Powered by Blogger.

Friday, November 18, 2011

Hadapi Hinaan Dengan Sabar Dan Tenang


Dalam kehidupan seharian, kita tidak dapat melarikan diri daripada hinaan. Hidup kita tidak sempurna, malah pasti wujud kekurangan dan cacat cela di mana-mana. Bukan semua orang suka dan senang dengan tingkah laku kita, pasti ada hinaan yang datang bertandang.
                Biasanya manusia menjadi lemah dan kecewa apabila hinaan datang kepadanya. Tambah pula hinaan itu bukan sekadar dengan kata-kata sinis, tetapi datang dalam bentuk perbuatan yang menghiris hati. Manusia yang tidak senang dengan kita akan sentiasa datang menggangu kehidupan kita, merendah-rendahkan kita dan sebagainya.
                Saat diri kita disentuh oleh hinaan ini, hati kita akan mudah terasa dan menjadi lemah. Kita akan rasa terganggu, lalu tubuh badan dan pemikiran kita terasa seperti dibelenggu. Rasa letih, rasa sia-sia segala kerja, rasa tidak bermakna segala usaha. Akhirnya, kita akan berhenti bekerja, berhenti berusaha, berhenti segala-galanya.
                Adakah kehidupan kita akan bermakna jika kita bertindak sedemikian? Adakah akan bermakna usia kita jika kita berhenti daripada berusaha? Adakah bermakna hayat kita jika kita tewas hanya kerana orang menghina?
                Pada saat kita hendak mengaku kalah itu, kita mungkin terlupa bahawa Nabi Nuh a.s. telah berdakwah selama 950 tahun. Adakah dia berdakwah dalam keadaan senang-lenang tanpa hinaan? Tidak, dia berhadapan dengan hinaan sepanjang masa 950 tahun itu. Hatta anak dan isterinya turut menghinanya. Nabi Nuh pernah mengadu kepada ALLAH, dan ALLAH abadikan aduannya dalam surah Nuh ayat 5-7,
                “Dia (Nuh) berkata, ‘Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam, dan sesungguhnya aku setiap kali menyeru mereka agar Engkau mengampuni mereka,  mereka telah memasukkan anak jari mereka ke dalam telinga mereka  dan memasukkan wajah mereka ke dalam baju mereka dan mereka tetap (mengingkari) dan menyombong diri.”
                Lihat, 950 tahun Nabi Nuh menyeru dalam keadaan sedemikian rupa. Dia mengalah? Tidak. Malah dia tetap yakin akan kebenaran kerjanya dan meneruskan kerjanya sehingga ALLAH memberikan kemenangan kepadanya.
                Lihat pula Rasulullah S.A.W, Baginda dihina sepanjang masa dakwahnya di Makkah. Ketika Baginda berdakwah untuk orang yang mengerjakan haji di Makkah, Abu Jahal akan sentiasa mengikutinya ke semua tempat dan apabila Rasulullah hendak menyampaikan dakwah, maka Abu Jahal akan turut berbicara menghinanya.
                Rasulullah S.A.W digelar oleh kafir musyrikin Makkah dengan gelaran orang gila, ahli sihir dan sebagainya. Namun Baginda tetap tidak berhenti. Sabar dan tenang adalah sikap Baginda yang menyebabkan Baginda ampuh daripada putus asa. Ketabahan Baginda itu menyebabkan kaum musyrikin datang ke rumah Baginda dan menawarkan tawaran-tawaran hebat seperti menjadi raja, mendapat perempuan cantik atau harta.
                Tahukah anda apa yang Baginda katakan kepada mereka?
                “Andai kata kamu meletakkan matahari di tangan kananku, dan kamu letakkan bulan di tangan kiriku, maka aku tetap tidak akan meninggalkan kerja-kerja ini...”.
                Apakah yang berlaku kepada perjuangan Rasulullah selepas itu? Bukankah berjaya? Buktinya, iman dan islam itu sampai ke tangan kita hari ini.
                Nah...
                Orang menghina?
                Jangan terganggu, teruskan USAHA.
                Bukankah ALLAH bersama-sama kita?


1 comments:

 
Powered by Blogger.