Antara sunnah dan adab tidur ialah:
1.
Baginda Sollallahu’alaihiwassalam melarang tidur selepas solat Maghrib dan
melewatkan tidur selepas solat Isyak.
Diriwayatkan
oleh Abi Barzah r.a., bahawasanya Rasulullah melarang dan tidak menyukai tidur
sebelum Isyak dan berbual-bual kosong selepasnya. (Riwayat
Bukhari dan Muslim)
2.
Melakukan solat sunat witir sebelum tidur.
Abu
Hurairah r.a. berkata, “Kekasihku (Rasulullah Sollallahu’alaihiwassalam) telah
berwasiat kepadaku dengan tiga perkara: berpuasa tiga hari setiap bulan,
menunaikan dua rakaat duha dan supaya aku menunaikan solat witir sebelum
tidur.” (Riwayat Muslim)
3.
Menutup lampu, menutup bekas-bekas, menutup pintu dan tingkap.
Rasulullah
Sollallahu’alaihiwassalam telah bersabda, “Padamlah lampu (atau pelita) apabila
kalian hendak tidur, tutuplah pintu, terbalikkan bekas-bekas minuman dan
tutupilah makanan dan minuman. (Jabir r.a. menambah) Aku teringat Baginda
Sollallahu’alaihiwassalam menyebut (menutup) demikian walaupun dengan sebatang
kayu (‘uud) yang melintang di atasnya.” (Riwayat Bukhari dan
Muslim)
4.
Membasuh tangan dan mulut daripada sisa-sisa makanan.
Rasulullah Sollallahu’alaihiwassalam telah bersabda,
“Barangsiapa yang tidur sedang di
tangannya ada kesan makan, kemudian didatangi sesuatu. Maka jangan dia
menyalahkan melainkan dirinya sendiri.” (Riwayat Abu Daud)
5.
Berwuduk sebelum tidur.
Rasulullah Solallahu’alahiwassalam telah bersabda, “Apabila kamu mendatangi tempat tidurmu maka
berwuduklah kamu seperti wudukmu untuk solat.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
6.
Mengibaskan tempat tidur dengan menyebut Basmallah.
Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah
Sollallahu’alaihiwassalam telah bersabda, “Apabila
seseorang daripada kamu kembali ke tempat tidurnya maka ambillah kain izaar
(kain selimut atau cadar) dan kibaslah ia di atas alas tidurnya dan bacalah
Bismillah, kerana dia tidak mengetahui di atas cadarnya ketika dia tiada.” (Riwayat
Bukhari dan Muslim)
7.
Tidur dengan mengiringkan badan ke sebelah kanan.
Rasulullah Sollallahu’alaihiwassalam telah bersabda,
“Apabila kamu mendatangi tempat tidurmu
maka berwuduklah seperti wudukmu untuk solat, kemudian berbaringlah di atas
lambungmu yang kanan.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Baginda Sollallahu’alaihiwassalam juga melarang kita
daripada tidur dalam keadaan meniarap kerana menyerupai gaya tidur syaitan.
Pernah sekali, Baginda melihat seorang tidur di atas perutnya (meniarap) maka
Baginda Sollallahu’alaihiwassalam berkata, “Sesungguhnya
tidur seperti ini dimurkai ALLAH dan Rasul-Nya.”
Apabila telah berbaring dalam keadaan mengiring ke
kanan, sunnah pula meletakkan telapak tangan kanan di bawah pipi (kanan).
Huzaifah r.a. meriwayatkan bahawasanya Rasulullah
Sollallahu’alaihiwassalam tatkala mendatangi tempat tidurnya, Baginda
Sollallhu’alaihiwassalam meletakkan telapak tangan kananya di bawah pipinya.
(Riwayat Bukhari)
Demikian beberapa sunnah berkenaan dengan perbuatan
(sunnah fi’liyyah) yang diajarkan
oleh Rasulullah Sollallahu’alaihiwassalam. Setelah kita mengetahui sunnah
perbuatan, alangkah baiknya kita mengetahui juga zikir-zikir dan doa (sunnah quuliyyah) yang Baginda
Sollallahu’alaihiwassalam amalkan sebelum tidur. Hal ini demikian kerana ia
menjadi pelengkap kepada perbuatan kita tadi.
Bahkan Rasulullah Sollallahu’alaihiwassalam telah
bersabda, “Barangsiapa yang tidur sedang
dia tidak berzikir kepada ALLAH, dia akan mendapat penyesalan daripada ALLAH
subhanallahhuwata’ala.” (Riwayat Abu Daud)
Selamat beramal dan istiqomah.
:-)
:-)