Powered by Blogger.

Wednesday, April 4, 2012

Zinnirah Muslimah Sejati

Zinnirah srikandi contoh terunggul sebagai seorang muslimah yang berpegang teguh dalam ketauhidannya kepada ALLAH s.w.t. Wanita mithali ini bukanlah terkenal dengan kecantikan atau kebangsawanannya. Beliau hanyalah seorang wanita berketurunan bangsa Rom yang ditawan dan dijual di sebuah pasar di Mekah. Beliau telah dibeli oleh Umar Al-Khattab untuk dijadikan hamba. Ketika Rasulullah s.a.w. memulakan dakwahnya secara sembunyi, Zinnirahlah antara golongan pertama yang menerima cahaya keimanan itu.

Pada peringkat awal, Zinnirah menyembunyikan pengislamannya daripada diketahui Umar. Namun amalan solehahnya telah berjaya dihidu oleh Umar Al-Khattab apabila melihat perubahan dalam diri hambanya itu. Umar menjadi begitu marah apabila mengetahui Zinnirah menerima ajaran tauhid yang dibawa baginda Rasulullah s.a.w., kerana Umar begitu memusuhi Rasulullah s.a.w. Maka, Umar telah menyeksa Zinnirah dengan harapan Zinnirah akan kembali kepada agama asalnya dan meninggalkan Islam. Zinnirah telah dipukul, ditendang dan dijemur di tengah-tengah terik mentari. Namun, Zinnirah tetap bersabar dan jiwanya bergantung sepenuhnya kepada pertolongan ALLAH s.w.t.

Dalam keperitan fizikal, Zinnirah masih mampu menguntum senyuman. Hatinya tidak putus-putus mengucapkan "ALLAH, ALLAH, ALLAHU AKHBAR, ALLAH lah yang Maha Besar."

Puncak penyiksaan terhadap Zinnirah adalah apabila kedua matanya ditusuk dengan besi tajam dan panas, dan akhirnya gelaplah seluruh pandangannya. Di saat beliau diseksa dengan penuh kejam hatinya mampu lagi berbisik:
"Ya ALLAH, walau aku dibunuh mati, aku lebih rela daripada menjual agama MU. Panahan cinta dari MU itulah makin menguatkan diri ini untuk menerima apa sahaja. Cuma satu permintaanku, berilah petunjuk kepada orang yang menyeksaku ini."
Ternyata doa Zinnirah telah dikabulkan ALLAH s.w.t. apabila tidak lama selepas itu Umar memeluk Islam setelah mendapat hidayah ALLAH s.w.t. melalui adiknya, Fatimah.

Begitulah hebatnya ketaqwaan seorang mujahidah yang bernama Zinnirah ini. Beliau tidak sedikitpun berganjak daripada keimanan kepada ALLAH s.w.t. saat penyiksaan datang bertubi-tubi. Kenikmatan yang meneguhkan lagi imannya apabila ALLAH s.w.t. mengambil sekejap nikmat pandangannya, lalu dipulangkan dengan mengantikan mata yang lebih baik. Zinnirah kembali melihat seperti sedia kala. Akhirnya Saiyidina Abu Bakar datang menyelamatkan Zinnirah dengan membelinya dengan harga tinggi.

Zinnirah, begitu indah hatinya yang sentiasa terpimpin, begitu juga dengan akhlaknya. Hasilnya, hati dan jiwa berasa aman daripada kongkongan hawa nafsu. Kemerdekaan jiwa inilah yang diperolehi oleh Zinnirah, wanita yang tidak terkenal di dunia tetapi terkenal di langit.

Tuesday, April 3, 2012

Sedia Menerima Cubaan Dunia

Segala kemurahan (ruksah) yang datang daripada ALLAH  dan Rasul Nya, harus kita ambil. Dalam sebuah riwayat dinyatakan bahawa ALLAH menyukai bila segala kemurahan Nya dipergunakan, sebagaimana halnya Dia menyenangi segala ketentuan pastiNya (azimah) dilaksanakan. Kita wajar senang dengan setiap kemudahan yang ALLAH anugerahkan. Ada riwayat yang menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. sangat menyukai urusan-urusan yang ringan dan mudah. Oleh kerana itu, janganlah kamu meninggalkan setiap urusan yang baik. Jika dilanda musibah, janganlah pula kita menentangnya. Itu semua bukan kehendak kita.


Musibah Adalah Perhatian ALLAH kepada Hamba Nya

     Apabila ditimpa ujian dan cubaan dari ALLAH s.w.t., kita harus menghadapinya dengan penuh kesabaran. Meskipun pahit, kita harus sedar bahawa itu semua merupakan perhatian ALLAH kepada hamba Nya.
     Jangan mengeluh dalam menerima kesulitan. Hal ini dapat melemahkan kesabaran. Kita perlu menjauhkan diri dari sikap mengeluh dan tidak menerima ketentuan ALLAH s.w.t. Dalam sebuah hadis qudsi, ALLAH s.w.t. berfirman, "Siapa yang tidak rela dengan ketentuanKu dan tidak sabar atas musibahKu, maka dia dipersilakan mencari Tuhan selain Aku." Dalam hadis qudsi yang lain, ALLAH s.w.t. berfirman, "Siapa yan redha dengan hukum dan ketentuanKu, maka dia akan mendapat keredhaanKu. Jika dia menemuiKu, Aku akan meredhainya. Akan tetapi, siapa yang tidak terima dengan hukum dan ketentuanKu, maka dia layak mendapatkan kemarahanKu. Jika ia menemuiKu, Aku akan memarahinya."


Musibah sebagai Penghapus Dosa

    Musibah itu merupakan salah satu bentuk perhatian ALLAH pada hamba-hamba Nya. Oleh kerana itu, kita jangan bersedih menerimanya. Ketahuilah, kebahagiaan itu terletak pada musibah yang terjadi didunia ini. Itu semua merupakan pelaburan bagi orang-orang yang sabar. Dengannya, dosa-dosa akan terhapus . Dalam sabuah riwayat, seorang ulama berkata, "Orang yang tidak merasa senang dalam menghadapi musibah kerana tidak mengharapkan dosanya terhapus, maka malaikat berkata, 'Semoga penyakitnya tidak akan sembuh.'"


Pilihan ALLAH Lebih Baik daripada Pilihan Hamba Nya

    Orang yang meyakini adanya kebaikan dalam pilihan ALLAH, dia pasti akan senang dalam menerima segala musibah yang menimpanya. Dia kelihatan mudah menghadapinya kerana kebahagiaan akan segera mendatanginya. Orang yang merasa diperhatikan oleh ALLAH, dia akan gembira dalam menerima segala bentuk kesulitan. Sikap sedemikian akan menghapuskan dosa-dosa (kecil) yang telah dilakukannya. ALLAH juga akan menganugerahkan pahala yang berlipat ganda kepadanya. Di akhirat nanti, dia akan berbahagia selama-lamanya. Semoga ALLAH meredhai kita dan menjadikan kita termasuk orang-orang berbahagia.

AMINN.    

 
Powered by Blogger.