tempat tidurmu maka berwuduklah kamu seperti wudukmu untuk solat.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

6. Mengibaskan tempat tidur dengan menyebut Basmallah.
Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah Sollallahu’alaihiwassalam telah bersabda, “Apabila seseorang daripada kamu kembali ke tempat tidurnya maka ambillah kain izaar (kain selimut atau cadar) dan kibaslah ia di atas alas tidurnya dan bacalah Bismillah, kerana dia tidak mengetahui di atas cadarnya ketika dia tiada.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

7. Tidur dengan mengiringkan badan ke sebelah kanan.
Rasulullah Sollallahu’alaihiwassalam telah bersabda, “Apabila kamu mendatangi tempat tidurmu maka berwuduklah seperti wudukmu untuk solat, kemudian berbaringlah di atas lambungmu yang kanan.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Baginda Sollallahu’alaihiwassalam juga melarang kita daripada tidur dalam keadaan meniarap kerana menyerupai gaya tidur syaitan. Pernah sekali, Baginda melihat seorang tidur di atas perutnya (meniarap) maka Baginda Sollallahu’alaihiwassalam berkata, “Sesungguhnya tidur seperti ini dimurkai ALLAH dan Rasul-Nya.”
Apabila telah berbaring dalam keadaan mengiring ke kanan, sunnah pula meletakkan telapak tangan kanan di bawah pipi (kanan).
Huzaifah r.a. meriwayatkan bahawasanya Rasulullah Sollallahu’alaihiwassalam tatkala mendatangi tempat tidurnya, Baginda Sollallhu’alaihiwassalam meletakkan telapak tangan kananya di bawah pipinya. (Riwayat Bukhari)


Demikian beberapa sunnah berkenaan dengan perbuatan (sunnah fi’liyyah) yang diajarkan oleh Rasulullah Sollallahu’alaihiwassalam. Setelah kita mengetahui sunnah perbuatan, alangkah baiknya kita mengetahui juga zikir-zikir dan doa (sunnah quuliyyah) yang Baginda Sollallahu’alaihiwassalam amalkan sebelum tidur. Hal ini demikian kerana ia menjadi pelengkap kepada perbuatan kita tadi.
Bahkan Rasulullah Sollallahu’alaihiwassalam telah bersabda, “Barangsiapa yang tidur sedang dia tidak berzikir kepada ALLAH, dia akan mendapat penyesalan daripada ALLAH subhanallahhuwata’ala.” (Riwayat Abu Daud)

Selamat beramal dan istiqomah.
:-)

Saturday, May 18, 2013

Manusia Produk ALLAH yang Hebat.

    Sepatutnya manusia yang menyedari asal usul kejadian mereka akan berasa semua manusia adalah sama di sisi ALLAH. Jadi, dengan sebab itu mereka tidak akan angkuh sesama mereka. Sebaliknya, mereka akan menghormati manusia lain apa lagi mereka yang miskin dan lemah. Inilah hakikat manusia hebat yang mahu dilahirkan oleh Rasulullah Sollahu'alaihiwassalam.

    Selain itu, manusia yang hebat ini akan sentiasa ingat kepada ALLAH kerana mereka sedar tanpa penciptaan ALLAH ini sudah tentu mereka tidak berpeluang hidup di dunia ini. Mereka sedar penciptaan sedemikian rupa bukan sia-sia. Sebaliknya, ALLAH mahu mereka menjadi hamba-Nya yang baik dan memberi kebaikan kepada orang lain pula.

    Namun, sebagai manusia kita perlu merapatkan hubungan dengan pencipta, iaitu ALLAH. Oleh itu, ALLAH sediakan ruang dan peluang kepada manusia untuk berhubung dengan ALLAH, tetapi ramai yang tidak sedar bahawa melalui Rukun Islam kita boleh selalu berhubung dengan ALLAH.

1. Dua Kalimah Syahadah
    Melalui ucapan itu setiap hari kita memperbaharui pengakuan sebagai hamba kepada ALLAH.

2. Solat Lima Waktu
    Solat menghubungkan kita dengan ALLAH secara terus.

3. Mengeluarkan Zakat
    Mengeluarkan zakat bukan sehaja kita berhubung dengan ALLAH bagi membersihkan harta, malah kita juga berhubung sesama manusia yang memerlukan bantuan kewangan dan sebagainya.

4. Berpuasa dalam Bulan Ramadhan.
    Puasa merupakan ibadah yang dipantau secara dekat oleh ALLAH selama sebulan dan dengan cara itu kita tidak ada peluang untuk melakukan dosa kepada ALLAH.

5. Haji di Baitullah
    Haji mendekatkan diri kita kepada ALLAH sebagai tetamu di 'rumah-Nya'.

    Maknanya, jika seseorang itu gagal untuk melakukan kelima-lima Rukun Islam ini, perhubungan mereka belum lagi sempurna. Oleh sebab itu, mana-mana rukun yang belum dapat dilakukan perlu dijadikan azam untuk kita melakukannya supaya hubungan dengan ALLAH terus bertaut.

    Selain itu, manusia yang baik juga sentiasa berdoa kepada ALLAH dalam apa-apa jua keadaan. Dalam hal ini jika mereka tidak mahu berdoa, hakikatnya mereka boleh dianggap sebagai sombong. Mengapa? Sebenarnya dalam hidup ini kita akan berhadapan dengan pelbagai masalah tetapi kita jarang berdoa kepada ALLAH, bahkan ada yang tidak mahu berdoa selepas solat. Mereka seolah-olah yakin dengan kemampuan sendiri lalu tidak perlu bantuan ALLAH lagi.

Jadi, mulai hari ini marilah kita bersyukur kepada ALLAH yang menciptakan kita walaupun daripada unsur yang hina apatah lagi kita kini sudah menjadi manusia yang paling sempurna. Maka, sebagai hamba ALLAH kita sepatutnya mengabdikan diri kepada ALLAH. Manakala, manusia sesama manusia adalah sama walaupun di sisi ALLAH bergantung kepada siapa yang lebih takwanya.

Wallahu'alam.



Tuesday, March 26, 2013

Bawa Al-Quran Dalam Hati

Rasulullah SollaLLahu'alaihiwassallam bersabda yang maksudnya: "Bacalah al- Quran kerana ia akan datang pada Hari Akhirat kelak sebagai pemberi syafaat kepada tuannya." 
Riwayat Muslim.

Pengajaran Hadis:

 i) Al-Quran merupakan kalam ALLAH dan perlembagaan syariatnya yang kekal abadi. ALLAH telah menurunkannya kepada manusia sebagai panduan dalam mengharungi kehidupan agar dapat mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.

ii) Membaca al-Quran merupakan satu ibadah yang boleh menghampirkan diri seseorang itu kepada ALLAH Subhanallahhuwata'ala. Pahalanya amat besar iaitu sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran, ganjarannya satu kebaikan dan sepuluh ganjaran yang sama dengannya. Selain itu ia juga boleh meberikan syafaat di hari akhirat kelak.

 iii) Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim ada menyatakan bahawa Rasulullah SollaLLahu'alaihiwassallam bersabda yang maksudnya :" Perumpamaan Mukmin yang membaca al-Quran adalah seperti limau yang mempunyai bau yang harum dan rasanya sedap. Manakala perumpamaan mukmin yang tidak membaca al-Quran pula adalah seperti tamar yang tidak ada bau tetapi rasanya manis dan sedap."

 iv) Membaca al-Quran hendaklah dilakukan dengan beradab sebagai menghormati kalimah ALLAH di antaranya ialah seseorang itu hendaklah berada dalam keadaan suci (berwudhu') dan membacanya di tempat yang bersih, memulakan dengan membaca Ta'auwuz dan Basmallah, membaca dengan teliti dan perlahan, menjaga makhraj (bertajwid) serta memperelokkan suara sekadar termampu.

v) Pembacaan al-Quran yang paling baik ialah apabila difahami apa yang dibaca. Dengan ini barulah seseorang itu akan dapat merasai nikmatnya yang sebenar.

 كَمَا أَرْسَلْنَا فِيكُمْ رَسُولاً مِّنكُمْ يَتْلُو عَلَيْكُمْ آيَاتِنَا وَيُزَكِّيكُمْ وَيُعَلِّمُكُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَيُعَلِّمُكُم مَّا لَمْ تَكُونُواْ تَعْلَمُونَ

Sebagaimana (Kami telah menyempurnakan nikmat Kami kepadamu) Kami telah mengutus kepadamu Rasul di antara kamu yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu dan menyucikan kamu dan mengajarkan kepadamu Al Kitab dan Al-hikmah (As Sunah), serta mengajarkan kepada kamu apa yang belum kamu ketahui. (Surah Al-Baqarah 2: Ayat 151)

Monday, March 11, 2013

Cerpen: Mencari Ilahi

Kisah dari cerpen ini sangat menyentuh hati. Selamat membaca. Semoga bermanfaat.

Sumber: Saudara Hilal Asyraf

Cerpen ini diinspirasikan oleh keislaman Ruben, atau namanya kini adalah Abu Bakr(gambar).
Semoga Allah redha.
<3

Aku tidak faham. Mereka berdiri, tunduk separuh tubuh, kemudian bangun kembali, kemudian bersujud. Mereka mengulang-ulang perbuatan itu dengan mengangkat tangan, terkumat-kamit seakan membaca mantera. Diakhir dengan menoleh kiri dan kanan, seakan-akan baru keluar dari alam lain.

Lama aku menjenguk mereka ini. Aku tidak faham.

Apa sebenarnya mereka lakukan. Tidakkah letih. 5 kali sehari, setiap hari tanpa ada keringanan?

Tetapi, tidak langsung pada wajah mereka riak kepenatan. Jauh sekali kebosanan.

Apa sebenarnya mereka ini?

Seakan-akan makhluk lain yang wujud di alam semesta hari ini.

Aku terus memerhati. Sambil mencari makna yang tersembunyi.

Di dalam kehidupan sekelompok manusia bergelar Muslim.

*****

“Hoi terroris.”

Dia tidak menoleh.

Aku memanggilnya sekali lagi. “Hoi terroris”

Dia tetap tidak menoleh. Jauh sekali mengendahkan. Seakan-akan itu bukan panggilan yang layak untuknya. Aku jadi sedikit geram. Lantas bergerak menarik bahunya.

“Aku memanggilmu tadi. Apakah kau tidak mendengar” Suaraku sedikit tinggi.

Kali ini dia menoleh. “Namaku Mursyid. Seorang muslim, bukannya terroris” Lembut dia memperkenalkan diri, tetapi terserlah ketegasan yang tinggi dalam nada suara. Tanda dia punya rasa kehormatan yang tinggi.

“Bukankah orang Islam yang menghidupkan keganasan, meruntuhkan bangunan, membunuh orang tua, perempuan dan anak-anak kecil?” Provokasi kukeluarkan. Sengaja kusimbah petrol pada api yang kuwujudkan.

Mursyid tersenyum. “Mari duduk saudaraku” Tangannya menarikku dengan lembut. Bangku kayu berdekatan menjadi tempat landasan punggung.

Dari sini, aku dapat melihat ramai muslim yang keluar dari masjid. Selesai solat waktu petang mereka. Di tengah keterasingan suasana kehidupan, memandangkan ini tanah airku, bukan negara orang-orang Islam.

“Islam agama kami bermaksud kesejahteraan.” Suara Mursyid tenang. Seakan-akan mengusap lembut jiwaku. Ditambah pula senyumannya yang manis itu.

“Dan kami tidak akan membawa apa-apa melainkan kesejahteraan”

“Bohong. Bukankah orang-orang dari agamamu yang menyalakan api kekacauan? Meruntuhkan World Trade Centre dan mengancam kedamaian ummat?” Aku tidak berpuas hati.

Mursyid menggeleng. “Kalau kami perlu berperang sekalipun, perang kami adalah yang membawa kesejahteraan”

Aku terjeda. Adakah wujud peperangan yang membuahkan kesejahteraan?

“Adakah kamu meneliti Sirah Rasulullah SAW?”

“Muhammad bin Abdullah yang gila seks dan dahagakan darah itu?”

Terkoyak senyuman Mursyid. “Nyata kamu tidak mengenalinya. Kamu sekadar membaca tulisan  orang-orang kamu, kemudian kamu menilainya dengan penilaian kamu. Bukankah itu tidak adil?”

Ya. Jujurnya, tidak adil. Aku mengetahui itu. Sekarang aku seakan terperangkap.

“Baginda Rasulullah SAW, berpesan kepada kami agar tidak memotong rumput dan kayu sebarangan jika berperang, tidak menganggu rumah ibadah, dan tidak memperapa-apakan perempuan dan anak kecil”

Aku terdiam. Begitukah?

“Dan kalau kamu ingin tahu, baginda Rasulullah SAW memaafkan semua kaum yang menyeksanya dahulu, ketika baginda telah berjaya menguasai kembali Makkah”

Aku terjeda sekali lagi.

“Bagaimana kamu boleh nyatakan bahawa baginda dahagakan darah?”

“Habis, kenapa ummat Islam hari ini mengganas? Membunuh orang, dan merosakkan kedamaian kehidupan masyarakat? Lihat apa terjadi pada negaraku hari ini. Kacau bilau dan ketakutan disebabkan orang Islam”

Mursyid kulihat tidak berubah wajah. Tetap tenang dan menyenangkan. Aku yang melihatnya juga, secara tidak langsung seakan tersapa dengan ketenangannya. Seakan-akan dia menghidupkan jiwaku yang selama ini kacau.

“Ketahuilah saudaraku…” Mursyid mengurut lembut bahuku. “Aku tidak percaya itu dilakukan oleh orang Islam yang betul-betul beriman kepada Allah SWT dan taat kepada rasul-Nya. Dan jika benar sekalipun orang Islam yang melakukan, maka itu bukan anjuran Islam. Dia telah terkeluar dari jalan Islam yang sebenar”

Aku tidak mampu berkata apa-apa. Jika aku hendak menyalahkan agamanya kerana tindakan penganut, maka pastinya aku akan tertimpa dengan serangan ke atas agamaku pula. Bukan sedikit paderi-paderi yang terdedah melakukan hubungan seks dengan remaja bawah umur. Itu belum dikira dengan kempen menentang keganasan yang membuahkan lebih banyak kerosakan.

Kulihat Mursyid tersenyum. “Saudaraku, kami ini adalah yang berusaha untuk menonjolkan imej Islam yang bersih, agar kamu semua melihat kasih sayang Allah terhadap kamu. Rasulullah itu, datang dengan Islam, dan Islam itu membawa kesejahteraan pada seluruh ummat. Kami, sedang membuktikan itu”

Aku tunduk. Tujuan utama untuk memprovokasi umat Islam di kediamanku terpatah begitu sahaja.

“Jemput datang ke rumahku?”

“Eh?” Aku terkejut. Mursyid tetap dengan wajah yang berseri.

“Mari. Agar kamu berkenalan dengan keluargaku. Siapakah namamu wahai saudaraku?” Mursyid menghulurkan salam.

“Ru.. Ruben” Aku secara automatik menjabat. Seakan-akan ada kuasa ghaib menggerakkan tanganku.

“Ruben, mari.” Dia menarik tanganku lembut.

Seakan membawa jiwaku bersama dengannya.

*****

“Islam dengan orang Islam itu adalah dua perkara yang berbeza. Islam daripada Allah SWT, maka peraturannya solid dan sempurna. Tetapi pada masa yang sama, orang Islam adalah manusia yang mempunyai kelemahan. Ada yang berjaya memanifestasikan Islam, ada yang tidak berjaya. Tetapi masih lagi, jika kita mengambil Islam sebagai cara hidup, ketenangan akan muncul dalam jiwa kita”

Itu kata-kata Mursyid ketika aku menziarahi rumahnya.

Rumahnya sangat bersih. Walaupun kecil, tetap membahagiakan. Entah kenapa, aku seakan terserap ke dalam syurga. Anak-anaknya baik dan beradab. Isterinya juga amat menjaga diri dan tidak terlalu bergaul denganku. Berbanding isteriku yang terdedah pada lelaki-lelaki lain dan anak-anakku yang langsung tidak beradab ketika berbicara denganku, aku terasa segan dengan Mursyid.

“Islam ini, pada mereka yang faham, adalah 24 jam, sepanjang 7 hari. Yakni setiap masa. Tiada rehat dalam menjadi hamba Allah SWT. Maka, setiap masa perlu kekal terikat dengan peraturan Islam”

“Adakah kamu semua tidak penat?”

“Apakah kebahagiaan itu satu kepenatan? Di dalam Islam ini, peraturannya, membuatkan kami bahagia” Mursyid mengusap kepala anaknya yang comel itu, sambil memandangku.

Aku tersengih bila mengingati bicaranya itu. Agamaku, hanya wujud di hari ahad. Malah, bila melakukan dosa, boleh pula diampunkan hanya dengan membayar wang. Dari satu sudut, aku melihat itu satu manipulasi gereja untuk mereka yang berdosa. Bagaimana manusia yang berdosa, yang tidak sempurna, boleh mengampunkan manusia lain?

“Kamu mempercayai Allah. Justeru, di mana Allah?” Soalan yang aku tertanya-tanya selama ini. Hairan dengan orang Islam yang mampu taat, sedangkan tuhan mereka tidak kelihatan.

“Kamu hidup selama ini dengan menyatakan wujudnya nyawa. Justeru, di manakah nyawa?” Mursyid menjawab soalanku dengan soalan.

Mataku membesar. Jiwaku rasa tertusuk. Perasaan apakah ini?

“Allah itu amat dekat dengan kita wahai Ruben. Dia adalah Pencipta kita. Yang paling memahami kita. Yang memenuhi hak-hak kita”

“Bagaimana dia boleh membahagikan masa pada ramai manusia di atas muka bumi ini? Aku tidak nampak logiknya” Aku masih ragu-ragu.

“Adakah Tuhan perlukan logik manusia? Dia itu Tuhan Ruben. Tuhan. Dia tidak terikat dengan hukum-hukum yang mengikat manusia serta makhluk-mahkluk lain”

Dia itu Tuhan Ruben… Dia itu Tuhan… Tuhan…

Aku rasa tertampar-tampar. Ya, apakah jika benda yang dipahat oleh manusia, boleh dikatakan sebagai Tuhan? Apakah yang memerlukan orang lain, boleh menjadi tuhan?

“Keistimewaan Islam, kami ada rasa hubungan yang dekat dengan Allah SWT. Dia ghaib, tapi kami beriman dengannya. Tanpa ragu. Menyebabkan kami sentiasa berjaga-jaga sepanjang masa dan waktu dalam memenuhi amanah-Nya, dan meninggalkan larangan-Nya. Ini juga membuatkan kami tidak takut, tidak mudah berputus asa, dan tidak merasa lemah”

Aku tersengih sendirian.

Perbualan-perbualan dengan Mursyid, membuatkan aku banyak berfikir.

Adakah kepercayaan, hubungan dengan tuhan ini, menyebabkan mereka seperti apa yang aku nampak?

Tenang, kuat, mempunyai maruah dan setiasa berkeyakinan?

“Tidakkah Islam ini ideologi Muhammad bin Abdullah sahaja?”

Mursyid menggeleng. “Islam itu adalah daripada Allah SWT. Rahmat pada sekalian alam. Rasulullah SAW hanyalah manusia yang dihantar untuk menyampaikannya, dalam keadaan baginda menjadi contoh hidup sebagai bukti bahawa Islam itu mampu diimplementasikan manusia”

Hatiku bergetar.

Islam…

Allah…

******

Aku mengkaji dan mengkaji Al-Quran selepas perbualan dengan Mursyid tempoh hari. Mursyid yang menghadiahkanku Al-Quran terjemahan ke bahasa ibundaku sebagai hadiah semasa aku berpapasan dengannya.

“Di dalam Al-Quran ini, ada petunjuk”

“Aku bukan orang Islam”

“Tidak semestinya orang Islam sahaja yang perlu membaca Al-Quran”

Dan aku mula mengkaji. Perbincangan dan perbahasan dengan Mursyid tempoh hari membuatkan aku dahagakan kebenaran. Aku mula melihat betapa Islam ini adalah satu sistem hidup yang patut dijadikan panduan.

Aku yang awalnya mengkaji Al-Quran untuk mencari kelemahannya, kini tidak mampu lagi menahan perasaan hati yang akan bergetar hebat setiap kali membaca ayat-ayat yang dikatakan kalam tuhan itu.
Pertama kali mengkhatamkan terjemahannya, aku berkata di dalam jiwa:

“Ini bukan kalam manusia”

Semestinya. Aku tidak silap akan itu. Tiada kecacatan, malah pemilihan perkataan yang digunakan, adalah yang paling sesuai pada tempat yang hendak dinyatakan. Tiada percanggahan antara satu bahagian dengan bahagian yang lain. Jika ada kekeliruan, sentiasa ada penjelasannya. Malah, satu sistem hidup yang cantik dapat dilihat daripada Al-Quran ini.

Aku jadi rasa tidak cukup, lantas aku mengkaji kehidupan Muhammad bin Abdullah. Aku selak hadith-hadithnya. Aku teliti perjalanan kehidupannya. Akhirnya aku tidak menjumpai apa yang dinamakan kecacatan.

Yang selama ini membuat tohmahan daripada kaumku, aku dapat merasakan mereka mempunyai niat yang busuk. Mereka sekadar memotong-motong juzu’ hidup Muhammad bin Abdullah ini, tanpa mengungkit pula bahagian lain yang mengimbangi tindakannya pada bahagian yang disebutkan tadi.

Yang ada hanya kebenaran.

Jiwaku seakan meronta-ronta.

Aku inginkan kebenaran!

Tuhan, apakah Kau membenarkan?

Sekarang aku mahu bukti yang terus daripada Tuhan yang bernama Allah ini.

Ya, aku ingin mencabarnya. Buktikan bahawa Dia benar. Aku tidak mahu mendengar kata orang lain. Aku tidak mahu bergantung pada buku. Aku sudah puas mengkaji. Sekarang, aku ingin Dia sendiri keluar membuktikannya kepadaku.

******

Aku duduk dikelilingi lilin. Sengaja kututup lampu bilikku, dan membiarkan tingkap terbuka. Angin sepoi-sepoi bahasa membuatkan lilin itu meliang liuk. Aku membina satu medan yang dinamakan sebagai medan spiritual.

Aku percaya bahawa Allah itu ada di dimensi lain. Dan hendak memanggil-Nya keluar, aku kira perlu menggunakan cara ini.

Aku memegang Al-Quran, membaca-bacanya dalam bahasa arab mengikut ajaran Mursyid selama ini. Aku sudah boleh membaca Al-Quran dalam bahasa aslinya. Lebih menusuk, lebih memberikan kesan.

Sampai ke satu muka surat, aku berhenti. Aku mengambil nafas. Aku rasa sudah bersedia untuk memerhatikan tanda, keajaiban secara langsung daripada Allah SWT.

“Ya Allah!” Aku menjerit.

“Jika Engkau benar, maka berikan aku tanda!” Launganku keluar menerobos tingkap.

“Aku lihat Islam adalah agama yang baik, tetapi aku masih tidak cukup yakin. Sekarang, berikan aku tanda yang boleh membuatkan aku masuk ke dalam agama-Mu ini!”

Sunyi. Sepi. Aku sendiri dan tiada apa-apa berlaku. Di dalam kepalaku, aku mengharapkan lilin-lilin tadi menjadi api marak menjulang, atau rumah ini bergegar, atau dinding roboh secara tiba-tiba, atau ada makhluk datang memberitahu aku itu dan ini.

Tetapi tetap tiada apa yang berlaku.

“Allah, ini peluang kau. Kalau tak, aku tak akan menerima Islam ini” Aku mengugut.

Aku hendak Allah muncul sendiri, atau paling kurag menunjukkan tanda.

“Bukankah Kau sangat berkuasa Ya Allah. Tunjukkan kekuasaan-Mu itu sekarang!”

Masih sunyi sepi. Yang menemaniku hanya desiran angin yang mask melalui tingkap.

Aku menggeleng. Mungkin Allah sibuk. Itu fikiranku.

“Tak mengapa. Aku masih memberikan Kau peluang. Aku akan tunggu petanda Kau di sini, dan Aku tidak akan berganjak!” Aku bersemangat dan bertegas.

Maka, aku memilih untuk menyambung pembacaan Al-Quranku tadi.

Kuselak muka surat sebelah untuk menyambung pembacaan.

Ayat itu kubaca.

“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi; dan (pada) pertukaran malam dan siang; dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Ia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaanNya, kebijaksanaanNya, dan keluasan rahmatNya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran.” Surah Al-Baqarah ayat 164.

Dunia seakan menjadi terlalu sunyi. Aku seakan terserap ke dalam alam lain. Bulu romaku meremang naik. Tubuhku bergetar hebat. Pada pemikiranku mula muncul awan tanpa tali, bumi yang berputar pada paksi tetapi tiada yang menjadi paksinya, planet-planet yang bergerak dengan kemas di dalam orbit tanpa berlanggaran, kitaran hidup haiwan dan tumbuhan, kitaran air, kadar udara yang sangat-sangat sempurna, peredaran darah di dalam tubuh manusia, dan 1001 lagi kejadian yang menakjubkan yang berlaku dalam kehidupan manusia.

Air mataku mencucur.

Allahuakbar.

Allahuakbar.

Allahuakbar.

Aku sujud.

“Sesungguhnya aku naik saksi, tiada tuhan melainkan Allah, dan Muhammad itu Utusan Allah”

******

Aku mengangkat kedua belah tanganku separas telinga, kemudian aku terkumat-kamit membaca Al-Fatihah dan ayat Al-Quran, kemudian aku mengangkat lagi kedua tanganku dan tunduk separuh tubuh, kemudian bangun semula dan sebentaar kemudian turun sujud. Kuulang semua itu sebanyak empat pusingan, kemudian kututup dengan menoleh kanan dan kiri sambil memberi salam.

Aku bertahmid, bertasbih dan bertakbir perlahan.

Tiba-tiba pehaku ditepuk lembut. Aku menoleh. Mursyid dengan senyuman manis. Aku membalas senyumannya.

“Mari ziarah ke rumahku petang ini” Mursyid mengajak.

Aku mengangguk. “Biar aku berdoa dahulu?”

“Baiklah” Mursyid kembali ke posisi duduk antara dua sujud.

Aku mengangkat tangan.

“Ya Allah, aku bersyukur dengan nikmat iman dan Islam yang telah Kau berikan kepadaku”

Thursday, February 14, 2013

Disunnahkan Ziarah Kubur

Rasulullah SollaLLahu'alaihiwassallam bersabda:
نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ، فَزُورُوهَا
“Dulu aku pernah melarang kamu untuk menziarahi kuburan, tetapi sekarang ziarahilah.” (Shahih Muslim, no. 977. Kitab al-Jana’iz)

Rasulullah SollaLLahu'alaihiwassallam bersabda:
وَنَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ، فَمَنْ أَرَادَ أَنْ يَزُورَ فَلْيَزُرْ، وَلَا تَقُولُوا هُجْرًا
“Dulu aku pernah melarang kamu untuk menziarahi kuburan, maka sekarang, sesiapa yang mahu menziarahi kubur, maka ziarahlah, dan janganlah mengucapkan kata-kata yang bathil.” (Sunan ash-Shaghir an-Nasaa’i, no. 2033. Dinilai Sahih oleh al-Albani)

Rasulullah SollaLLahu'alaihiwassallam bersabda:
إِنِّي كُنْتُ نَهَيْتُكُمْ عَنْ ثَلَاثٍ: عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ فَزُورُوهَا، وَلْتَزِدْكُمْ زِيَارَتُهَا خَيْرًا
“Dulu aku melarang kamu dari tiga perkara (iaitu) menziarahi kubur, tetapi sekarang, ziarahilah ia dan hendaklah ziarah yang kamu lakukan itu menambah kebaikan.
 (Sunan ash-Shaghir an-Nasaa’i, no. 4429, 5653. Bab: al-Idznu fii dzalika)

Rasulullah SollaLLahu'alaihiwassallam bersabda:
زُورُوا الْقُبُورَ فَإِنَّهَا تُذَكِّرُكُمْ الْآخِرَةَ
“Ziarahilah kubur, kerana ia dapat mengingatkan kamu kepada akhirat.” (Sunan Ibnu Majah, no. 1558. Bab: Ziarah al-Qubuur)

Rasulullah SollaLLahu'alaihiwassallam bersabda:
إِنِّي نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ فَزُورُوهَا، فَإِنَّ فِيهَا عِبْرَةً
“Sesungguhnya aku pernah melarang kamu dari menziarahi kubur, tetapi sekarang, ziarahilah ia. Kerana padanya terdapat ‘ibrah (pelajaran).” (Musnad Ahmad, no. 11329. Dinilai sahih oleh al-Albani dan Syu’aib al-Arnauth)

Rasulullah SollaLLahu'alaihiwassallam bersabda:
نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ، ثُمَّ بَدَا لِي أَنَّهَا تُرِقُّ الْقَلْبَ، وَتُدْمِعُ الْعَيْنَ، وَتُذَكِّرُ الْآخِرَةَ، فَزُورُوهَا وَلَا تَقُولُوا هُجْرًا
“Sesungguhnya aku pernah melarang kamu dari menziarahi kubur, kemudian dibenarkan kepadaku kerana ia melembutkan hati, menitiskan air mata, dan mengingatkan kepada kehidupan akhirat. Maka ziarahilah ia. Dan janganlah mengucapkan kata-kata yang bathil.” (Musnad Ahmad, no. 13487. Dinilai sahih oleh Syu’aib al-Arnauth)




Tuesday, January 29, 2013

Tahajud Membina Kekuatan Jiwa Dan Peribadi Unggul

Firman ALLAH bermaksud: "Wahai orang yang berselimut, bangunlah sembahyang tahajud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat). Iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit daripada separuh itu. Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya: dan bacalah al-Quran dengan ‘Tartil’ (perlahan-lahan). Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu perkataan yang berat (wahyu yang mengandungi perintah yang berat). Sesungguhnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap betul bacaannya". (Surah Al-Muzzammil, ayat 1-6)

Umat Islam dianjur melaksanakan qiamullail (tahajud) pada bahagian akhir malam sebagai manifestasi kesyukuran kepada ALLAH atas segala nikmat-Nya yang begitu banyak dikurniakan kepada kita. Sesungguhnya solat pada akhir malam akan melahirkan kekuatan jiwa, memperkukuhkan keinginan dan azam untuk patuh serta taat kepada ALLAH.

Beribadat dan bermunajat kepada ALLAH pada malam hari, di kala insan lain sudah lama nyenyak dibuai mimpi indah. Ia suatu gambaran keikhlasan kepada ALLAH dan seterusnya membebaskan diri dari sifat riak yang boleh membakar seluruh amalan kebajikan.

Bermunajat dengan melaksanakan tahajud pada malam hari mengecewakan syaitan yang tidak jemu menggoda dengan pelbagai bisikan dan mendodoi manusia supaya terus lena hingga ke pagi hari.Sabda Rasulullah SollaLLahu'alaihiwassallam bermaksud: "Ketika kamu tidur, maka datanglah syaitan dengan mengikat ubun-ubunmu dengan tiga ikatan. Dan apabila ia terjaga dengan menyebut nama ALLAH, maka terlepaslah satu ikatan, jika ia terus berwuduk maka terlepaslah ikatan kedua, kemudian apabila diikuti dengan solat Qiamullail, maka terlepaslah ikatan yang ketiga dan pada waktu pagi berada dalam keadaan segar dan giat, jika tidak berbuat demikian, maka akan kencinglah syaitan dalam kedua-dua telinganya." (A-Misykuh)
Rasulullah SollaLLahu'alaihiwassallam sentiasa mengingatkan kita berhati-hati supaya tidak diperdayakan syaitan laknatullah, jiwa yang tergoda dengan syaitan akan timbul sifat malas untuk melaksanakan ibadat, hati menjadi keras dan liat untuk mendengar serta mendekati ilmu keagamaan.
Daripada Ibnu Mas’ud katanya, "Sudah disebut perihal lelaki di hadapan Nabi SollaLLahu'alaihiwassallam  Katanya, lelaki itu berterusan tidur hingga subuh dan tidak bangun sembahyang lalu Nabi bersabda: "Sesungguhnya lelaki itu dikencing oleh syaitan di dalam telinganya." (Hadis riwayat Syaikhan dan an-Nasa)
Oleh demikian, menghidupkan malam hari dengan bertahajud dan bermunajat kepada ALLAH akan mendapat kasih sayang dari ALLAH dan kasih sayang ALLAH itu terpancar dari-Nya melalui sikap serta tindakannya.
Segala sikap dan tindakannya sentiasa di dalam pemeliharaan ALLAH, yang seterusnya orang lain pula apabila melihatnya akan timbul perasan kasih dan hormat akibat pancaran kasih sayang ALLAH kepadanya.
Firman ALLAH bermaksud: "Dan (dengan yang demikian) bersabarlah (wahai Muhammad) menerima hukum Tuhanmu (memberi tempat kepada mereka), kerana sesungguhnya engkau tetap terselamat dalam pemeliharaan serta pengawasan Kami. Dan bertasbihlah menemui Tuhanmu semasa engkau bangun. Dan juga hendaklah engkau bertasbih kepada-Nya pada waktu malam, dan ketika bintang-bintang tenggelam (pada waktu subuh)". (Surah al-Thur, ayat 48-49)
ALLAH menyediakan banyak pengurniaan-Nya terhadap orang yang sanggup menukar tempat tidur dan masa istirehatnya, tilam yang empuk, bangun dalam kesejukan untuk bersuci dan terus beribadah kepada ALLAH, dijanjikan kedudukan yang terpuji baik di dunia mahupun akhirat.
Sejarah lampau membuktikan bahawa Salahuddin Al-Ayubi seorang pemimpin tentera Islam dalam peperangan Salib hanya memilih orang yang mengerjakan qiamullail untuk bertempur di medan peperangan kerana mereka ini memiliki kekuatan jiwa dan keteguhan peribadi yang tinggi. Hasilnya, pihak Islam menang dalam peperangan itu.
Dalam satu hadis Rasulullah SollaLLahu'alaihiwassallam menjelaskan bahawa barang siapa bersolat pada malam hari dengan sanggup bersengkang mata melaksanakan solat tahajud, ALLAH akan memberi sembilan kurniaan kepadanya. Lima kurniaan di dunia dan empat lagi di akhirat.
Sabda Rasulullah SollaLLahu'alaihiwassallam  daripada Umar bin al-Khattab yang bermaksud: "Barang siapa yang mengerjakan solat malam, dan dia membangunkan solat, maka ALLAH memuliakan dia dengan sembilan perkara: Lima perkara di dunia dan yang empat lagi di akhirat.
Oleh itu, marilah sama-sama kita menyahut tawaran ALLAH untuk bangun menunaikan qiamullail iaitu ganjarannya terlalu besar nilainya, lebih besar dan bernilai dari dunia ini dan segala isinya. Janganlah sampai ayam yang tidak berakal itu lebih pintar dan lebih baik daripada kita. Seperti nasihat Luqmanul Hakim kepada anaknya, "Wahai anakku, janganlah engkau tidur di kala ayam jantan berkokok pada waktu fajar."

Wallahu'alam.

 
Powered by Blogger.