Powered by Blogger.

Thursday, June 30, 2011

Dia yang tiada siapa-siapa, punya ALLAH swt.

Kesedaran adalah antara perkara terpenting dalam kehidupan manusia.

Kesedaran, kewarasan, adalah apa yang akan mampu mengeluarkan manusia dari sebarang permasalahan. Daripada kesedaran akan datangnya ketenangan dan kekuatan.

Namun, tidak ramai manusia yang mampu mengekalkan kesedaran dan kewarasannya. Apatah lagi apabila gelombang mehnah dan tribulasi tidak henti-henti menghempasnya. Sampai satu saat, kesedaran dan kewarasan itu hilang, dan jatuhlah dia ke satu tempat yang rendah lagi hina. Tersesat dalam perjalanannya di atas dunia.

Tetapi wujud di dalam dunia ini, manusia yang dilambung mehnah dan tribulasi, namun kekal bertahan dan bertenang. Dia berjaya mengekalkan kesedaran dan kewarasannya.

Apakah rahsia mereka?

Rahsia mereka adalah, mereka menghadirkan ALLAH swt dalam kehidupan mereka.

Pegangan terutuh

Mereka yang menghadirkan ALLAH swt dalam kehidupan mereka, akan mempunyai pegangan terutuh, terkukuh. Hal ini kerana, pergantungan kepada ALLAH swt mempunyai beberapa ciri pengekal ketenangan yang ampuh.

Berikut ciri-cirinya:

1 – Wujud dalam kepercayaan kepada ALLAH bahawa ALLAH itu Tidak Menzalimi Hamba-hambaNya.

Jelas bahawa, bagi yang mempunyai hubungan yang erat dengan ALLAH swt, keyakinan bahawa ALLAH tidak menzalimi hamba-hambaNya akan membuatkan hamba-hambaNya tabah melalui ujian dan cabaran, walau seberat mana pun ujian tersebut. Kerana mereka tahu, ujian dan cabaran itu, bukan tanda ALLAH sedang menzalimi mereka, bahkan ujian dan cabaran itu dipandang sebagai catalyst(pemangkin) agar diri mereka menjadi hamba ALLAH swt yang lebih baik. Kepercayaan ini membawa kepada kepercayaan – Apa-apa sahaja yang ALLAH beri itu adalah baik, walaupun nampak buruk buat kita.

“Dan tidaklah ALLAH itu mengkehendaki (untuk berlaku) zalim kepada hamba-hambaNya.” Surah Ghaafir ayat 31.

Daripada Abu Zar al-Ghifaari r.a, daripada Rasulullah s.a.w berdasarkan apa yang diriwayatkannya daripada Tuhannya yang Maha Mulia lagi Maha Tinggi bahawasanya Ia berfirman : “Wahai hamba-hamba-Ku! Sesungguhnya Aku mengharamkan ke atas diri-Ku kezaliman…” Hadith Riwayat Muslim. Boleh didapati sebagai Hadith yang ke-24 di dalam Hadith 40 Karangan Imam An-Nawawi.

Nyatanya, ketenangan akan terus kekal apabila mempunyai kefahaman begini.

2 – Wujud dalam kepercayaan kepada ALLAH bahawa Allah itu Tidak Memungkiri JanjiNya.

Jelas bahawa, bagi yang mempunyai hubungan yang erat dengan Allah SWT, mereka percaya bahawa Allah itu Tidak Memungkiri JanjiNya. Allah SWT sudah berjanji bahawa kebaikan itu akan dibalas, walau sebesar zarah. Kejahatan itu akan dibalas walau sebesar zarah. Allah berjanji akan memberikan bantuan dan kemenangan. Dan Allah berjanji, tidak akan memungkiri janji-janjiNya ini.

“Tetapi orang-orang yang bertakwa kepada Tuhannya mereka mendapat tempat-tempat yang tinggi, di atasnya dibangun pula tempat-tempat yang tinggi yang di bawahnya mengalir sungai-sungai. ALLAH telah berjanji dengan sebenar-benarnya. ALLAH tidak akan memungkiri janji-Nya.” Surah Az-Zumar ayat 20.

Maka bagi yang percaya, dugaan dan cabaran akan dilalui dengan sabar dan tabah, menanti ALLAH swt menunaikan janji-janjiNya. Dengan itu, ketenangan itu kekal.

3 – Wujud dalam kepercayaan kepada ALLAH bahawa ALLAH itu Amat Dekat Dengan Hamba-hambaNya.

Jelas bahawa, bagi yang mempunyai hubungan yang erat dengan ALLAH swt, mereka percaya bahawa ALLAH itu Amat Dekat dengan hamba-hambaNya. Justeru, mereka rasa kuat dan cekal dengan kepercayaan ini. Mereka tahu bahawa mereka tidak bersendiri. Mereka tahu bahawa ALLAH sedang menilai mereka. Mereka tahu ALLAH swt sentiasa bersama mereka. Maka apakah mereka hendak meninggalkan ALLAH swt dengan berputus asa?

“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan ALLAH? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan ALLAH itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama ALLAH).” Surah Al-Baqarah ayat 214.

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdo’a apabila berdo’a kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka itu beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” Surah Al Baqarah ayat 186

“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya dan Kami lebih dekat dari pada urat lehernya.” Surah Al Qaaf ayat 16

Ini juga mengekalkan ketenangan dan kewarasan. Lantas cabaran dan dugaan itu dilalui dengan tabah dan penuh kecekalan.

Dan banyak lagi sebenarnya. Namun tiga ciri ini adalah yang terutama, yang menyebabkan mereka yang menghadirkan ALLAH swt dalam kehidupan mereka, kekal bertenang walaupun dalam kepayahan yang dilalui oleh mereka.

Tidak mahu percaya? Lihatlah mereka.

Kita mempunyai contoh-contoh yang sudah dipahatkan di dalam sejarah, untuk kita contohi dan ambil pengajaran.

Kisah 1

Lihatlah Rasulullah SAW, semasa peristiwa hijrah, saat baginda bersembunyi di dalam gua dan hampir ditemui. Abu Bakr RA ketika ini ketakutan dan gelabah, risau ditemui. Tetapi apakah sabda Rasulullah SAW ketika itu?

“Wahai Abu Bakr, apakah pandangan engkau sekiranya kita berdua ini, dan ALLAH adalah yang ketiganya?”

Terus sahaja kegusaran di dalam jiwa Abu Bakr itu lenyap. Dan lihatlah bagaimana tenangnya Rasulullah SAW. Kerana apa? Kerana baginda menghadirkan ALLAH swt dalam kehidupannya.

Kisah 2

Ketika Musa AS terhimpit antara laut dan tentera Firaun yang mengejar dia dan Bani Israel yang dipimpinnya, dia kekal bertenang. Walaupun pada saat itu Bani Israel kucar-kacir ketakutan, bahkan ada yang mencadangkan agar mereka menyerah diri kepada Firaun.

“Setelah kedua-dua kumpulan itu nampak satu sama lain, berkatalah orang-orang Nabi Musa: Sesungguhnya kita akan dapat ditawan.” Surah Asy-Syu’araa’ ayat 61.

Tetapi apakah kata-kata Musa AS pada ketika itu?

“Sesekali tidak, sesungguhnya aku bersama Rabbku yang memberikan petunjuk.” Surah Asy-Syu’araa’ ayat 62.

Kisah 3

Ketika Yusuf AS dihimpit oleh imra’ah aziz(yang sering kita kenali sebagai Zulaikha), yang ingin menggodanya untuk melakukan hubungan terlarang, Yusuf AS kekal bertenang dan tidak jatuh kewarasannya. Dia tidak pula menerkam Zulaikha mengikut nafsunya.

“Dan perempuan yang Yusuf tinggal di rumahnya, bersungguh-sungguh memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya, dan perempuan itupun menutup pintu-pintu serta berkata: Marilah ke mari, aku bersedia untukmu. Yusuf menjawab: Aku berlindung kepada Allah (dari perbuatan yang keji itu); sesungguhnya Tuhanku telah memuliharaku dengan sebaik-baiknya; sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan Berjaya.” Surah Yusuf ayat 23.

Dan apabila dia dipenjara, akibat tidak mahu mengikuti nafsu Zulaikha, dia berkata:

“Yusuf (merayu kehadrat Allah Taala dengan) berkata: Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara dari apa yang perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya. Dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan aku menjadi dari orang-orang yang tidak mengamalkan ilmunya.” Surah Yusuf ayat 33.

Nyatanya, terserlah ketenangannya itu. Langsung kewarasannya tidak hilang dengan ujian-ujian tersebut.

Sebab itu, hubungan dengan ALLAH swt adalah kunci kepada ketenangan dan kewarasan, dalam menghasilkan kecekalan dan ketabahan merentas masalah kehidupan.

Namun permasalahan utamanya adalah…

Namun hari ini, ALLAH swt itu tidak kita hadirkan dalam kehidupan kita. Kita sekadar beriman di atas kad pengenalan semata-mata. Ramainya sekadar memagarkan hubungan dengan ALLAH swt di dalam masjid, dan saat-saat kemalangan, juga apabila berlaku kematian.

Inilah yang membuatkan manusia, kehilangan kewarasan diri apabila dilambung badai mehnah dan tribulasi. Bila ada masalah, ada yang kelar tangan bunuh diri. Bila ada masalah, ada yang jatuh tak bangkit kembali. Ini semua kerana, ALLAH swt tidak dihadirkan dalam segenap kehidupan insani.

Sememangnya, orang-orang yang melupakan ALLAH swt, dia akan ALLAH swt lupakan.

“Mereka telah lupa kepada ALLAH, maka ALLAH melupakan mereka.” Surah At-Taubah ayat 67.

Penutup: Dia yang tidak punya siapa-siapa, ada ALLAH swt

Sebab itu, kita perlu melihat semula akan perkara ini. Hal ini kerana, kesedaran dan kewarasan adalah satu perkara yang amat penting dalam mengekalkan ketabahan dan kecekalan kita. Ramai telah tersungkur dan gagal apabila dilambung ujian. Jangan kita pula yang menjadi yang seterusnya.

Mari. Ubat sudah berada di hadapan kita. Bahkan, selama ini memang penawar ini wujud bersama kita. Kita sahaja yang tidak mengambilnya.

Kita koreksi kembali hubungan kita dengan ALLAH swt.

Dan menjadi manusia yang tabah dan cekal.

Hatta kalau nanti kita tiada siapa-siapa di sisi kita, kepercayaan bahawa wujudnya ALLAH bersama kita itu membuatkan kita mampu membelah segala cabaran dan dugaan di atas dunia. Hingga mampu menjejak syurgaNya.

Thursday, June 16, 2011

Cabaran Akan Menyuburkan Keimanan

Kehidupan ini sememangnya tidak boleh dipisahkan daripada cabaran, masalah, dugaan, pancaroba, mehnah dan tribulasi serta perkara-perkara yang sedaerah dengannya. Seperti cinta, cabaran juga merupakan fitrah kepada kehidupan seorang manusia. Tiada manusia yang hidup tanpa cabaran, ujian dan masalah.

Lain orang lain cabarannya, lain umur lain masalahnya, lain jantina lain dugaannya, lain jawatan lain tribulasinya. Semua manusia akan menghadapi masalah, walaupun dia bersembunyi di dalam tanah, walaupun dia lari ke hujung bima sakti, walaupun dia berkubu di sebalik besi. Masalah dengan kehidupan itu fitrah. ALLAH memang akan menurunkan ujian kepada kita.

Sebenarnya, kalau kita kembali kepada ALLAH, ALLAH s.w.t. itu tidak menciptakan sesuatu dengan sia-sia. Dia juga tidak akan memberikan kita dugaan, cabaran, ujian dengan sengaja tanpa matlamat dan tujuan. Sebagai Mukmin yang yakin dan bersangka baik kepada ALLAH, maka kita perlu mengambil segala cabaran dan ujian dalam kehidupan kita sebagai batu loncatan untuk memperkuatkan iman kita.

ALLAH s.w.t. berfirman dalam surah al-‘Ankabut, ayat 1-3 yang bermaksud:
“Alif lam mim, adakah manusia itu mengira bahawa mereka akan dibiarkan sahaja untuk berkata, kami telah beriman, sedangkan mereka itu belum diuji lagi? Sesungguhnya Kami telah menguji orang sebelum mereka, maka sesungguhnya ALLAH itu mengetahui orang yang benar dan sesungguhnya Dia jua mengetahui orang yang berdusta.”

Ya... kalau kita lihat apa yang ALLAH firmankan itu, segala mehnah dan tribulasi yang kita hadapi sepanjang kehidupan kita, adalah untuk melihat sama ada kita ini menterjemahkan iman kepada-Nya atau tidak. ALLAH ingin melihat sama ada kita ini benar beriman kepda-Nya atau tidak kerana orang yang beriman kepada ALLAH dengan sebenar-benar keimanan, akan berdiri teguh menongkah kehidupan dengan cara yang diredhai ALLAH s.w.t.

Ketika berhadapan dengan segala cabaran, jika kita memilih untuk berputus asa, mengalah, atau memilih untuk menyelesaikannya dengan cara yang salah, sebenarnya kita telah menentang hakikat keimanan kita, yakni tunduk dan patuh beribadah kepada ALLAH.

Sebenarnya banyak manusia yang cuba lari daripada cabaran, dugaan , ujian dan sebagainya. Ada juga yang memilih jalan mudah dengan menamatkan nyawa. Semua ini menunjukkan taraf iman seseorang manusia. Ujian itu hadir untuk melihat sama ada kita benar dengan iman kita atau tidak.

Justeru, kenapa perlu takut dengan cabaran? Hidup memang akan ada cabaran. Malah sebenarnya cabaran itu akan menunggu kita. Jika kita tidak suka pun, cabaran tetap akan datang mengiringi kehidupan kita. Jadi apa yang perlu kita lakukan ialah bertenang dan positif dengan cabaran.

Percaya dan yakin kepada ALLAH s.w.t. itu perlu dibina sebab dalam ujian itu terselit hikmah-Nya. Apabila kita percaya ALLAH, ALLAH akan membantu kita untuk melalui ujian itu. Hal ini demikian kerana tujuan ujian adalah untuk melihat sama ada iman kita kepada ALLAH itu benar atau sekadar kata-kata sahaja.

Ya... ujian dan cabaran dalam kehidupan.

Takut?

Tidak!

Cinta ALLAH Membuahkan Cinta Yang Lain

Cinta. Untuk kehidupan, cinta adalah amat penting. Tanpa cinta, kehidupan akan menjadi gersang . Semua manusia mencari cinta, walaupun ada segelintir daripada mereka yang tidak mengerti hakikat cinta yang sebenar. Namun, secara tidak langsung, semua manusia itu bercinta sebenarnya kerana cinta adalah fitrah bagi seorang manusia.

Cinta sememangnya amat mahal kerana cinta tidak boleh dijual beli melainkan dia datang dengan sendiri. Namun manusia perlu tahu menghargai cinta, kerana hari ini, cinta sering disalah erti. Betapa mahalnya cinta , pada saya, hanya orang yang beriman kepada ALLAH s.w.t dan yakin dengan pertemuan dengan-NYA pada hari kiamat sahaja yang mengetahui. Orang yang mengerti mahalnya cinta, maka dia tidak akan meletakkan cintanya pada taraf yang rendah.

Cinta merupakan hadiah daripada ALLAH s.w.t kepada manusia. Suatu hadiah yang tidak ternilai harganya. Namun cinta yang indah ini boleh sahaja menjadi buruk, apabila manusia salah menggunakannya. Cinta yang tertinggi itu ialah cinta kepada ALLAH s.w.t. Daripada cinta kepada ALLAH, maka berbuahlah cinta kita kepada yang lain. Jika asas cinta kita kepada yang lain ialah ALLAH, maka cinta kita kepada yang lain itu akan menjadi cinta yang utuh, sejati lagi bermakna.

Ada satu rangkap nasyid,
Cintailah cinta yang di hati
Itulah cinta yang hakiki
Cinta di mata, cinta palsu
Cinta yang di mata
Nafsu melulu
Cinta al-Haq, cinta abadi
Berbahagia... di dunia lagi.


Biasanya manusia hanya melihat cinta melalui pandangan mata dunianya. Maka sebab itulah sebahagian daripada kita boleh menjual cinta dengan harga murah. Namun sesiapa yang melihat cinta dari jendela akhirat, pastinya dia akan menjaga cintanya sehabis baik, kerana cinta juga ialah salah satu kunci kepada syurga.
Cinta kepada ALLAH, cinta kepada Rasulullah, cinta kepada ibu bapa, cinta kepada suami/isteri, cinta kepada anak-anak, cinta kepada sahabat dan cinta kepada masyarakat . Semua cinta ini membentuk kehidupan yang harmoni. Mahalnya cinta kerana ia memegang keharmonian. Cuba fikir dunia tanpa cinta, apakah yang akan terjadi?

Kita tanpa cinta ALLAH, apakah yang akan berlaku? Kita tanpa kasih Rasulullah, tidakkah nasib kita menjadi kaku? Kita tanpa kasih sayang daripada ibu bapa, bukankah hidup akan menjadi beku? Kita tanpa cinta anak-anak, tidakkah hidup akan menjadi hiba? Hidup tanpa cinta suami isteri, bukankah akan porak peranda? Kehidupan tanpa cinta sahabat, bukankah akan sepi sentiasa? Hidup tanpa cinta masyarakat, adakah itu hidup namanya?

Daripada cinta berbuah kasih sayang, daripada rasa cinta berbuah senyuman, daripada cinta juga terhasilnya suka, daripada suka berbuah tawa gembira. Apakah makna hidup tanpa semua ini? Adakah bahagia atau kita akan menjadi sengsara?
Bayangkan sebentar, hidup anda tanpa ceria, tanpa mesra, tanpa senyum tawa, tanpa hubungan cinta kasih semua.
Apakah yang akan berlaku?

Cinta itu mahal, tetapi bukan semua orang mengerti akan mahalnya cinta. Hanya orang yang memegang cinta akan mahalnya cinta. Hanya orang yang memegang cinta dengan teguh sahaja yang akan mengerti. Selain itu mereka yang kehilangan cinta sahaja yang akan tahu betapa besarnya harga cinta. Mereka yang bersungguh-sungguh mengejar cinta sahaja tahu betapa manisnya cinta itu.

Cinta itu mahal, tetapi bukan semua orang mengerti akan cinta. Pengertian cinta akan menetapkan harga cinta itu sendiri. Jika benar kefahaman anda mengenai cinta, maka cinta itu akan menjadi mahal. Namun jika kita tersilap menghitung erti cinta, cinta akan menjadi murah semurah-murahnya.

Ramai manusia tidak mengerti akan cinta, kerana cinta mereka berlandaskan hawa nafsu. Sedangkan cinta yang sebenar itu berlandaskan keimanan. Keimanan kepada ALLAH s.w.t.

Sebagaimana yang saya katakan, cinta kepada ALLAH itu membuahkan cinta-cinta yang lain. Siapa yang mencintai ALLAH, maka dia akan mencintai Rasulullah s.a.w. dengan sepenuh jiwa. Siapa yang mencintai ALLAH, maka dia akan mencintai kedua-dua ibu bapanya dengan bersungguh-sungguh. Siapa yang mencintai ALLAH, maka dia akan mencintai suami/isteri sepenuh hatinya. Siapa yang mencintai ALLAH, maka dia akan mencintai sahabat sepenuh nyawanya. Siapa yang mencintai ALLAH, maka dia akan mencintai anak-anaknya dengan sepenuh kasihnya. Jika kita mencintai ALAH, maka pastinya kita akan mencintai sahabat-sahabat kita.

Matlamat cinta yang mahal ini pula bukan matlamat yang murah. Oleh sebab cinta dengan kehidupan itu tidak boleh dipisahkan, maka matlamat cinta juga ialah matlamat kehidupan. Ya, cinta itu juga satu ibadah. Destinasi cinta ialah ALLAH s.w.t. Justeru, apabila kita mencintai seseorang maka kita hendak sesiapa yang kita cintai itu, bersama-sama dengan kita melangkah ke dalam syurga.
Mahal. Cinta sebegini mahal. Indah, cinta sebegini terlalu indah.

Bukan sebatas dunia, tetapi melangkau akhirat. Bukan setakat di bumi, malah bertaut hingga ke syurga nanti.

Tidak mahal ke? Mahal dan indah. Indah dan ceria. Tenang lagi bahagia.

Kenapa kita tidak mengejar cinta sebegini? :)

Tuesday, June 14, 2011

Kelebihan berselawat ke Atas Rasullullah S.A.W.

Rasullullah S.A.W. telah bersabda bahawa:
“Malaikat Jibril, Mikail, Israfil dan Izrail A.S. telah berkata kepadaku.”

Berkata Jibril A.S. :
“Wahai Rasullullah, barang siapa yang membaca selawat ke atasmu tiap-tiap hari sebanyak sepuluh kali, maka akan saya bimbing tangannya dan akan saya bawa melintasi titian seperti kilat menyambar.”

Berkata pula Mikail A.S. :
“ Mereka yg berselawat ke atas kamu akan aku beri mereka itu minum dari telagamu.”

Berkata pula Israfil A.S. :
“Mereka yang berselawat kepadamu akan aku sujud kepada Allah S.W.T dan aku tidak akan mengangkat kepalaku sehingga Allah S.W.T mengampuni orang itu.”

Malaikat Izrail A.S. pula berkata:
“ Bagi mereka yang berselawat ke atasmu, akan aku cabut ruh mereka itu dengan selembut-lembutnya seperti aku mencabut para nabi-nabi.”

Apakah kita tidak cinta kepada Rasullullah S.A.W?
Para malaikat memberikan jaminan masing-masing untuk orang-orang yang berselawat ke atas Rasullullah S.A.W.

Monday, June 13, 2011

Luahan Hati... :)

Alhamdulillah.. Hatiku mula mencintaiMU Ya ALLAH.. Aku bersyukur kepadaMU Ya ALLAH.. Aku diberikan kesempatan untuk hidup di dunia ciptaanMu ini Ya ALLAH.. :)
Ya ALLAH.., Kau berikanlah aku semangat untuk aku teruskan kehidupan aku ini.. Dan Kau berikanlah ketabahan didalam diriku ini.. AMINN.. :)
Aku sangat sayang kepadaMU Ya ALLAH.. :)

Tuesday, June 7, 2011

10 Kebaikan Bersilaturahim dengan Ahli Keluarga

Abu Laits Assamamarqandi berkata: Jika seseorang itu dekat dengan ahli keluarganya maka ziarahilah mereka, jika tidak dapat membantu dengan harta, memadai dengan tenaga dan jika berjauhan utusilah surat dan yang terbaik ialah menziarahi mereka. Ketahuilah bahawa ada 10 kebaikan bersilaturahim dengan ahli keluarga iaitu:

1. Mendapat keredhaan ALLAH s.w.t.
2. Mengembirakan mereka kerana ada hadis yang mengatakan bahawa amal yang
paling utama ialah menyenangkan hati orang Mukmin.
3. Malaikat gembira dengan orang yang suka bersilaturahim.
4. Mendapat pujian kaum muslimin.
5. Iblis berdukacita.
6. ALLAH s.w.t. panjangkan umur.
7. Rezeki diberkati.
8. Melapangkan roh ahli keluarga yang telah meninggal dunia.
9. Memupukkan rasa sayang dan saling suka membantu di kalangan ahli keluarga.
10. Apabila ia meninggal dunia, ahli keluarga akan sentiasa ingat dan mendoakan
kebaikan untuknya. Pahalanya akan bertambah.

Kehebatan Syurga Berdasarkan Al-Quran

Allah menciptakan perkara-perkara yang luar biasa indah dan nikmatnya kepada orang-orang yang bertakwa sehingga menurut Nabi Muhammad s.a.w. di syurga itu terdapat apa-apa yang belum pernah dilihat oleh mata dan didengar oleh telinga serta tidak pernah pula terlintas di hati manusia.

Berikut adalah beberapa ayat Al-Quran tentang kehebatan syurga Allah SWT :

"Perumpamaan syurga yang dijanjikan kepada orang-orang yang takwa ialah (seperti taman); mengalir sungai-sungai di dalamnya; buahnya tak henti-henti sedang naungannya (demikian pula). Itulah tempat kesudahan bagi orang-orang yang bertakwa, sedang tempat kesudahan bagi orang-orang kafir ialah neraka." (Surah Ar-Ra'd; 35)

"Kedua syurga itu mempunyai pohon-pohonan dan buah-buahan." (Surah Ar-Rahman; 48)

"Di dalam kedua syurga itu ada dua buah mata air yang mengalir." (Surah Ar-Rahman; 50)

"Di dalam kedua syurga itu terdapat segala macam buah-buahan yang berpasangan." (Surah Ar-Rahman; 52)

"Mereka bertelekan di atas permadani yang sebelah dalamnya dari sutera. Dan buah-buahan di kedua syurga itu dapat (dipetik) dari dekat." (Surah Ar-Rahman; 54)

"Di dalam syurga itu ada bidadari-bidadari yang sopan menundukkan pandangannya, tidak pernah disentuh oleh manusia sebelum mereka (penghuni-penghuni syurga yang menjadi suami mereka), dan tidak pula oleh jin." (Surah Ar-Rahman; 56)

"Di dalam kedua syurga itu ada dua buah mata air yang memancar." (Surah Ar-Rahman; 66)

"Di dalam syurga itu ada bidadari-bidadari yang baik-baik lagi cantik-cantik." (Surah Ar-Rahman; 70)

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh, bagi mereka syurga-syurga yang penuh kenikmatan..." (Surah Luqman, 8)

"Dan dimasukkanlah orang-orang yang beriman dan beramal soleh ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya dengan izin Tuhan mereka. Ucapan penghormatan mereka dalam syurga itu ialah "salam"" (Surah Ibrahim; 23)

"Mereka tidak mendengar perkataan yang tak berguna di dalam syurga, kecuali ucapan salam. Bagi mereka rezeki di syurga itu tiap-tiap pagi dan petang." (Surah Maryam; 62)

"Berlumba-lumbalah kamu kepada (mendapatkan) ampunan dari Tuhanmu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan rasul-rasul-Nya. Itulah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar." (Surah Al-Hadid; 21)

"Di syurga itu mereka memperoleh buah-buahan dan memperoleh apa yang mereka minta." (Surah Yasin; 57)

"(Bagi mereka) syurga 'Adn mereka masuk ke dalamnya, di dalamnya mereka diberi perhiasan dengan gelang-gelang dari emas, dan dengan mutiara, dan pakaian mereka didalamnya adalah sutera." (Surah Fathir; 33)

"....Syurga itu sebaik-baik tempat menetap dan tempat kediaman." (Surah Al-Furqan; 76)



Ya Allah, anugerahkanlah kepada kami syurga-Mu dengan rahmat dan kasih sayang-Mu. Jadikanlah kami hamba-Mu yang beriman dan bertaqwa. AMINN.. InsyaALLAH.. :)

Monday, June 6, 2011

Ucapan “Amin”

Ucapan “amin” merupakan satu pengkhususan (keunikan) yang dianugerahkan oleh ALLAH swt khusus kepada Nabi Muhammad saw dan sekalian umatnya. Pengucapan khalimah ini merupakan satu syiar Islam yang sepatutnya sentiasa diamalkan oleh umat Islam.
Antara anjuran dan galakan kepada syiar ini ialah sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi Muhammad saw yang bermaksud :
“Perbanyakkanlah oleh kamu mengucapkan perkataan amin.” (Riwayat Ibnu Majah)
Boleh dikatakan sekalian kaum muslimin mengucapkan khalimah “amin” ini saban siang dan malam, namun yang sedihnya ucapan itu tidak benar-benar difahami apa lagi untuk dimengertikan tuntutan dan tujuan pengsyariatannya.
Maksud “amin” ialah perkenankanlah Ya ALLAH, atau lakukanlah Ya ALLAH atau jadikanlah Ya ALLAH.


Antara kelebihan ucapan “amin” ini ialah:

a. Sumber keampunan
Pintu dan wasilah keampunan ALLAH swt keatas hamba-hambaNYA. Pengampunan ALLAH swt itu akan diperoleh apabila ucapan “amin” para makmum dalam solat setelah imam selesai membaca Al-Fatihah, (contohnya pada solat jahar: Subuh, Mahgrib, Isyak dan Jumat) bersamaan (serentak) dengan Amin para malaikat. (riwayat Imam Malik, Al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, An-Nasa’i dan Ibnu Majah)
b. Sumber pemakbulan
“Apabila kaum Muslimin berkumpul, kemudian sebahagian daripada mereka berdoa (contohnya: para makmum)mengaminkan, maka ALLAH akan memperkenankan doa mereka itu”(Riwayat Al-Hakim).

Di sudut yang lain, ucapan “amin” tidak sepatutnya berlaku dalam ritual sahaja, sebaliknya hendaklah dikembangkan dalam seluruh aspek dan aktiviti dalam kehidupan kita. Contohnya apabila seorang guru berkata: “Semoga ALLAH mengurniakan keberkatan ilmu kepada kita,” maka murid-murid pun sepatutnya berkata, “amin”. Ertinya diluar suasana masjid, Nabi Muhammad saw sendiri menganjurkan dan mendorong kita untuk memperbanyakkan ucapan “amin” dalam kehidupan.

ILMU baru.. :)

Alhamdulillah, hari ini saya belajar ilmu baru.., yang agak mencabar mindalah jugak.^^
Lastly, berjaya buat yang terbaik untuk diriku ini. :-)

Merasakan Kebesaran Akhirat

Hidup di dunia adalah tumpangan sementara waktu saja. Lepas itu kita akan menginap di satu tempat yang kekal di akhirat iaitu syurga atau neraka.

Di dunia, kita ditugaskan mencari seberapa banyak bekal untuk dibawa ke akhirat. Dunia bukan tempat bersenang-lenang. Kesenangan di dunia sementara dan bersifat palsu. Begitu juga dengan kesusahan di dunia sementara dan palsu.

Perlulah kita fahami bahawa kesenangan di dunia bukan betul betul senang kerana kemungkinan sekali ia menjadi bala, sementara kesusahannya pula mungkin menjadi satu rahmat dan kenikmatan pula. Dunia adalah tempat kita ditipu dan menipukan.

Akhirat sahaja tempat yang kekal di mana kesenangannya adalah mutlak 100% dan kesusahannya juga 100%. Menyedari hakikat ini, perlu kita menyediakan perbekalan untuk satu perjalanan yang sangat jauh. Kekurangan bekalan akan amat menyulitkan perjalanan kita.

Dalam menjalani kehidupan seharian, kita sering lupa akan matlamat kehidupan kita yang sebenarnya. Lantaran itu ALLAH seringkali memberi peringatan (notis) supaya kita tidak lupa akan matlamat penghijrahan kita ke alam Baqa’. Notis demi notis dikenakan ke atas diri kita, tetapi kita tidak faham-faham atau tidak erti bahasa dan gembira malah semakin besar tawanya. Kalau TEN memberi notis pemotongan elektrik, kita menjadi kelam-kabut, tetapi bila ALLAH menghantar notis, kita buat acuh-tak-acuh saja.

Nabi Musa a.s. pernah memberitahu Malaikat supaya segera memberitahunya sebelum mencabut nyawanya. Tetapi tatkala akan diambil nyawanya, Nabi Musa bertanya kenapa Malaikat itu tidak memberitahunya lebih awal. Malaikat segera menjawab, ALLAH telah banyak kali menghantar peringatan demi peringatan.

Di antara peringatan (notis) yang dihantar oleh ALLAH ialah semasa pertukaran rambut hitam menjadi putih, gigi menjadi roggak, mata bertambah kabur, pendengaran bertambah kurang, badan segar menjadi layu, kuat menjadi lemah, muda menjadi tua, kulit semakin kendur dan sebagainya.



Ada 3 kategori manusia dalam menghadapi kematian :

1. Bila teringat akan mati, terasa lapang hatinya. Hatinya menjadi suka. Kelompok manusia dalam kategori ini ialah mereka yang benar-benar berilmu dan telah penuh keimanannya terhadap ALLAH dan hari akhirat. Mereka telah mencapai makrifat terhadap ALLAH. Ini ialah makam tertinggi yang dimiliki oleh para wali.
2. Apabila teringat mati, hatinya menjadi takut, kecut dan gementar. Mereka ialah orang-orang kafir yang tidak sanggup berjumpa dengan ALLAH. Mereka seumpama tuannya hendak mengambilnya, dia cuba melarikan diri tetapi dapat ditangkap secara paksaan. Kematian mereka amat menghinakan.
3. Golongan ini merasa dukacita dan takut terhadap kematian. Tetapi apabila telah mengalami mati, dia berasa sukacita. Malahan jika diberi pilihan, mereka tidak akan mahu kembali ke dunia semula. Mereka telah dapat mengecapi dan menikmati alam yang lebih kekal dan lebih baik daripada alam fana yang penuh dengan kesusahan dan kesengsaraan. Golongan ini ibarat seorang bayi yang baru lahir dari perut ibunya. Semasa akan keluar, bayi akan menangis kerana menyangka hidup di dalam perut ibunya lebih baik dan nyaman daripada alam dunia. Tetapi apabila telah lahir di dunia ini, dia tidak akan mahu kembali ke dalam perut ibunya meskipun diberi pilihan. Manusia yang termasuk dalam golongan ini ialah orang-orang beriman yang belum mencapai taraf tinggi atau orang mukmin biasa.

Marilah kita berlumba-lumba mencari bekalan untuk akhirat. Janganlah kita asyik berlumba-lumba mencari bekalan dunia sehingga terlupa pertemuan kita dengan ALLAH. Kematian hanya penghijrahan atau perpindahan alam; berpindah dari negeri binasa ke negeri yang kekal abadi. ALLAH telah menghantar banyak notis kepada kita dan jadikanlah ia sebagai cermin untuk menyedarkan diri tentang kematian yang sudah tentu akan menemui kita.

:: Hikmah 13 Dalam Solat ::

1 – Niat Sembahyang :
Sebenarnya memeliharakan taubat kita dari dunia dan akhirat.

2 – Berdiri Betul :
Fadilatnya, ketika mati dapat meluaskan tempat kita di dalam kubur.

3 – Takbir-ratul Ihram :
Fadilatnya, sebagai pelita yang menerangi kita di dalam kubur.

4 – Fatihah :
Sebagai pakaian yang indah-indah di dalam kubur.

5 – Ruqu’ :
Sebagai tikar kita di dalam kubur.

6 – I’tidal :
Akan memberi minuman air dari telaga al-kautsar ketika didalam kubur.

7 – Sujud :
Memagar kita ketika menyeberangi titian SIRATUL-MUSTAQIM.

8 – Duduk antara 2 Sujud :
Akan menaung panji-panji nabi kita didalam kubur

9 – Duduk antara 2 Sujud (akhir) :
Menjadi kenderaan ketika kita dipadang Mahsyar.

1 0 – Tahhiyat Akhir :
Sebagai penjawab bagi soalan yang dikemukakan oleh Munkar & Nankir di dalam kubur.

11 – Selawat Nabi :
Sebagai pendinding api neraka di dalam kubur.

12 – Salam :
Memelihara kita di dalam kubur.

13 – Tertib :
Akan pertemuan kita dengan Allah S. W.T
 
Powered by Blogger.