Powered by Blogger.

Tuesday, September 17, 2013

Bersungguh-sungguh Menjaga Diri dan Keluarga


“Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada ALLAH dalam segala yang diperintahkanNYA kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” – Surah At-Tahrim : 6
 
Apabila ALLAH memerintahkan kita untuk menjaga diri dan ahli kita dari api neraka, maka hendaklah kita berusaha bersungguh-sungguh.
   Jika di dunia, kita berikhtiar menjaga diri dan anak kita daripada kepanasan api, maka untuk mengawalnya dari api neraka kelak adalah lebih utama. Sebagai contoh, kita jauhkan anak-anak daripada mendekati unggun api kerana bimbang mereka akan tercedera.
   Begitu juga kita mengelakkan mereka daripada bermain dengan api kerana bimbang akan melukakan mereka. Tindakan itu menandakan bahawa kita sayangkan mereka daripada terjatuh di dalam api, terbakar atau tercedera.
   Bahkan, sekiranya mereka mendekati juga api itu, maka kita dengan tegas dan cepat mengheretnya menjauhi dari api tersebut.
   Jika di dunia ini pun, kita tidak sanggup melihat mereka terkena bahang api, apatah lagi dengan api neraka? Jika dibuat perbandingan, antara api dunia dan neraka, jauh terlalu besar bandingannya. Bayangkan kata-kata Nabi bahawa walau hanya percikan api kecil api neraka jatuh ke bumi, ia boleh menghancurkannya. Itu baru percikannya. Bayangkanlah kalau api neraka yang sebenar-benarnya.
   Marilah dan cuba sematkan semua pesanan dan peringatan. Sebelum dan selepas tidur, kita ambil sedikit masa untuk merenunginya. Ingatlah, kita semua akhirnya akan pulang semula kepada ALLAH. Di sana, hanya ada dua tempat kita akan dikembalikan, sama ada di syurga atau neraka.
   Sentiasalah pasak di dalam fikiran, ke manakah mahu kita tuju? Jadikanlah amalan setiap masa. Cita-cita kita adalah syurga. Bagaimana kelak andai terlupa, kehidupan kita selama ini sedang mengarahkan kita ke arah neraka?
Nauzubillahiminzalik.

*Ingatlah, keluarga kita adalah amanah kita. Takut dan berwaspadalah pada amaran ALLAH. Selamatkanlah diri dan keluarga daripada menjadi bahan api neraka. Itu bukan tempat asal kita. Itu bukan tujuan dan hala tuju kita.


 
Powered by Blogger.